Categories
PBT SELANGOR

MPS peruntuk RM320,000 jayakan program mesra rakyat

SHAH ALAM, 30 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperuntuk sejumlah RM320,000 bagi melaksana program mesra rakyat sejak awal tahun ini.

Pemangku yang dipertuanya berkata dana disalurkan melalui 24 ahli majlis di setiap zon masing-masing bagi membantu penduduk terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara program dijalankan serahan kit keselamatan Covid-19, bank makanan, bantuan barangan basah dan makanan asas termasuk edaran pelitup muka serta alat pengimbas suhu.

“Peruntukan juga digunakan untuk membantu penjaja dan menjalankan operasi nyahkuman bagi mencegah penularan wabak,” kata Cheremi Tarman dalam kenyataan semalam.

Beliau menambah sehingga hari ini, program bagi meringankan beban itu memanfaatkan seramai 6,000 keluarga kurang berkemampuan terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat pembangkang akui peruntukan bantu ribuan penduduk

SHAH ALAM, 26 JUN: Wakil rakyat pembangkang mengakui ribuan penduduk memperoleh manfaat daripada peruntukan yang diberi Kerajaan Negeri kepada mereka melalui program Mesra Rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya berkata dana itu disalur untuk bank makanan, bantuan kerusi roda, sumbangan untuk masjid dan surau, projek pertanian serta bantuan kepada sekolah.

“Ribuan rakyat juga dapat dibantu walaupun kita hanya dapat RM150,000. Kalau dapat RM500,000 maka lagi ramai dapat manfaat,” kata Haniza Talha kepada Selangorkini.

Beliau yang pernah menyandang jawatan EXCO Selangor sebelum berubah haluan politik berkata pihaknya merancang dengan teliti setiap program berikutan peruntukan itu untuk kegunaan sepanjang tahun.

“Cuma kaedah yang dilakukan itu perlulah dirancang sebagai contoh kerusi roda, kita buat secara pinjaman selepas guna pulangkan, orang lain pula dapat,” katanya.

Haniza menjelaskan pihaknya juga menjalankan kerjasama bersama syarikat tertentu yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan penduduk DUN Lembah Jaya dibantu.

Menyifatkan bantuan makanan banyak membantu penduduk terjejas akibat wabak, beliau berkata peruntukan itu disalur kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk agihan sumbangan.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentang pada 9 Jun lalu, peruntukan program Mesra Rakyat kepada semua 56 wakil rakyat termasuk pembangkang ditingkat kepada RM100,000.

Kerajaan Negeri atas semangat ‘Kita Selangor’ juga memberi peruntukan tambahan RM50,000 untuk program tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM3.28 juta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program Mesra Rakyat manfaat 10,000 penduduk Bandar Utama

SHAH ALAM, 15 JUN: Seramai 10,000 penduduk Bandar Utama yang terjejas akibat perebakan Covid-19 dijangka menerima manfaat menerusi Program Mesra Rakyat, kata wakil rakyatnya.

Jamaliah Jamaluddin berkata langkah Kerajaan Negeri meningkatkan had perbelanjaan Ahli Dewan Negeri (ADN) kepada RM100,000 membolehkan lebih ramai dibantu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Kebiasaannya kita beri bantuan makanan bernilai RM50 atau lebih RM100. Bantuan lebih RM100 diberikan kepada mereka yang positif Covid-19 dengan tambahan vitamin C,” katanya kepada SelangorKini semalam.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah berkata peruntukan tambahan itu membolehkan bantuan kepada golongan terkesan diberi secara menyeluruh.

“Ramai penduduk kawasan saya hilang pendapatan atau hilang pekerjaan dan secara tidak langsung bilangan golongan berpendapatan rendah (B40) kian bertambah.

“Setakat ini seramai 700 individu menerima bantuan setiap hari Jumaat manakala 300 keluarga dibantu secara bulanan menerusi inisiatif bank makanan,” katanya.

Bagi ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri, pihaknya akan meneliti jenis bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat.

“Peruntukan ini satu keperluan mendesak kerana ramai yang terkesan kerana kehilangan sumber pendapatan dan bantuan ini salah satu cara meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri melaksanakan 14 inisiatif di bawah strategi pertama Pakej Kita Selangor 2.0 bagi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat dan antaranya meningkatkan perbelanjaan Program Mesra Rakyat setiap ADN kepada RM100,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembangkang Selangor diberi dana RM50,000 untuk bantu rakyat

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerajaan persekutuan digesa mencontohi langkah Kerajaan Selangor menyediakan dana kepada wakil rakyat pembangkang bagi menjayakan program rakyat.

Peruntukan tambahan RM50,000 diberi kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) dan ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Dr Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming
“Saya harap kerajaan persekutuan boleh mengikut sikap Kerajaan Selangor di mana pihak pembangkang diberikan peruntukan yang sama dengan ADN kerajaan. Kita perlu menghadapi cabaran pandemik ini bersama tak kira parti politik.”

Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani
“Satu inisiatif yang sangat dialu-alukan selepas peruntukan kita selaku ahli parlimen pembangkang ditarik balik. Keprihatinan Kerajaan Negeri sangat kita hargai dengan tambahan peruntukan RM30,000 yang diberikan untuk terus membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.”

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad
“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor atas bantuan tersebut. Sebagai ahli parlimen pembangkang kami tidak lagi mendapat peruntukan seperti dahulu. Namun, kami berusaha untuk memberi khidmat kepada rakyat di kawasan kami. Setiap bantuan amat dialu-alukan.”

Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah
“Ia membantu ahli parlimen men-yalurkan bantuan kepada penduduk memerlukan terutama mereka yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah. Lagipun sehingga kini dana amat terhad memandangkan tiada peruntukan yang disalurkan dari pusat bagi tujuan berkenaan.”

Mohamad Sabu

Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu
“Amat baik terutama dalam suasana rakyat amat memerlukan. Terutama bantuan makanan bagi membela golongan berpendapatan rendah yang terjejas.”

ADN Jeram Mohd Shaid Rosli
“Inisiatif yang bagus tetapi diharap tambahan RM50,000 peruntukan baharu bukan menggunakan peruntukan sedia ada seperti sebelum ini. Jika sedia ada, kami pembangkang memang sudah tiada peruntukan. Terima kasih Kerajaan Selangor kerana cakna dengan kami walaupun berbeza fahaman politik.”

Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian peruntukan tambahan berjumlah RM50,000 program bakul makanan kepada semua ADN Selangor termasuk pembangkang. Saya menyambut baik inisiatif dalam usaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di setiap kawasan yang sangat terkesan dengan masalah Covid-19 tanpa mengira latar belakang parti.”