Demonstrasi besar-besaran bantah program Dwi Bahasa (DLP) akan diadakan 9 April ini di Stadium Merdeka.
Tag: Program Dwi Bahasa
DLP satu kezaliman budaya
OLEH LIZAWATI MADFA
KUALA LUMPUR, 10 MAC: Pelaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP) di sekolah kebangsaan adalah satu kezaliman terhadap budaya, dakwa Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan.
Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata tindakan itu juga tidak adil memandangkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dikecualikan daripada DLP.
Katanya, ia menyebabkan pelajar Melayu dinafikan hak untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda.
“Itu satu penzaliman kebudayaan walaupun ia hanya projek perintis.
“Anak-anak Melayu ini seolah-olah dijadikan mangsa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Angkatan Belia Malaysia (ABIM) Pusat, di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Gerakan Mansuhkan DLP, Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad dan Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Faisal Abdul Aziz.
Sementara itu, Shaharir berkata, Kerajaan Pusat dilihat tidak berani menyentuh SJKC dan SJKT ekoran penentangan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum ini.
“Sebab itu, mereka hanya mahu laksanakannya di sekolah kebangsaan ekoran merasakan kurang tentangan,” katanya.
-AA-