Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat salah guna dana Program Subsidi Upah disenarai hitam

JOHOR BAHRU, 25 SEPT: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menyenaraihitamkan syarikat dan majikan yang didapati menyalahgunakan pemberian dana Program Subsidi Upah.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata ini berikutan terdapat aduan yang diterima pihaknya berhubung kegagalan majikan membayar upah kepada pekerja.

Beliau berkata selain menyenaraihitamkan, tindakan mahkamah juga akan dikenakan terhadap majikan terbabit jika turut didapati menggunakan dokumen palsu untuk menyertai program berkenaan.

“Kami sedang mengumpul maklumat berhubung syarikat yang terlibat dalam penyalahgunaan dana tersebut yang sehingga kini, kami telah menerima aduan membabitkan 89 majikan yang menerima subsidi upah tetapi upah tidak diterima oleh 846 pekerja di seluruh Malaysia.

“Selain itu, sebanyak 1,663 syarikat turut dikesan memberikan dokumen palsu melibatkan 14,800 pekerja dengan tuntutan sebanyak RM31 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Penjana Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) di sini, hari ini.

Saravanan memberi peringatan kepada mana-mana syarikat agar tidak mengambil kesempatan atas usaha yang dijalankan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dalam tempoh sukar ini.

Program Subsidi Upah diperkenalkan sejak 1 April sebagai mengurangkan beban majikan dan pekerjaan dalam menghadapi fasa pemulihan ekonomi selepas terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran daripada penularan jangkitan Covid-19.

Inisiatif dibuka kepada syarikat yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MEF gesa Program Subsidi Upah dilanjut hingga akhir tahun

SHAH ALAM, 18 SEPT: Program Subsidi Upah yang dijadualkan tamat akhir bulan ini, perlu dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ramai majikan swasta mengalami kesukaran mendapatkan aliran wang tunai dan ia mungkin akan melibatkan pemberhentian pekerja.

Katanya, program itu dilihat mampu membantu majikan terus bernafas semasa negara sedang menghadapi masalah ekonomi.

“Syarikat dibantu oleh kerajaan dengan mereka boleh kekalkan pekerja. Kalau mereka diberhentikan kerja pada masa sekarang, sukar juga untuk mendapat kerja baharu dan secara tidak langsung ia membantu untuk mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.

Beliau berkata jumlah bayaran subsidi upah hanyalah 12 peratus dari keseluruhan gaji di sektor swasta dan mencadangkan kalau boleh kerajaan meningkatkan kadar tersebut.

“Kalau dibandingkan di United Kingdom, program seumpama ini adalah sebanyak 80 peratus dari keseluruhan gaji di sektor swasta dibayar kepada pekerja, manakala di Singapura, 75 peratus dari jumlah keseluruhan gaji di sektor yang sama.

Pada 23 Jun, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul berkata Program Subsidi Upah yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani impak Covid-19 ke atas ekonomi negara menyelamatkan 2.4 juta pekerjaan.

-BERNAMA