Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LZS: Bantu 63,000 ketua isi rumah asnaf peroleh perlindungan takaful

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) memeterai satu kerjasama strategik yang akan memberi peluang kepada kira-kira 63,000 ketua isi rumah asnaf yang berdaftar dengan LZS untuk mendapat perlindungan sosial melalui penebusan baucar perlindungan tenang bernilai RM75.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohamad Radzuan Mohamed berkata sebagai permulaan, kerjasama ini akan menghubungkan aliran maklumat mengenai asnaf daripada LZS, khususnya mereka yang tergolong dalam penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 atau Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), yang dijenamakan semula pada Januari 2022.

Katanya, LZS akan membantu mempromosikan program baucar perlindungan tenang (PTV) dan menyelaras proses penebusan baucar serta enrolmen untuk pelan Perlindungan Tenang.

“Objektif inisiatif ini diharap dapat mempercepatkan proses penebusan PTV kepada mereka yang layak. Secara tidak langsung, ia dapat memberi manfaat kepada industri Takaful dalam menambah baik pilihan sedia ada atau yang telah ditawarkan kepada penerima BKM,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Jelas Mohamad Radzuan tiada sebarang kos kewangan yang akan dikenakan kepada asnaf yang berminat untuk menyertai pelan takaful yang ditawarkan.

Malah pihak LZS juga tidak perlu membiayai sebarang kos, sebaliknya menjadi perantara antara MTA dan asnaf berdaftar di Selangor dengan menyampaikan maklumat berkaitan penebusan PTV melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), dan amil kariah masjid yang dilantik LZS, seterusnya menyarankan asnaf mengambil peluang dan manfaat yang disediakan kerajaan.

Dalam ucapan Bajet 2021 pada Oktober 2020, kerajaan mengumumkan peruntukan dalam bentuk baucar berjumlah RM50 diberikan kepada golongan B40 untuk membeli produk perlindungan tenang.

Seterusnya, dalam pembentangan Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan untuk program PTV yang dilancarkan pada 30 September 2021 hingga 31 Disember 2021, diteruskan bagi tahun 2022 dengan nilai baucar ditingkatkan kepada RM75 untuk pembelian produk perlindungan tenang atau membeli perlindungan komprehensif bagi motosikal 150cc dan ke bawah.

“Setakat 6 Mac 2022, sebanyak 729,173 baucar bernilai RM53 juta telah ditebus oleh penerima BKM yang layak,” kata Mohamad Radzuan.

Beliau turut menjelaskan sehingga kini, terdapat lapan syarikat pengendali Takaful yang telah menawarkan 11 produk perlindungan tenang, antaranya faedah kematian dan hilang upaya kekal, kematian akibat kemalangan, perlindungan bangunan dan atau terhadap kebakaran dan kilat.

Pengendali Takaful terlibat ialah AIA Public Takaful Bhd, Etiqa Family Takaful Bhd, FWD Takaful Bhd, Great Eastern Takaful Bhd, Hong Leong MSIG Takaful Bhd, Prudential BSN Takaful Bhd, Syarikat Takaful Keluarga Bhd dan Takaful Ikhlas Family Bhd.

Pasaran industri takaful dan sasaran 2022

Sementara itu, Mohamad Radzuan turut berkata bagi 2021, jumlah penebusan baucar perlindungan Ttnang oleh industri takaful hanya berjumlah tujuh peratus, manakala selebihnya oleh insurans konvensional.

Ini disebabkan kebanyakan pengendali takaful kurang bersedia untuk menawarkan produk-produk yang bersesuaian serta saluran untuk mengedarkan maklumat berikutan program PTV yang bermula pada suku keempat 2021.

“Namun bermula 1 Jan, 2022, kita telah berjaya melipatgandakan usaha promosi termasuk dengan adanya kerjasama LZS, iaitu antara badan pengurusan zakat yang memperoleh kutipan zakat terbesar di negara ini.

“MTA berharap ini juga dapat membuka jalan untuk badan pengurusan zakat di negeri-negeri lain untuk turut serta menghebah dan meluaskan maklumat mengenai perkhidmatan takaful,” jelasnya.

Setakat Mac 2022, Mohamad Radzuan berkata industri takaful berjaya mencapai 14 peratus daripada keseluruhan pasaran dan berharap ini akan meningkat lebih daripada 20 peratus pada hujung tahun ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan melalui Kementerian Kewangan tidak mahu program PTV menjadi program diskaun atau untuk mendapatkan perlindungan percuma, sebaliknya memberi peserta melalui pengalaman perlindungan takaful sebagai satu literasi kewangan.

– BERNAMA