Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi CITF hingga 31 Oktober, KKM laksana PICK sepenuhnya mula 1 November

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 atau Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) hanya akan beroperasi hingga 31 Oktober ini, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau yang juga Pengerusi bersama CITF berkata bermula 1 Nov depan, usaha imunisasi Covid-19 akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perkembangan semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang berada pada tahap baik.

“Susulan perkembangan PICK semasa yang telah berada pada tahap yang baik, mandat bagi usaha imunisasi penduduk yang selanjutnya, seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipulangkan semula oleh CITF kepada KKM.

“…saya yakin KKM sememangnya berpengalaman dan bersedia, terutamanya apabila KKM kini sedang giat menjalankan vaksinasi Covid-19 remaja,” katanya berucap pada majlis penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau berkata PPV bukan kesihatan yang diuruskan CITF kini telah mula ditutup secara berperingkat di seluruh negara dan menjangkakan tiada lagi PPV bukan kesihatan akan beroperasi selepas 31 Okt ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata mulai bulan ini, CITF akan membuat hebahan mengenai saluran untuk orang ramai mengemukakan sebarang pertanyaan di bawah kawal selia KKM.

Beliau memaklumkan KKM, MOSTI dan CITF telah mula berbincang dan menyelaraskan urusan pemulangan semula tugas-tugas imunisasi Covid-19 untuk memastikannya berjalan lancar.

CITF ditubuhkan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Feb lepas sebagai pemantau kerangka kerja dan strategi keseluruhan bagi menyokong pelaksanaan PICK.

Sementara itu, beliau berkata semua negeri telah mencapai 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi selepas Sabah merekodkan kadar vaksinasi mencecah 60 peratus semalam sekali gus menjangkakan sasaran 100 peratus vaksinasi lengkap penduduk dewasa seluruh Malaysia hujung bulan ini juga hampir menjadi kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil atas sumbangan, pengorbanan dan komitmen yang diberikan.

Beliau berkata PPV berkenaan beroperasi sejak 21 Jun lepas dan memberikan lebih 730,000 dos vaksin Covid-19 kepada orang ramai.

PPV Stadium Nasional Bukit Jalil juga merupakan PPV pertama melaksanakan PICK Fasa Tiga di Lembah Klang dan satu-satunya PPV yang dikhaskan untuk ‘walk-in’ atau secara jumpa terus tanpa janji temu kepada bukan warganegara bermula 9 hingga 22 Ogos lepas yang menyaksikan sebanyak 90,579 dos diberikan dalam tempoh tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 50 peratus populasi lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran ditetapkan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) apabila 50.2 peratus atau 11,743,096 populasi dewasa negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya hari ini memaklumkan sebanyak 75.3 peratus atau 17,625,760 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin Covid-19 menerusi PICK setakat semalam sebanyak 29,368,856 dos.

“Hari ini, lebih 50 peratus daripada populasi dewasa negara telah lengkap divaksinasi. Kita di landasan tepat bagi mencapai sasaran yang ditetapkan untuk PICK. Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat. Usaha gigih selama ini perlu diteruskan,” menurut hantaran itu.

Menurut JKJAV, 54 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat dos pertama manakala 36 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan peningkatan kepada 531,114 dos semalam berbanding 525,111 dos pada Selasa, dengan 188,474 adalah dos pertama manakala 342,640 adalah dos kedua.

-BERNAMA