Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 18 FEB: Istilah ‘pelukis’ lebih sesuai digunakan untuk golongan penggiat seni dalam bidang berkenaan berbanding ‘artis’ yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor, Prof Raja Datuk Zahabuddin Raja Yaacob, berpandangan istilah terbabit secara langsung menggambarkan karier sebenar kumpulan terbabit.
“Ada kalanya apabila disebut artis, ada yang bertanya awak pelakon atau penyanyi?
“Bagi saya istilah sebenar memang sudah tersedia maka elok kita kekalkan seperti mana ditetapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya kepada media di Galeri Shah Alam (GSA) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis minum petang bersama media dan karyawan bagi meraikan Pameran Koleksi 25 Tahun di galeri berkenaan.
Zahabuddin berkata, istilah terbabit diterjemahkan secara terus daripada perkataan bahasa Inggeris (artist) lebih sesuai untuk golongan penghibur seperti pelakon dan penyanyi yang digunapakai masa kini.
“Bila ‘artist’ diterjemahkan terus menjadi ‘artis’ dan diguna pakai semua pihak maka ia mengelirukan.
“Saya melihat perkataan artis ini secara umumnya orang menggambarkan sebagai penghibur,” katanya menyentuh perihal biodata diri (CV) sesetengah pelukis yang digelar artis.
Katanya, kekeliruan sering berlaku apabila pelukis dicadangkan untuk memenangi anugerah digambarkan sebagai artis dengan pertanyaan ‘Apa filem atau drama dilakonkan?’.
Sementara itu, Penolong Kuratur GSA, Iszuan Ismail berkata, galeri bermula pada 1991 itu menyambut ulang tahun ke 25 pada tahun ini.
“Sempena sambutan ini satu pameran karya Koleksi 25 Tahun Galeri Shah Alam 1991 – 2016 diadakan.
“Ia menghimpunkan lebih 40 karya seni dihasilkan pelukis seperti Haron Mokhtar, Yusof Ismail, Ismail Baba, Abdul Rasid Yusof dan Juhari Said,” katanya.