Categories
AGENDA NASIONAL

Bertenang selama dua minggu selepas terima dos penggalak – pakar

SHAH ALAM, 15 JAN: Orang ramai dinasihatkan mengelak aktiviti lasak yang boleh membebankan jantung bagi mengekalkan gaya hidup sihat selepas menerima suntikan dos penggalak Covid-19, menurut pakar kesihatan.

Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman berkata masyarakat perlu tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berat dalam tempoh dua minggu, lapor The Star.

Seperti mana tanggapan umum, beliau juga mengingatkan orang ramai untuk menilai kesan sampingan selepas vaksinasi.

“Sekiranya terdapat sebarang masalah, mereka harus mendapatkan rawatan perubatan segera,” katanya.

Menurutnya, sebarang kesan sampingan perlu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui aplikasi MySejahtera.

“Simptom ringan seperti sakit atau bengkak di tempat suntikan biasanya berkurangan. Jika demam, mereka dinasihatkan mengambil paracetamol setiap enam jam sehingga gejala hilang.

“Dan jika mereka mempunyai sebarang keraguan atau gejala lain, mereka harus berjumpa doktor dengan segera,” katanya.

Menurut Prof Dr Moy Foong Ming dari Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan Universiti Malaya (UM), orang ramai harus mengekalkan gaya hidup sihat seperti mempunyai keseimbangan diet dan tidur yang lena.

Beliau berkata bersenam tidak boleh dilakukan jika seseorang individu mempunyai kesan sampingan.

“Mungkin juga idea yang baik untuk seseorang yang mengalami demam selepas vaksinasi untuk minum lebih banyak air,” katanya.

Walaupun Kementerian Kesihatan Singapura menasihatkan orang ramai untuk mengelak aktiviti berat, Dr Moy berkata ini dibuat berhubung kebarangkalian jarang berlaku miokarditis (keradangan jantung) dan perikarditis (keradangan pada lapisan luar jantung).

Ini biasanya berlaku pada lelaki berumur 30 tahun ke bawah selepas vaksinasi.

“Bagaimanapun, pada masa ini tiada kajian menunjukkan bahawa terdapat peningkatan risiko kesihatan yang berkaitan dengan bersenam selepas mendapat vaksin,” tambahnya.

Dr Moy berkata bahawa bersenam disyorkan untuk membantu menguruskan kesakitan di tapak suntikan tetapi bukan untuk seseorang yang mempunyai kesan sampingan kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Pada Julai tahun lepas, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti fizikal yang berat selama seminggu selepas menerima vaksin Covid-19.

Antara aktiviti yang disenaraikan ialah sukan yang melibatkan bola atau raket, berbasikal, membawa beban, berlari atau berjoging dan berenang.