Categories
SELANGOR

Sedia Tapak Baru Peserta Mimbar Mula Perniagaan

SHAH ALAM 8 DIS : Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini sedang meneliti menyediakan tapak-tapak baru untuk peserta Program Mikrokredit Miskin Bandar Selangor (Mimbar) yang masih belum mempunyai lesen dan tapak berniaga.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata bagaimanapun, pihaknya akan terlebih dahulu meneliti kes permohonan lesen peserta di setiap Jabatan Perlesenan PBT.

Katanya, Kerajaan Negeri sememangnya menggalakkan peserta Mimbar untuk berniaga di tempat-tempat baru dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

“Saya harap peserta dapat memberikan sedikit masa untuk kita membuat perancangan itu yang bersesuaian dengan jenis perniagaan mereka.

“Dengan adanya tapak-tapak baru itu nanti, kita yakin masalah tapak perniagaan akan selesai kerana kita akan menyediakan mereka tapak di lokasi yang strategik sama ada di tapak yang baru atau tapak yang terbiar yang mana kita akan memperbaharui kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Peserta Mimbar peringkat Dun Batu Tiga di Hotel De Palma, di sini.

Dalam perkembangan lain, Rodziah berkata, Kerajaan Negeri memandang serius sekiranya premis yang disewakan kepada peniaga tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya.

Malah katanya, ada di antara peniaga yang menyewa premis bagaimanapun jenis perniagaan yang diusahakan tidak sama dengan lesen yang mereka perolehi.

Sehubungan itu, Rodziah menambah Kerajaan Negeri akan memperkenalkan ‘servis operator’ tidak lama lagi.

“Ia kerana Kerajaan Negeri mahukan peniaga benar-benar ingin berniaga bukannya ‘sub’ premis kepada orang lain.

“Kita akan memastikan lesen yang diberikan itu kepada orang yang betul-betul ingin berniaga. Jika Kerajaan Negeri boleh merampas barangan untuk pusat rumah urut yang disalah gunakan, tidak mustahil perkara itu tidak dilaksanakan bagi program ini.

“Kita tidak mahu konsep ‘ikutlah janji dapat duit’, kerana duit bukan isu utama tetapi mahu peniaga menjadi lebih bertanggungjawab,” katanya.