Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih sejuta individu lengkap dua dos vaksin, Selangor tertinggi

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Seramai 1,130,301 individu telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 di negara ini setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya hari ini berkata seramai 2,444,075 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini ialah 3,574,376 dos setakat semalam.

Beliau berkata lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 145,972 dos diikuti Sarawak (119,421); Perak (105,546); Kuala Lumpur (101,822); dan Johor (98,429).

Setakat semalam, 52.4 peratus atau 12,708,357 individu telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,357,323 orang.

Mengikut perancangan, fasa kedua program itu yang bermula April hingga Ogos ini akan melibatkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga bermula bulan lepas hingga Februari 2022 pula melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

905,271 individu lengkapkan dua dos vaksin setakat semalam

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Seramai 905,271 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi akaun Twitternya hari ini, Dr Adham berkata seramai 1,578,225 individu pula telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah 2,483,496 dos setakat semalam.

Dr Adham berkata lima negeri yang lengkap menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 122,007 dos diikuti Sarawak (91,667), Kuala Lumpur (89,194), Johor (82,492) dan Perak (75,311).

Setakat semalam, 44.70 peratus atau 10,850,160 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor terus mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,843,697 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Peringkat akhir urusan beli vaksin, selesai bulan depan

SHAH ALAM, 19 MEI: Urusan pembelian 2.5 juta dos vaksin untuk kira-kira 1.25 juta penduduk negeri ini bagi membendung Covid-19 kini pada peringkat akhir.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pembelian dijangka dimuktamad pada bulan depan sebelum diagih percuma kepada rakyat selain dijual kepada majikan pada harga kos.

“Kerajaan Negeri akan memutuskan segala proses perolehan vaksin selengkapnya daripada pradaftar dan proses agihan menerusi dua kelompok iaitu secara percuma (rakyat) dan membeli dengan kos (majikan).

“Usaha ini bagi membantu kerajaan persekutuan melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Amirudin juga menjelaskan kira-kira 2.6 juta penduduk di negeri ini telah mendaftar untuk menerima vaksin berkenaan.

Pada 18 Januari, Kerajaan Selangor mengumumkan hasrat membeli lima juta dos vaksin melalui peruntukan RM100 juta bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

732,911 individu terima dos kedua vaksin Covid-19 setakat semalam

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Sejumlah 732,911 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi akaun Twitternya hari ini, Dr Adham berkata angka itu adalah sebahagian daripada 1,192,426 individu yang menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini kepada 1,925,337 dos setakat semalam.

Dr Adham berkata lima negeri yang lengkap menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 99,797 dos diikuti Kuala Lumpur (80,662), Johor (69,562), Sarawak (69,353) dan Perak (60,617).

Sehingga semalam, 41.80 peratus atau 10,146,732 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi berjumlah 2,615,118 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sesi PAC, sidang Parlimen penting jayakan program suntikan vaksin

SHAH ALAM, 22 APRIL: Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan sidang Parlimen perlu diteruskan ke arah menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ahli parlimen Permatang Pauh berkata langkah tersebut bagi mengatasi masalah segelintir rakyat yang sangsi untuk menerimanya susulan wujud pelbagai kumpulan anti vaksin di media sosial.

“Permulaan yang baik menerusi sesi PAC bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) sewajibnya diteruskan menerusi sidang Parlimen yang dibuka serta merta.

“Dewan Rakyat adalah medan semak imbang pihak eksekutif, tempat penggubalan undang-undang bagi melindungi hak rakyat dan perbahasan isu kritikal, bukannya semata-mata pertarungan membuang undi,” kata Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan pembukaannya juga mengukuhkan gandingan strategik merentasi parti, pihak berkepentingan dan masyarakat dalam memaksimakan keyakinan vaksinasi serta mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang tahun depan.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata anggota PAC yang menghadiri sesi penerangan JKJAV pada 5 Januari lalu berpuas hati dengan penjelasan berhubung proses perolehan vaksin, harga dan jadual penghantarannya.

“Malaysia kini berdepan serangan pandemik amat mengesankan kepada sistem kesihatan, sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Tumpuan kita perlu menjurus kepada perlindungan mereka.

“Mencapai imuniti kelompok sehingga 80 peratus adalah salah satu tiang seri utama dalam melindungi kita semua dan mengembalikan ekonomi negara ke arah lebih positif,” katanya.

Nurul Izzah berkata kritikan terhadap kelemahan urus tadbir negara tidak seharusnya merencatkan program imunisasi dengan fokus utama untuk keluar dari wahana pandemik dan mencapai sasaran ditetapkan.