Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kita Seniman Selangor diteruskan, libatkan lebih ramai penggiat seni

SHAH ALAM, 19 NOV: Program Kita Seniman Selangor dilancarkan awal bulan ini bakal diteruskan dengan menyertakan lebih ramai penggiat seni, kata EXCO Kebudayaan dan Warisan.

Borhan Aman Shah berkata usaha itu sebagai langkah membantu golongan terbabit yang kebanyakan terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Kita jalin kerjasama dengan pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan ketika ini perbincangan memperluaskan program sedang diteliti termasuk kos peruntukan.

“Segala aspek diperhalusi supaya program berjalan lancar. Kita menyasarkan dua lagi lokasi untuk menjayakan program iaitu di Subang Parade, Subang dan AEON di Seksyen 13,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Kita Seniman Selangor dilancarkan pada 4 November sebagai inisiatif tambahan membantu kelangsungan hidup golongan seni ketika pasca Covid-19 ini membabitkan peruntukan RM50,000.

Buat permulaan program berlangsung seminggu itu dijayakan di SACC Mall dan PKNS Shah Alam.

Pada Ogos Kerajaan Selangor memperuntuk RM250,000 bagi membantu pemuzik yang berdaftar bawah kelab atau persatuan negeri yang terjejas akibat pandemik.

Usaha melalui Kita Buskers Selangor melibatkan 720 pemuzik jalanan itu dimulakan dengan menempatkan mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi menghiburkan penerima suntikan.