Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan PR 2014 : Atasi pembaziran BN – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 mengumumkan peruntukan RM500 juta setahun bagi melaksanakan pembangunan Orang Kelainan Upaya (OKU) selain menggariskan pengukuhan manfaat bagi warga emas dengan menambah pakar geriatrik terlatih serta diperuntukkan RM50 juta untuk melaksanakan beberapa langkah membantu golongan belia

2. Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana dan kemusnahan di Bertam Valley, Cameron Highlands.

3. Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri meletakkan sasaran menjadikan KUIS sebagai universiti penuh pada tahun 2016.

Categories
SELANGOR

KUIS jadi universiti penuh 2016

DSC_0461a

BANGI 24 OKT – Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri meletakkan sasaran menjadikan KUIS sebagai universiti penuh pada tahun 2016.

Katanya, cabaran besar itu bakal digalas semua pimpinan dan tenaga pengajar KUIS dengan sasaran 30 peratus daripada kakitangan mempunyai kelayakan ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Sehubungan itu, katanya, KUIS menyediakan program Skim Latihan Akademik Staff (SLAS), selain memberikan tumpuan kepada Program Pasca Siswazah (PPS) untuk merealisasikan hasrat itu.

“Kita sedang kaji kekuatan akademik dan mendapati ramai kakitangan mula belajar di peringkat PhD. Jadi salah satu daripada kriteria untuk menjadi sebuah unversiti adalah jumlah tenaga pengajar PhD. Bagi perancangan ini, kita jangkakan lebih 60 orang akan balik dan antara 40 hingga 50 orang akan mendapat PHd dalam temph dua tahun.

“Kita baru menawarkan program SLAS untuk kakitangan, pelajar atau pegawai KUIS. Kami jangka dalam tempoh tiga tahun jumlah yang disasarkan itu akan tercapai.

“Kita juga melihat kepada jumlah pasca siswazah dan sudah menawarkan program PhD. Program ini dijangka akan mendapat sambutan pada semester hadapan dan PPS akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Ab Halim berkata, KUIS mensasarkan jumlah kemasukan pelajar sebanyak 7,000 orang untuk menjana pendapatan dan sehingga kini institusi itu mempunyai hampir 5,000 orang pelajar daripada pelbagai bidang.

Beliau berkata, KUIS kini menawarkan 46 kursus di peringkat asasi, diploma, sarjana muda dan pasca jjazah yang diperakui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kita juga sedang merangka pelan pembangunan strategik KUIS untuk 10 tahun dalam usaha merealisasikan menjadikan kolej ini sebagai sebuah universiti.

“Pelan ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian dan semua peringkat kena bekerjasama. Saya tidak kata perkara ini mudah, tetapi yakin ia dapat dilakukan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KUIS bakal tubuh Pusat Latihan dan Penyelidikan Perbankan Islam Januari 2014

kuiss

BANGI 24 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) akan menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bersama Islamic Develop Bank (IDB) Jeddah bagi menubuhkan pusat latihan dan penyelidikan perbankan Islam, selewat-lewatnya Januari 2014.

Cadangan penubuhan itu bertujuan memperkembangkan lagi pengetahuan terhadap sistem perbankan Islam yang semakin mendapat tempat dalam pasaran.

Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata program itu akan dikendalikan oleh Fakulti Muamalat, selain jalinan kerjasama di antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain.

“Lembaga Pengarah bersetuju untuk kita mengadakan MOU bersama Islamic Develop Bank (IDB) di Jeddah. Atas persetujuan itu, kami akan menubuhkan satu pusat latihan dan penyelidikan perbankan Islam.

“Penebuhan itu, akan diketuai Dekan Fakulti Muamalat dan mesyuarat pertama akan diadakan dalam masa terdekat, yang mana perjanjian ini akan ditandatangani, selewat-lewatnya Januari 2014,” katanya pada sidang media Majlis KUIS bersama Media, di sini, semalam.

Katanya, fokus latihan diberikan kepada kepada pegawai yang tidak mempunyai latar belakang perbankan Islam tapi bekerja di dalam sektor berkenaan dan untuk orang bukan Islam.

“Cadangan itu dilihat mampu dikembangkan ke peringkat antarabangsa memandangkan perbankan Islam baru menguasai 20 peratus pasaran. Modul pengajaran ini akan dibuat dalam bentuk sarjana dan sijil latihan, namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KUIS berjaya kutip RM7.8 juta tunggakan yuran pelajar

kuissBANGI 23 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjaya mengutip semula hutang yuran pelajar berjumlah RM7.8 juta sehingga bulan ini.

Usaha itu berjaya dilakukan dalam tempoh dua bulan selepas penubuhan Jawatankuasa Kawalan Kredit yang dipengerusikan Timbalan Rektor Pengurusan Korporat, Pembangunan dan Pengantarabangsaan, Dr Zulkifli Abd Hamid.

abd halimRektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata hutang yuran pelajar yang dilaporkan Ketua Audit Negara adalah hutang tertunggak sejak tahun 2006, yang mana baki membabitkan pelajar tempatan sebanyak RM8.5 juta dan pelajar luar negara adalah RM1.6 juta.

“Kebanyakan pelajar yang tidak membayar hutang adalah mereka yang menanggung kos pengajian secara persendirian. Mereka datang enam minggu (satu semester) selepas minggu ketujuh mereka lari. Itu dikira hutang sebab mereka sudah menggunakan kemudahan kolej,” katanya pada sidang media pada Majlis KUIS bersama media, di sini, hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 menyentuh aspek yuran yang tinggi berdasarkan semakan audit terhadap baki hutang pelajar sehingga 31 Disember 2012 yang mendapati jumlah baki tertunggak sebanyak RM24.17 juta.

Dianggarkan 3,400 orang bekas pelajar tempatan belum melunaskan hutang sejak tahun 2006 dan kebanyakan mereka berhutang pada semester pertama dengan jumlah yuran bernilai RM5,000.

Ab Halim berkata, pihak KUIS akan cuba menjejaki pelajar luar negara yang masih berhutang dengan berbincang bersama kedutaan negara masing-masing.

“Mulai tahun ini, kita cadangkan pelajar yang belum menjelaskan bayaran tetapi mendapat biasiswa diberikan pengecualian iaitu mereka boleh menduduki peperiksaan tetapi perlu ada penjamin. Pelajar yang melangsaikan hutang secara tunai bakal diberikan potongan bayaran berjumlah 20 peratus.

“Kita sudah bertemu Jabatan Audit Negara untuk menerangkan kedudukan sebenar dan KUIS mengambil positif terhadap semua teguran yang diberikan untuk penambahbaikan,” katanya.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

KUIS Bakal Jadi Universiti Islam Tiga Tahun Lagi

20130730_200445_LLS (1)

BANGI 31 JULAI : Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) mensasarkan untuk menjadi sebuah Universiti Islam dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, manakala jumlah pelajar pada tahun 2014 ini akan ditingkatkan kepada 6,000 mahasiswa.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, antaranya akan menawarkan Program Pasca Siswazah dalam bidang sarjana, dan doktor falsafah melalui pusat pengajian siswazah yang akan diaktifkan semula.

“KUIS membuka tawaran pengambilan setelah mendapat kelulusan daripada pihaj Malaysian Qualifications Agency (MQA) yang merupakan sebahagian 46 program pengajian yang ditawarkan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di pekarangan Masjid Al-Azhar KUIS di sini.

Pada majlis yang sama, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan berjumlah RM936,454.77 daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan RHB Islamic Bank Berhad.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat berkenaan.

KDEB yang diwakili Presidennya, Suhaimi Kamaralzaman menunaikan zakat perniagaan bagi KDEB dan anak syarikatnya sebanyak RM826,455.77.

Manakala, RHB Islamic Bank Berhad diwakili Pengarahnya, Datuk Faizal Siraj menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM110,000 .

Sementara itu pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 37 orang pelajar fakir, 115 orang pelajar miskin dan 100 orang asnaf mualaf yang menerima sumbangan RM400 setiap seorang.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Datuk Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.