SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Negeri memberi tempoh sehingga 1 Oktober ini kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan, kata Ng Sze Han.
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru berkata terdapat lebih 2,000 kilang dikesan melanggar syarat kegunaan tanah dan tiada kebenaran merancang.
“Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran dimulakan sejak 30 September 2019. Kebanyakan kilang ini beroperasi di atas tanah pertanian.
“Proses pemutihan mengambil sedikit masa untuk kita selesaikan kerana bilangan kilang yang banyak,” katanya kepada SelangorKini.
Sze Han berkata, jika pemilik tanah dan kilang masih berdegil tindakan tegas akan dikenakan termasuk merampas aset.