Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan : Jangan Mudah Terpedaya Dengan Fitnah Dan Khabar Angin

sultan mb masjid jelutong 01

SHAH ALAM 17 MAC : Umat Islam diperingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan berita fitnah dan khabar angin yang disebarkan melalui pelbagai media.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar setiap berita harus diteliti dengan lebih mendalam dan terperinci sebelum membuat sesuatu kenyataan atau mengambil tindakan.

“Setiap gerak-geri, percakapan, perbuatan, serta keputusan yang diambil akan menentukan masa depan diri sendiri, keluarga dan negara,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda bertitah demikian semasa Majlis Perasmian Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong di sini.

Masjid tersebut dibina dengan kos RM 25.5 juta.

Kos itu ditampung sumbangan wang wakaf Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebanyak RM 6 juta, Kerajaan Selangor (RM 11 juta), Sime Darby Property Bhd (RM 6 juta) dan kutipan ahli-ahli kariah masjid sebanyak (RM 2.5 juta).

sultan mb masjid jelutong 03

Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong yang juga Masjid Diraja dibina pada Mei 2010 dan siap sepenuhnya pada Mac 2013.

Ia mempunyai keluasan 2.07 hektar dan mampu memuatkan kira-kira 4,000 jemaah ada satu-satu masa.

Sultan Sharafuddin juga bertitah agar ahli jawatankuasa Masjid Tengku Ampuan Jemaah hendaklah terdiri daripada mereka yang sanggup memikul segala tanggungjawab yang diamanahkan.

“Beta berkenan supaya Ahli Jawatankuasa Masjid ini sentiasa bersikap amanah, berwibawa dan professional serta dapat bekerjasama antara satu sama lain dengan erat bagi merangka program yang boleh memakmurkan masjid.

“Diharap Masjid ini juga dijadikan tempat untuk umat Islam di kawasan ini bersatu padu dengan semangat persaudaraan yang kukuh dan teguh.

“Masyarakat di sini hendaklah sentiasa hidup dalam harmoni dan bersikap muhibbah,” titah Baginda Sultan.

Turut hadir dalam majlis itu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

sultan mb masjid jelutong 02