Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 1 JAN: Program Mentor Kraf Selangor 2015 memberikan inspirasi kepada peserta mendalami industri kraf tangan seterusnya membina kerjaya sebagai pengusaha berjaya.
Peserta, Sharifah Junaidah Syed Idrus, 45, berkata program terbabit banyak membantu pengusaha sepertinya dalam membentuk keyakinan diri serta mmebuka peluang meneroka bidang baharu dalam industri berkenaan.
“Ia amat berguna untuk wanita terutama suri rumah kerana dapat membantu meningkatkan pendapatan dan tahap ekonomi keluarga.
“Saya sendiri berupaya menambah pendapatan dan berkongsi peluang dengan peserta lain apabila dilantik sebagai agen,” katanya kepada Selangor Kini di sini, semalam.
Peserta dari Lembah Subang, Nursharzi Bashar, 33, berkata, bidang kraf tangan bukan sesuatu yang sukar untuk diceburi dan pasarannya juga agal meluas pada masa ini.
“Ia mampu menarik minat peserta mendalami bidang ini kerana ia agak mudah untuk diusahakan dengan pelbagai produk menarik.
“Dengan bimbingan tenaga pengajar, banyak membantu kami untuk meningkatkan ilmu kraf seterusnya menjadi usahawan kraf berjaya,” katanya.
Peserta muda, Nurul Natasha Russelin, 22, juga dari Lembah Subang berkata, golongan muda sepertinya digalakkan mengambil peluang menceburi industri terbabit kerana ia berpotensi berkembang maju pada masa hadapan.
“Bidang ini mampu melahirkan ramai usahawan berjaya dan kreatif kerana produk dihasil memerlukan minat mendalam dengan hasil rekaan menarik dan tersendiri.
“Saya sarankan anak muda dan belia menceburinya kerana ia mampu menghasilkan pulangan membanggakan,” katanya.
Program Mentor Kraf Selangor 2015 anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pusat Latihan Luvly Touch mulai 10 hingga 24 Disember lalu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai lebih 50 peserta.
-nR-