Program Khas Mesra Rakyat beri peluang rakyat kemuka masalah

SINOPSIS

Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) dilaksanakan sejak 2011 di setiap daerah memberi peluang rakyat meluahkan masalah, kehendak, rungutan atau rasa tidak puas hati mereka secara terus kepada Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sebarang masalah atau kehendak penduduk yang dapat diatasi segera akan diselesaikan atau dipenuhi dengan cepat. Manakala katanya mana-mana masalah penduduk yang perlu diteliti dengan lanjut terutama melibatkan duit atau peruntukan akan dibawa ke Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) untuk dibincangkan dan diputuskan seterusnya dilaksanakan dengan kadar segera.

Categories
SELANGOR

Geran SelangorKu: 150 Projek Infrustruktur Diluluskan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Sebanyak 150 projek inftrastruktur di seluruh negeri telah diluluskan menggunakan peruntukan di bawah Geran Selangorku yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa satu hingga empat.

Bagi fasa satu sebanyak 19 projek infrastruktur diluluskan dan akan dimulakan dalam waktu terdekat selepas proses pemilihan kontraktor selesai.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, fasa dua pula sebanyak 17 projek diluluskan, fasa tiga 37 projek dan fasa empat 77 projek.

“Bagi fasa satu dan dua, peruntukan yang diluluskan untuk kesemua projek ini sebanyak RM5.4 juta manakala fasa tiga dan empat masih di peringkat perbincangan.

“Projek- projek yang diluluskan ini melibatkan kerja membaiki, membina dan menurap semula jalan, memasang lampu jalan, membina longkang, menaik taraf masjid,  pembinaan inftrastuktur sukan seperti gelanggang futsal.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerangan Geran Selangorku kepada penduduk di Sungai Ayer Tawar di Sabak Bernam sempena Program Khas Mesra Rakyat fasa tiga peringkat Daerah Sabak Bernam, semalam.

Geran Selangorku memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk projek inftrastruktur. Peruntukan itu hasil kejayaan kerajaan negeri mengutip semula hutang TALAM yang kemudian disalurkan semula kepada rakyat.

Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai pegawai kanan kerajaan negeri menentukan kelulusan projek berkenaan termasuk pemilihan kontraktor manakala proses sebut harga dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah.

Daripada 150 projek itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatatkan jumlah tertinggi dengan 29 projek diikuti Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebanyak 27 projek, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) masing-masing 15 projek.

Mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Sri Muda menerima kelulusan terbanyak dengan 31 projek, Meru (20), Telok Datok (13), Morib (14) dan Selat Klang (7).

Sementara itu, Program Khas Mesra Rakyat dimulakan dengan Menteri Besar menghadiri perhimpunan di Dewan Seri Bernam bersama pemimpin masyarakat diikuti sesi aduan rakyat yang memberi peluang orang ramai mengadu masalah secara terus kepada EXCO, pejabat daerah dan tanah.

Menteri Besar selaku Exco Pembangunan Tanah juga meluangkan masa hampir sejam untuk menyelesaikan beberapa masalah tanah yang diadu  kepada beliau.

Pada sebelah petang, Menteri Besar meramah mesra dengan golongan belia dan menyaksikan perlawanan futsal antara pasukan pilihan Menteri Besar dan pasukan pilihan belia tempatan sekali gus merasmikan Gelanggang Futsal Sungai Ayer Tawar. Pada malam pula diadakan ramah mesra dan jamuan rakyat di Stadium Mini Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

Ketua Kampung, JKKK, Wazir Diseru Bantu Pengundi Baru

SABAK BERNAM, 13 APR: Semua Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan para wazir diseru mengenali setiap pengundi di kawasan masing-masing sebagai salah satu usaha membantu para pengundi baru memastikan lokasi membuang undi semasa pilihanraya di adakan nanti.

Ini memandangkan terdapat pelbagai kekurangan yang berlaku dalam daftar pemilih yang sedia ada sehingga ada  para pengundi yang di ubah tempat pengundian tetapi tidak diketahui oleh pemilih.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata insiden tersebut berlaku pada diri beliau sehingga dikenalpasti telah diubah lokasi tempat membuang undi.

“Kita tahu ramai orang datang ke negeri Selangor kerana kekayaan yang ada di negeri ini sehingga menyebabkan rakyat di negeri lain pun datang untuk berkongsi kekayaan bersama rakyat Selangor dan kita alu-alukan.

“Jadi kita nak bantu semua rakyat Selangor dan mereka yang datang ke negeri ini. Sebab itu saya mahu semua ketua-ketua kampong dan wazir mendekati pengundi baru ini sambil membantu mereka mengenalpasti kawasan mengundi mereka masing-masing.

“Kita tak mahu pengundi dikawasan tertentu masih tercari-cari tempat mengundi semasa mengundi nanti hingga akhirnya tidak mengundi kerana marah dan kecewa.” kata Abdul Khalid.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan memanggil semua ketua-ketua Kampung, para wazir dan JKKK di semua daerah minggu depan bagi membantu para pengundi mengenalpasti kawasan membuang undi masing-masing.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Khas Mesra Rakyat Fasa ke tiga di sini.