Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Umum nama exco baru selepas tamat dua PRK – Speaker

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 OGOSS : Pengumuman nama EXCO baru bagi mengantikan Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akan diumumkan selepas berlangsungnya dua Pilihan Raya Kecil (PRK) pada September depan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim berkata, pihaknya perlu PRK DUN Balakong dan juga DUN Seri Setia tamat sebelum mengisytiharkan nama penganti memegang portfolio Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Adalah terlalu awal sekiranya kita mahu umumkan nama berkenaan kerana masih belum ada sebarang keputusan, biarlah semuanya selesai terlebih dahulu.

“Memang tidak dinafikan ada banyak khabar angin, namun itu semuanya palsu, Kerajaan Negeri masih belum buat sebarang keputusan berhubung pengantian terbabit,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini terdapat khabar angin mendakwa kononnya Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bakal mengantikan kedudukan Shaharuddin selepas memenangi PRK DUN Sungai Kandis, pada 4 Ogos lalu.

Allahyarham Shaharuddin memegang portfolio bagi Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi selepas tamat Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Beliau kemudiannya meninggal dunia di Hospital Putrajaya, pada 2 Julai lalu.

Categories
SELANGOR

Teruskan legasi pendidikan antara pesanan akhir Shaharuddin

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 3 OGOS: Perjuangan ilmu digagaskan Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, diharap dapat diteruskan bagi membudayakan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Anak sulung Allahyarham, Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin, 30, berkata bapanya turut berpesan supaya memastikan legasi pemikirannya diteruskan dalam pendidikan selain menjaga ibu mereka, Adibah Ahmad, 56.

“Kami berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan ayah saya sepanjang beliau berkhidmat selaku EXCO Kerajaan Selangor.

“Kami berharap pemergian beliau menjadi iktibar kepada semua dan usahanya diingati seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui media sejurus selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Limau Manis.

Beliau yang bekerja sebagai Pegawai Penyelidik berkata, Allahyarham sebelum itu berada di Hospital Putrajaya selama tiga hari dan kesihatannya merosot sejak sebulan lalu.

Allahyarham Shaharuddin meninggalkan isteri dan enam orang anak dalam lingkungan usia 30 hingga 18 tahun serta seorang cucu.

Shaharuddin, 55, merupakan Ahli Dewan Negeri Seri Setia dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi disahkan meninggal dunia, pada jam 6.28 petang, di Hospital Putrajaya, semalam.

Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, beliau menang di kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi.

Categories
SELANGOR

Jenazah Allahyarham Prof Shahruddin selamat disemadikan

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 3 OGOS: Jenazah EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limau Manis sekitar jam 9.50 pagi.

Lebih 1,000 jemaah sebelum itu bersama-sama menyempurnakan solat jenazah yang dilangsungkan dua kali di Masjid Jamiurrahmah dan diiringi polis trafik ke tanah perkuburan.

Sebelum itu, perkarangan Masjid Jamiurrahmah sesak sejak jam 8.15 pagi dengan kehadiran sanak saudara dan sahabat handai bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Shaharuddin merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia disahkan meninggal dunia, pada jam 6.28 petang, di Hospital Putrajaya semalam.

Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, beliau menang di kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Seri Setia meninggal dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OGOS: EXCO Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin disahkan meninggal dunia, pada jam 6.28 petang, di Hospital Putrajaya.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kanannya, Zafrullah Aris melalui satu kenyataan media petang tadi.

Katanya, jenazah Allahyarham yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu akan dibawa pulang ke rumahnya, di Desa Pinggiran Putra, Kajang selepas maghrib.

“Sementara urusan pengebumian akan dilakukan esok,” katanya.

Katanya, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Kampung Limau Manis dan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menerusi Twitter mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

“Saya telah menerima khabar sedih dan dukacita, sahabat saya Prof Shaharuddin meninggal dunia jam 6.28 petang tadi di Hospital Putrajaya.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Kehilangan yang besar buat Kerajaan Selangor,” tulisnya.

Pada 31 Julai lalu, Prof Shaharuddin dinasihati doktor supaya berehat selama sebulan daripada sebarang tugas selepas menjalani rawatan.

Dilaporkan Allahyarham menderita sakit kanser kolon.

Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, Prof Shaharuddin menang di kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Guna aplikasi internet didik murid dalami pendidikan Islam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 JUN: Guru era milenia kini perlu menggunakan kemudahan teknologi bagi memudahkan anak murid memahami subjek pendidikan Islam dengan lebih mudah.

Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, guru perlu mengambil peluang tersedia di internet seperti Youtube, aplikasi al-Quran, Hadith dan doa.

“Setiap aplikasi ini boleh digunakan dalam sesi pembelajaran, sudah tentu akan menarik minat pelajar dalam menghayati ajaran Islam.

“Kita tidak mahu mereka dipengaruhi oleh perkara yang sia-sia. Pendidikan Islam boleh dianggap sebagai dinding utuh menapis sebarang unsur tidak baik dalam diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Majlis Anugerah Kualiti Pendidikan Islam (AKPI) anjuran Jabatan Pendidikan Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, semalam.

Shaharuddin berkata, anugerah berkenaan adalah penghargaaan kepada mereka yang menunjukkan prestasi tinggi dan amat membanggakan.

“Penghargaan ini juga diharapkan dapat mewujudkan semangat jitu bagi meningkatkan kualiti di samping mendorong rakan seperjuangan yang lain untuk sama-sama bersaing dalam mencapai misi dan visi yang sama.

“Ini adalah sejajar dengan usaha membina modal insan berkualiti yang memiliki jati diri cemerlang dalam mendepani arus pemodenan dalam era globalisasi masa kini,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor komited martabat pendidikan tahfiz

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 JUN: Kerajaan Selangor sentiasa komited memartabatkan pendidikan tahfiz, sekali gus memenuhi hasrat melahirkan huffaz berkebolehan menjadi pemimpin dan ikutan masyarakat.

Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, Selangor bukan sahaja maju dalam pembangunan ekonomi tetapi pembangunan akhlak dan sahsiah melalui penghayatan al-Quran.

“Sememangnya diakui, Selangor mempunyai ramai golongan profesional terdiri daripada jurutera, doktor, arkitek, akuantan dan peguam, namun semakin sukar untuk kita mencari golongan profesional Muslim yang mampu menghafaz, sekali gus menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Inilah generasi unggul yang ingin kita lahirkan bagi membantu memacu kemajuan dan kesejahteraan Selangor sebagai sebuah negeri idaman iaitu maju, sejahtera serta berkebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Ijtimak Huffaz Negeri Selangor 2018 anjuran Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (PITAS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Islam Selangor (JPPI MAIS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, petang semalam.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri berharap pihak pengurusan tahfiz sentiasa memastikan suasana persekitaran pembelajaran berada dalam keadaan bersih, kemas dan selamat.

Hal itu katanya, bagi mengelakkan pelajar tahfiz dipandang rendah dan hanya layak untuk penempatan pelajar bermasalah serta lemah akademik.

“Pihak pengurusan sekolah juga hendaklah memastikan semua langkah awal keselamatan di sekolah diambil tindakan sewajarnya.

“Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas pada saf kepimpinan PITAS yang berjaya menjadi medan perhubungan institusi tahfiz terdiri dari pelbagai bentuk aliran dan fahaman,” katanya.

Categories
SELANGOR

Umat Islam patut malu dicekup tidak berpuasa

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 MEI: Umat Islam sepatutnya malu sekiranya dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) gara-gara tidak berpuasa.

Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, tindakan berkenaan dilihat tidak bertanggungjawab kerana boleh mencemarkan imej Islam.

“Sekarang kita lihat semakin ramai mendekati Islam, kita tidak mahu ada lagi kes penangkapan seumpama ini, pada saya ini memalukan walaupun jumlah tangkapan kecil.

“Kita patut jadikan sifar penangkapan pada sepanjang Ramadan ini sekali gus membuktikan umat Islam lebih bertanggungjawab kepada agama,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, JAIS menahan enam individu tidak berpuasa melalui Operasi Tidak Menghormati Bulan Ramadan (OPTIMER).

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, ia membabitkan penahanan tiga individu dari daerah Petaling dan tiga dari daerah Klang.

Mengikut Seksyen 19, mana-mana individu yang tidak menghormati Ramadan dengan secara terbuka didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan.

Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata, beliau akan bertemu JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta beberapa agensi berkaitan bagi membincangkan hala tuju hal ehwal agama Selangor, pada Isnin akan datang.

Categories
SELANGOR

Penjawat awam jangan takut undi PAKATAN

OLEH AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 4 MEI: Penjawat awam dinasihatkan supaya tidak takut untuk mengundi Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Calon N32 Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, tidak menjadi kesalahan disiplin jika mengundi PAKATAN kerana beliau sendiri tidak pernah mengundi Barisan Nasional (BN) sepanjang 30 tahun berkhidmat di sebuah pusat pengajian tinggi, satu ketika dahulu.

“Jangan risau pegawai kerajaan untuk mengundi. Saya pernah bekerja dengan kerajaan selama 30 tahun, tidak pernah sekali pun saya mengundi BN.

“Ada (calon) pembangkang yang saya undi hilang wang pertaruhan tetapi tidak mengapa janji saya puas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Kelompok N32 Seri Setia: Bicara Santai Ekonomi dan Undang-Undang, di SS7 Kelana Jaya.

Hadir sama, calon P.105 Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Peguam Muda, Syahredzan Johan.

Katanya, beliau pernah ditukarkan ke Sarawak selepas ditahan selama dua minggu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1999 selama enam tahun.

Dr Shaharuddin berkata, perihal undi tidak boleh dibawa ke mahkamah, sebaliknya hanya tindakan pertukaran lokasi bertugas sahaja akan dikenakan, malah ia terpaksa ditanggung Kerajaan menerusi pemberian pelbagai elaun.

Categories
NASIONAL

Negara perlu institusi khas pimpin SPR

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 APR: Negara memerlukan institusi di atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengawasi perjalanan badan kawal selia pilihan raya serta proses pilihan raya.

Calon N32 DUN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, institusi itu juga mampu menjadi badan untuk parti-parti politik mengadu dan mengemukakan bantahan serta lain-lain yang berkaitan selain melibatkan proses mahkamah.

“Di Indonesia misalnya, badan seumpama SPR, dikenali sebagai Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia (KPU) dan di atasnya wujud satu badan pengawasan yang dikenali sebagai Badan Pengawas Pemilihan Umum (BAWASLU).

“Dengan wujudnya BAWASLU, parti dan rakyat boleh mengemukakan syor dan juga aduan berhubung dengan perkara ketidakpuasan hati terhadap SPR,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa insiden semasa Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam yang menyaksikan beberapa kejadian luar jangka hingga mengakibatkan pencalonan dibatalkan.

Antara yang menerima tempiasnya adalah penyandang Parlimen Batu, Tian Chua yang tidak dibenarkan bertanding kerana terdapat pertikaian mengenai jumlah denda RM2,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Shaharuddin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, SPR sewajarnya mempermudahkan urusan pencalonan untuk meraikan pesta demokrasi lima tahun sekali.

“SPR mampu berbuat demikian untuk meraikan pelbagai pihak mengambil bahagian dalam proses demokrasi ini,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Henti polemik calon PM, fokus kukuh parti

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 JAN: Ahli parti komponen dalam Pakatan Harapan (Pakatan) disaran menghentikan polemik berhubung pemilihan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Profesor Sains Politik Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, mereka seharusnya fokus terhadap kerja mengukuhkan jentera parti masing-masing bagi menghadapi Umno-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ada yang tidak setuju tetapi keputusan dibuat kepimpinan gabungan itu yang bermaksud semua pihak perlu akur dan terus bekerja untuk memastikan kejayaan Pakatan di Putrajaya, di samping mengekalkan kerajaan di Selangor.

“Jika terus berpolemik, tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti UNISEL.

Bagaimanapun, katanya, kelompok anak muda yang mengambil pendirian bersetuju untuk tidak bersetuju juga wajar diberi perhatian pemimpin parti.

Dr Shaharuddin berkata, beliau percaya pendirian itu diambil ekoran trend politik dunia menyaksikan beberapa negara memilih sosok muda untuk menerajui negara.

“Luahan perasaan anak muda yang mungkin terguris berdasarkan apa yang berlaku di dunia menyebabkan kemungkinan mereka berpendapat menampilkan sosok muda lebih baik tetapi tidak menolak semua pandangan parti,” katanya.

Categories
NASIONAL

Keputusan melabur di AS sesuatu yang aneh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 SEPT: Langkah Kerajaan Malaysia melabur kira-kira AS$24 bilion di Amerika Syarikat (AS) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini dianggap sesuatu yang aneh.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, langkah itu tidak membantu dari sudut ekonomi negara apabila berlaku pengaliran keluar wang.

“Pada masa ini, keseimbangan perdagangan kita dan AS tidak seimbang, tiba-tiba kita keluarkan duit bantu AS. Bagi saya kesannya memang banyak.

“Cadangan pembelian Boeing juga adakah satu keperluan dalam keadaan ekonomi berada di ambang krisis bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Asia.

“Tiada jaminan langkah ini boleh mengeluarkan Malaysia daripada ambang krisis ekonomi,” katanya kepada SelangorKini.

Prof_Dr_Shaharuddin_BadaruddinPengarah Institut Darul Ehsan (IDE) itu berkata, langkah menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga perlu dielakkan ekoran tiada jaminan membawa keuntungan kepada negara.

Katanya, Najib pada pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump sepatutnya memfokuskan kepada isu keganasan khususnya membabitkan negara Asean seperti Rohingya.

Justeru, Dr Shaharuddin berkata, tidak menghairankan apabila ada yang menyifatkan langkah itu sebagai tindakan aneh dan seolah memberi gambaran Malaysia membayar ufti kepada AS.

“Sepatutnya kita dapatkan pelaburan masuk ke Malaysia bukannya bawa duit ke AS. Strategi membawa AS menambah pelaburan ke Malaysia akan membantu meningkatkan ekonomi.

“Kalau kita keluarkan duit melabur di AS seolah menunjukkan kita tiada masalah besar tetapi AS yang mempunyai masalah besar kerana memerlukan pelaburan di Malaysia.

“Benda ini tidak munasabah dan tidak membantu dari sudut perdangangan antarabangsa,” katanya.

Categories
NASIONAL

Dasar luar Tun M dan Najib bagai langit dan bumi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 SEPT: Walaupun terdapat beberapa tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menduduki jawatan Perdana Menteri mendapat kritikan hebat, namun beliau dilihat berjaya meletakkan negara ke landasan tepat.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, antara yang membanggakan rakyat adalah dasar luar Malaysia yang berani menunjukkan sikap tegas dalam pelbagai isu termasuklah melibatkan isu kemanusiaan di wilayah bergolak seluruh dunia.

Katanya, bagaimanapun hal ini berbeza bagaikan langit dan bumi dengan era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang menjadikan Malaysia hilang jati diri malah tunduk kepada kuasa besar demi kepentingan politiknya.

“Di era Dr Mahathir, kita lantang mengkritik dasar imperialisme Amerika Syarikat (AS) termasuk kedudukan AS yang selalu menekan timur dan perluasan kuasa di wilayah timur.

“Tetapi di era Najib, dasar luarnya tak pasti, tiada fokus,tidak pula bersifat hero kerana banyak perkara yang patut dikritik kita tak buat begitu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Prof_Dr_Shaharuddin_BadaruddinJelasnya, Najib juga gagal menunjukkan pendirian Malaysia dalam pelbagai isu seperti isu Laut China Selatan yang didominasi China, isu kehilangan pesawat MH370 dan isu MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.

Katanya, sedangkan negara-negara lain seperti China dan Belanda berani menunjukkan sikap mereka dalam isu MH370 berbanding Malaysia sendiri.

Katanya lagi, dasar luar di era Najib ini tidak menunjukkan jati diri Malaysia sendiri tetapi bergantung kepada siapa yang banyak memberi kelebihan terhadap kepentingan politik beliau.

“Apabila kita mengharapkan China melabur di Malaysia, maka kita banyak beri ruang dan tidak berani kritik China dan sebagainya,” katanya lagi.