Categories
AGENSI SELANGOR

Tanpa peranti elektronik lengkap tidak halang pelajar ikuti eptrs.my

BANTING, 5 FEB: Kekurangan kelengkapan peranti elektronik dan komunikasi tidak menghalang seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pembelajaran melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Berbekalkan sebuah telefon bimbit dengan capaian internet kurang memuaskan, Niel Shofia Fitrah Abdul Muthalib, 18, tetap memanfaatkan inisiatif pendidikan percuma disediakan Kerajaan Negeri itu.

Pelajar aliran sains rumah tangga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom berkata peluang itu tidak seharusnya disia-siakan biarpun tiada kemudahan secukupnya untuk mengakses portal pendidikan eptrs.my .

“Kebanyakan pelajar kalau mengikuti kelas dalam talian mungkin lebih selesa menggunakan komputer riba menerusi paparan skrin besar, saya yang mengimpikan kemudahan sama terpaksa berpuas hati menggunakan telefon bimbit yang kecil.

“Ditambah dengan jaringan internet perlahan sehingga kadangkala meminjam data adik yang juga memerlukannya untuk belajar tetapi kekangan ini tidak melunturkan semangat saya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Niel berkata portal memuatkan pembelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains, matematik dan sejarah adalah pecutan terakhir diperlukan calon sebelum menempuh SPM memberi pendedahan berhubung teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan.

“Program dengan kaedah video dan belajar perkara baharu daripada kepakaran guru berbeza sangat bagus memandangkan fokus kepada strategi menjawab soalan, lebih-lebih lagi pelajar tiada lagi masa mengulang kaji semua silibus menjelang SPM,” kata pelajar yang menggemari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu.

Portal tersebut antara inisiatif dalam Pakej Kita Selangor yang dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan STPM.

Platform itu memuatkan pembelajaran lima subjek untuk SPM, manakala pengajian am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk STPM.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mendapat sambutan menggalakkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia menunda tarikh peperiksaan SPM dan STPM bagi sesi 2020 kepada 22 Februari dan 8 Mac tahun ini. Turut ditunda Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Portal eptrs.my mudahkan pelajar, lebih yakin duduki SPM

BANTING, 5 FEB: Kaedah menjawab soalan peperiksaan dikongsi guru pakar melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) meningkatkan keyakinan pelajar menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir bulan ini.

Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, berkata strategi didedahkan tenaga pengajar berkonsep paparan video dalam laman sesawang pendidikan eptrs.my memudahkan menjawab soalan dengan tepat serta berkesan, mengikut piawaian semasa peperiksaan.

“Sebelum sistem ini diperkenal, saya hanya bergantung pada buku rujukan tetapi ada beberapa informasi tidak jelas dan memerlukan tunjuk ajar secara bersemuka.

“Bagaimanapun masalah itu diatasi selepas wujudnya portal ini yang sedikit sebanyak membantu cara menjawab dengan mudah dan isi kandungan setiap subjek mudah difahami, lebih-lebih lagi terdapat ruang komen untuk meninggalkan maklum balas berkaitan video dipaparkan,” katanya.

Portal eptrs.my menyediakan sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM

Mohamad Ikwan Adam, pelajar sains komputer Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom menjelaskan walau menggunakan platform itu kurang dua bulan namun banyak pengetahuan baharu diperoleh menerusi penerangan ringkas diberi selama enam jam bagi setiap mata pelajaran.

Anak kedua daripada tiga beradik berkata pembelajaran secara percuma itu turut membantu daripada aspek pengurusan masa dan bersedia menempuh SPM selepas tertangguh tahun lalu akibat penularan Covid-19.

“Memandangkan saya lemah dalam penulisan bahasa Inggeris, jadi perubahan ketara dapat dilihat apabila boleh menulis dengan lebih baik mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Portal tersebut antara inisiatif disediakan Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan STPM.

Platform itu memuatkan pembelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains, matematik dan sejarah untuk SPM manakala pengajian am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk STPM.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mendapat sambutan menggalakkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia menunda tarikh peperiksaan SPM dan STPM bagi sesi 2020 kepada 22 Februari dan 8 Mac tahun ini. Turut ditunda Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Categories
ADN SELANGOR

Tuisyen rakyat dalam talian bantu calon SPM, elak tercicir

SHAH ALAM, 2 NOV: Pelaksanaan program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) secara dalam talian mampu membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata ramai murid yang sepatutnya menduduki peperiksaan itu tahun ini ketinggalan dalam sukatan pembelajaran berikutan kegagalan hadir ke sekolah sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita menyambut baik usaha meneruskan PTRS tahun hadapan yang bakal memberi manfaat kepada lebih ramai murid terutama (murid) daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) selain mengurangkan kos.

“Kaedah pembelajaran dalam talian adalah lebih baik memandangkan (PTRS) sebelum ini kita perlu sediakan tempat tuisyen dan membayar upah guru untuk mengajar,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata peruntukan lebih besar untuk program tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri menyediakan sistem sokongan dalam bidang pendidikan seiring suasana pembelajaran norma baharu.

“Kerajaan Negeri mengambil peranan membantu golongan pelajar khususnya yang bakal menduduki SPM agar tidak ketinggalan melalui pembelajaran atau kelas tambahan lebih fleksibel secara dalam talian.

“Namun, pembelajaran dalam talian dan cabaran semasa dalam tempoh PKP juga perlu diurus dengan baik oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin pula mahu pelajar memanfaatkan peluang dan bimbingan yang diberikan melalui kelas tuisyen berkenaan agar mampu meraih kejayaan dalam bidang akademik.

“Diharapkan pelajar menghargai inisiaitf ini sama ada akses pembelajaran dalam talian mahupun luar talian kerana saya percaya kejayaan akademik dan kemahiran insaniah yang tinggi boleh mengubah masa hadapan seseorang pelajar,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 berkata sebanyak RM13 juta diperuntukkan bagi meneruskan PTRS tahun hadapan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peserta PTRS dapat makanan tengah hari percuma

BATU CAVES, 15 DIS: Prihatin dengan kebajikan pelajar yang bakal menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menjelang 2020, Kerajaan Negeri akan menyediakan makanan tengah hari secara percuma buat mereka, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata, pendekatan itu dilaksana kerana beliau tidak mahu anak-anak yang berada di sekolah sehingga lewat petang, tidak mendapat khasiat makanan secukupnya.

Katanya, pemberian itu sekali gus dijangka mampu mengurangkan kos tambahan kepada keluarga kurang berkemampuan.

“Sebelum ini ketika PTRS dijalankan, ada ibu bapa dari keluarga kurang berkemampuan memaklumkan mereka terpaksa menambah kos makan tengah hari sekiranya anak-anak berada di sekolah sehingga lewat petang.

“Maka menjelang tahun depan, mereka tidak perlu risau lagi akan perkara itu dan anak-anak juga akan belajar dengan lebih tenang serta selesa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di sini, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada program itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan itu menyerahkan sumbangan beg sekolah kepada 100 pelajar India.

Terdahulu, menerusi Belanjawan #Selangor 2020, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak RM10 juta diperuntukkan buat PTRS melalui pendanaan khusus Pemerbadanan Menteri Besar Selangor dan Kumpulan Perangsang Selangor.

Pada 13 November lalu, Amirudin turut memaklumkan PTRS akan membantu pelajar sekolah yang tercicir dalam akademik kerana terpaksa bekerja.

Menurut rekod, 183 pelajar sekolah menengah tidak meneruskan pengajian kerana perkara berkaitan.

“PTRS boleh dilaksana pada waktu fleksibel tertakluk kepada masa ditetapkan sekolah masing-masing.

“Di samping itu, program ini juga dilaksana kepada pelajar berasal daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Solusi Pemantapan Generasi Unggul tingkat prestasi pelajar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JUL: Inisiatif Solusi Pemantapan Generasi Unggul yang dilancarkan Kerajaan Negeri mampu memberi suntikan kepada pelajar untuk meningkatkan prestasi akademik masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor menyasarkan 10,000 pelajar khususnya dari kelompok B40 dibantu menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

“PTRS dilaksanakan sejak 2008, kita berjaya mengeluarkan pelajar berpotensi gagal kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam dan luar negeri.

“Berdasarkan rekod peperiksaan, terdapat 14,000 pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM berisiko gagal, sehubungan itu kita mencari solusi yang sesuai untuk membantu pelajar keluar dari risiko ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Solusi Pemantapan Generasi Unggul di Kediaman Rasminya, di sini.

Hadir sama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan  Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Soffan Affandi Aminuddin.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sejumlah RM5.96 juta diperuntukan menerusi Bisnes Amal MBI bagi PTRS tahun ini.

Katanya, pihaknya juga menambah satu mata pelajaran dalam modul yang digunakan pakai menjadikan jumlah semuanya lima mata pelajaran iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Sejarah, Sains dan Matematik.

“Matlamat Kerajaan Negeri mahukan pelajar dapat meningkatkan kualiti dengan kadar lulus dengan baik sekali gus memberi peluang pelajar mencipta masa hadapan lebih cerah,” katanya.

PTRS ialah program khusus yang dijalankan bagi meningkat, memenuhi dan merealisasi agenda bagi memastikan kebajikan, kualiti hidup serta memantapkan ekonomi rakyat dalam menyempurnakan definisi pendidikan kepada 5M (membaca, menulis, mengira, memikir dan mengamal) adalah antara fokus utama Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, program berkenaan menerima penyertaan 6,000 pelajar.

Categories
SELANGOR

Sasar 10,000 peserta PTRS lulus SPM 2019 – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 27 APR : Sekurang-kurangnya 10,000 peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) disasar menerima sijil sekali gus lulus Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keyakinan itu diluahkan apabila adanya kerjasama lebih erat antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) di bawah Kerajaan Persekutuan, yang kini selari bernaung di bawah kepimpinan sama.

Justeru, hasil kerjasama itu akan membolehkan Kerajaan Negeri melaksanakan PTRS dengan beberapa penambahbaikan, pada tahun ini.

“Kerajaan Negeri berharap pelajar berpotensi gagal ketika tingkatan empat dianjak menjadi pelajar yang lulus pada SPM akan datang.

“Selain itu para pelajar yang mengikuti PTRS akan mendapat bahan yang berkualiti yang disediakan oleh guru pakar dalam subjek masing-masing.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak jabatan yang telah memberikan komitmen yang sangat baik dalam pemilihan pelajar serta guru-guru yang akan melaksanakan PTRS pada tahun ini,” katanya dalam ucapan.

Beliau memperincikan perkara itu ketika merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor bertempat di Hotel Sama-Sama, hari ini.

Hadir sama Pengarah JPS, Mohd Salleh Mohd Kassim.

Amirudin berkata, PTRS yang dijalankan sejak sembilan tahun lalu membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Katanya, melalui program ini, Kerajaan Negeri mensasarkan pelajar berprestasi sederhana dan lemah dalam akademik serta dalam kalangan keluarga yang berpendapatan di bawah RM2,000.

“Ia mencakupi 56 kawasan Dewan Undangan Negeri serta melibatkan 196 buah sekolah.

“Penambahbaikan yang kita lakukan pada tahun ini PTRS berfokus kepada lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sasar 10,000 pelajar sertai PTRS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 MAC: Kerajaan Negeri menyasarkan lebih 10,000 pelajar di seluruh Selangor menerima manfaat menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, PTRS yang mula diperkenalkan sejak 2009 lalu, menerima sambutan menggalakkan sehingga 6,000 setiap tahun.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menambah dari empat kepada lima mata pelajaran penting membabitkan Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Bahasa Melayu dalam program itu.

“Kita mahu memastikan pelajar dapat lulus dengan cemerlang dan memenuhi keperluan sebelum ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi mengupayakan pelajar ini, kita juga menambah guru dan bilangan murid khususnya yang kurang berkemampuan dan lemah dalam sesuatu mata pelajaran untuk menyertainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran program Jelajah Pendidikan Selangor 2019, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Terdahulu, PTRS juga bakal dilaksanakan dalam kawasan sekolah sekitar negeri, mulai tahun hadapan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, program itu tidak berpeluang memasuki sekolah sebelum ini kerana terdapat kekangan daripada kerajaan terdahulu.

PTRS yang dianjurkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Selangor sejak Mac 2009 itu diteruskan dengan beberapa penambahbaikan demi meningkatkan tahap pencapaian diraih setakat ini.

Dasar pertama PTRS adalah memberi bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan (tuisyen) secara percuma kepada pelajar yang memperolehi keputusan sederhana atau lemah mata pelajaran, manakala kedua ia diberi kepada pelajar yang keluarganya berpendapatan bawah RM2,000.

Categories
SELANGOR

Exco: Elaun KPMI ikut jadual tugas

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS)

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OGOS: Elaun Koordinator Pembangunan Modal Insan (KPMI) untuk tempoh 11 bulan bertepatan dengan jadual tugasan mereka.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata keputusan itu selaras dengan jadual pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) setiap tahun.

“PTRS merangkumi kelas pengajian daripada Februari hingga Oktober dan tugas penyelarasan daripada November hingga Disember.

“Oleh itu, justifikasi elaun KPMI hanya 11 bulan berdasarkan beban tugas dan tanggungjawab selaras tempoh ditetapkan,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini, wakil rakyat di Dewan Negeri Selangor (DNS) mempertikaikan elaun yang KPMI yang tidak dibayar untuk 12 bulan dan kelewatan pembayaran guru PTRS.

Nik Nazmi berkata, elaun guru PTRS diproses selepas laporan dan tuntutan dibuat KPMI pada setiap 5 haribulan bulan berikutnya.

Katanya, buat masa ini hanya seorang urus setia melaksanakan proses tuntutan melibatkan 300 guru PTRS.

“Setiap tuntutan juga berbeza membuatkan urus setia perlu meneliti satu persatu sebelum pembayaran dibuat secara terus.

“Tempoh pembayaran tidak tertakluk kepada peringkat urus setia semata-mata, tetapi bergantung tarikh penghantaran laporan dan dokumen lengkap,” katanya.

-nR-

Tuisyen Percuma : 5,600 pelajar dibantu

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan tidak mampu ke pusat tuisyen berbayar.

Categories
SELANGOR

Ibu bapa di Selangor perlu main peranan galak anak sertai PTRS

Oleh : NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 MAC: Ibu bapa di negeri Selangor perlu memainkan peranan yang lebih meluas untuk merangsang dan memastikan anak mereka menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan negeri, Dr Halimah Ali, berkata pendekatan itu perlu diambil bagi mengikis persepsi dan mengelakkan anak terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.

Katanya, PTRS bukan sekadar kelas tambahan tetapi juga bertujuan membentuk sahsiahnya.

hari-guru-halimah-pc-01“PTRS dikendalikan sendiri Kerajaan Negeri kerana kita tidak mahu jika mereka ke kelas swasta tetapi akhirnya mereka tidak hadir.

“Kerajaan Negeri tidak mahu mereka menghantar anak ke tuisyen swasta. Ini sebenarnya cara Kerajaan Negeri keluar daripada kepompong kemiskinan. Selain duit kita mahu bagi pendidikan masa depan yang lebih baik,” katanya di program pelancaran PTRS dan motivasi keibubapaan di Dewan Putra, Kampung Delek Kanan, di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan Koordinator Pembangunan Modal Insan (KPMI) Selat Klang dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang.

Halimah berkata, ibu bapa juga perlu tahu peranan mereka dalam membantu melonjakkan pencapaian anak2.

pusat tuisyen“Kita tidak mahu anak tercicir dan berasa malu dengan pelajar lain seterusnya mula terbabit dengan masalah sosial. Ada pelajar selepas menyertai PTRS yang mendapat 9A dan 12A, sedangkan mereka sebelum ini adalah pelajar yang tercicir.

“Oleh itu, sebagai ibu bapa kita perlu tahu bagaimana peranan ibu bapa membantu anak mencapai yang terbaik menggunakan peluang sedia ada,” katanya.

Setakat ini, seramai 93 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 80 pelajar bagi Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) menyertai PTRS di DUN Selat Klang bagi suku tahun ini.

Program itu diwujudkan pada Januari 2009 dengan peruntukan RM3.4 juta setahun.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Program Tuisyen Rakyat Selangor lahir pelajar cemerlang

Oleh : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 13 DIS : Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dilaksanakan kerajaan negeri di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) memberi manfaat kepada lebih 60,000 pelajar di seluruh Selangor yang mengikuti program berkenaan.

Penolong Setiausaha, Unit Pendidikan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Siti Syazwani Ab Latib, berkata kira-kira 62,749 pelajar seluruh Selangor mengikuti program berkenaan membabitkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak dimulakan, pada Mac 2009.

PTRS Halimah Ali 01Beliau berkata, PTRS adalah program khas bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan percuma yang disediakan kepada pelajar dengan keputusan sederhana dan lemah bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dari segi pencapaian secara umumnya memang ada peningkatan dan ada di antara pelajar mampu mencatat keputusan cemerlang,” kata kepada SelangorKini, di sini, baru-baru ini.

Katanya, beberapa program sokongan dijalankan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN yang menyediakan kes tuisyen itu di kawasan masing-masing bagi meningkatkan tahap pencapaian pelajar.

“Kita akan buat program keibubapaan dan golongan sasaran adalah ibu bapa pelajar yang menyertai PTRS. Apabila kelas tuisyen bermula, kita akan adakan ujian prestasi dan pada masa sama kita jalankan ‘smart learning’ untuk mengukuhkan pelajaran pelajar.

“Bila hampir dengan tarikh peperiksaan, kita akan laksanakan program pecutan akhir seperti latih tubi yang akan dibuat setiap minggu dengan pengawasan guru. Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3.45 juta setiap tahun bagi menjayakan program ini,” katanya.

Siti Syazwani berkata, PTRS mendapat lebih mendapat sambutan di kawasan luar bandar dan miskin bandar seperti di Sabak Bernam, Hulu Langat dan Klang hasil daripada analisis yang dilakukan pihaknya.

Katanya, program memfokuskan bimbingan kepada empat subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan RM1,500 dan ke bawah.

“Ibu bapa memang berpuas hati dengan program ini kerana dapat memberi peluang kepada anak mereka untuk mengikuti kelas tuisyen dengan lebih sistematik di bawah pengawasan koordinator pembangunan modal insan (KPMI) dan guru yang dilantik,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Cemerlang SPM DUN Sementa terima hadiah istimewa

Dr Daroyah Alwi pelajar cemerlang

SHAH ALAM 22 OKT : Pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa bakal menerima hadiah istimewa.

ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi, berkata ganjaran yang dijanjikan itu sebagai peransang kepada calon SPM untuk berusaha dan fokus dalam menghadapi peperiksaan yang akan berlangsung, pada November ini.

Katanya, ganjaran itu akan diberikan kepada pelajar seluruh DUN berkenaan yang berjaya mendapatk keputusan A untuk semua mata pelajaran.

“Sesiapa pelajar SPM dari DUN Sementa tidak kira bangsa Melayu, India atau Cina yang berjaya mendapatkan keputusan A untuk semua mata pelajaran, perlu berjumpa saya untuk mendapatkan hadiah istimewa yang dijanjikan itu.

“Selepas keputusan SPM dikeluarkan nanti, mereka boleh terus pergi ke Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sementa untuk memberi butiran terbabit dan kejayaan mereka akan diraikan.

“Sebagai ADUN, kejayaan yang mereka kecapi adalah kebahagiaan saya dan dorongan ini diharap bakal memotivasikan mereka serta membakar keazaman yang tinggi untuk terus berusaha demi mencapai apa dicita-citakan,? katanya dalam ucapan penutup bagi program Seminar Fastrack SPM 2013 di Dewan Kuliah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), baru-baru ini.

Seminar satu hari anjuran Biro pendidikan dan PKM DUN Sementa itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan dan berjaya mengumpulkan kira-kira 120 calon SPM dari seluruh sekolah kawasan berkenaan di bawah Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Daroyah yang juga Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata inisiatif kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi melaksanakan PTRS terbabit dilihat sangat relaven dan bijak.

“Bukan semua keluarga mampu menghantar anak mereka mendapatkan kelas tuisyen. Dengan adanya PTRS, kita dapat membantu mengurangkan beban mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pendidikan generasi muda pelapis negara adalah keutamaan kepada kerajaan negeri demi melahirkan modal insan cemerlang yang akan menyambung legasi kejayaan di Selangor,? katanya.

-NFN-