Categories
SELANGOR

Selangor mula pembangunan sungai Klang Mac 2014

mb himpunan ketua kampung

SHAH ALAM 8 NOV : Kerajaan negeri bakal membangunkan semula sungai Klang termasuk pembersihan dan penaiktarafan akan dimulakan, pada Mac 2014.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha pertama yang perlu dipandang serius adalah kerja pembersihan sungai berkenaan dan kini sudah ada beberapa perancangan yang akan dimulakan, menjelang 2014.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri harus menunggu dan meneliti terlebih dahulu pembangunan sungai Klang kerana ramai pihak tampil untuk membantu penaiktarafan itu termasuk beberapa buah syarikat dari Korea dan China.

“Saya fikir pembangunan ini kemungkinan besar berlaku, pada Mac 2014. Kini sudah ada beberapa kertas kerja, usaha pertama kita adalah untuk membersihkan sungai Klang kerana sampah yang banyak,” katanya

Abdul Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Penghulu, Ketua Kampung Tradisi dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, syarat yang dikenakan syarikat berkenaan tidak dapat dipenuhi kerajaan negeri atas sebab tertentu.

“Terlalu ramai ingin menolong kita betulkan sungai Klang, termasuk dari luar negara. Tetapi, bukan betul mereka ingin bangunkan sungai Klang, tetapi mengimpikan tanah di sebelah kawasan terbabit, jadi saya tangguh dahulu.

“Kalau saya bagi keizinan, dikhuatiri kita tidak ada tanah. Mereka kata ingin cantikkan sungai Klang supaya jika ada yang ingin ke Kuala Lumpur daripada Pelabuhan Klang ke Masjid Jamek hanya menggunakan bot.

“Namun, saya untuk biayai pembangunan ini, tanah di sebelah sungai itu perlu diserahkan kepada mereka, nanti orang kampung marah pula pada saya,” katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri menunggu kerja pembersihan dan penaiktarafan sungai di Kuala Lumpur selesai, sebelum memulakan usaha pembersihan sungai Klang.

“Saya tunggu Kuala Lumpur betulkan sungai di bahagian atas. Kalau kita mulakan pembersihan, kekotoran daripada bahagian itu akan sampai sini, tetapi perancangan semua sudah ada dan tahun depan sudah boleh dimulakan,” katanya.

-NFN

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2014: MBPJ syor peruntukan RM1 juta untuk sediakan bas pengantara percuma

mbpj 01

PETALING JAYA 7 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal fokus dalam usaha membangun sektor infrastruktur pengangkutan awam dan pengurusan lalu lintas yang efisyen serta berintegrasi bagi memastikan kemudahan juga keselesaan penduduk sekitar.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata MBPJ dalam Belanjawan Selangor 2014 bakal mengesyorkan supaya kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta dalam menyediakan perkhidmatan bas percuma.

mbpj 02Alinah berkata, perkhidmatan terbabit membabitkan laluan antara pusat bandar, pusat kesihatan, pejabat kebajikan, pejabat kerajaan dan pelajaran awam dengan terminal pengangkutan awam serta laluan pejalan kaki sebagai tambahan kepada perkhidmatan bas komuniti juga van transit orang kurang upaya (OKU) sedia ada.

“Selain itu, MBPJ sudah menyediakan jaringan laluan basikal dengan jarak lima kilometer (km) meliputi seluruh kawasan majlis yang dibina sebagai tambahan daripada 5.6 km sedia ada.

“Empat buah kemudahan ‘park and ride’ yang menawarkan 1,911 petak letak kereta di stesyen Transit Aliran Ringan (LRT) sedia ada juga akan dibina,” katanya.

Alinah berkata demikian dalam ‘Seminar Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) : Ke Arah Bandaraya Berdayahuni dan Lestari’ yang dihadiri 300 peserta antaranya jawatankuasa penduduk, rukun tetangga, pelajar institusi pengajian tinggi, perunding, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Kerja Raya di Hotel Royale Bintang Damansara, di sini, pagi tadi.

mbpj 03Katanya, MBPJ juga mula menguatkuasakan projek perintis menghadkan masa meletakkan kederaan selama dua jam di Pusat Bandar Sunway Damansara, pada 1 Oktober lalu.

mbpj 04“Kerja menjadikan jalan di pusat bandar Seksyen 52 sebagai jalan sehala juga akan dimulakan bagi mewujudkan lebihan ruangan untuk kemudahan pengangkutan alternatif seperti laluan pejalan kaki dan basikal yang selamat serta selesa, pada awal 2014,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika merasmikan seminar itu, berkata bandaraya Petaling Jaya bukan sahaja semakin pesat membangun tetapi mempunyai prasarana lengkap, sekali gus menjadi bandar yang selesa untuk penduduknya membina kehidupan.

“Keadaan itu hanya boleh dikekalkan dengan melaksana perancangan untuk merancakkan lagi pembangunan prasarana dan pengangkutan awam di Petaling Jaya,” katanya.

-NFN