Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 1,000 dos Vaksin Selangor untuk penduduk Bandar Utama esok

PETALING JAYA, 5 NOV: Hampir 1,000 dos vaksin Covid-19 disediakan bagi program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama esok.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata selain remaja keutamaan pemberian pelalian kepada penduduk kawasan Bandar Utama dan warga Selangor khususnya.

“Orang ramai yang masih belum menerima vaksin boleh membuat pra-pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Kita harap pengambilan vaksin ini dapat tingkatkan imuniti kelompok dan memberi perlindungan kepada diri sendiri juga orang sekeliling,” katanya selepas membuat tinjauan naik taraf fasiliti padang SS20/5, Damansara Kim di sini hari ini.

Menurut Jamaliah lebih 250 pendaftaran sudah diterima setakat ini terutama kalangan golongan remaja.

Program akan berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Komuniti Bandar Utama 3.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sumbang kit ujian kendiri hargai remaja terima vaksin negeri

KLANG, 31 OKT: Wakil rakyat Pandamaran menyumbangkan 1,000 kit ujian kendiri Covid-19 dan 4,000 pelitup muka kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di sini, hari ini.

Leong Tuck Chee berkata pemberian itu sebagai menghargai kehadiran remaja berusia 12 hingga 17 tahun terbabit untuk menerima suntikan pelalian berkenaan.

“Pada masa sama kit ujian kendiri dan pelitup muka itu juga sebagai usaha memutuskan penularan wabak,” katanya ditemui pada program Selvax Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Wakil rakyat Pandamaran, Leong Tuck Chee mengedarkan kit ujian kendiri Covid-19 dan pelitup muka kepada penerima ketika program Selvax Remaja DUN Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 31 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tuck Chee berkata sebanyak 1,000 dos disediakan dalam program itu dan sambutan mengalakkan dengan ada peserta menunggu seawal jam 8 pagi.

“Ketika proses pra pendaftaran kami terima 200 permohonan tetapi setakat jam 11 hari ini, lebih 300 remaja sudah disuntik.

“Kehadiran ramai ini mungkin memandangkan ibu bapa cenderung anak mereka mendapat suntikan vaksin jenis Sinovac kerana kesan sampingannya kurang,” katanya.

Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 melalui Selvax Remaja yang bermula 24 Oktober.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga lokasi Vaksin Selangor untuk remaja hingga hujung bulan

SHAH ALAM, 25 OKT: Golongan remaja berusia 12 tahun ke atas boleh menghadiri program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja di tiga lokasi antara 28 hingga 31 Oktober ini, menurut Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan lokasi membabitkan Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Chuchoh pada 28 Oktober, Dewan Serbaguna Komuniti Blok G, Apartment Flora Damansara (30 Oktober) dan Dewan Kompleks Sukan Pandamaran (31 Oktober).

“Pra daftar di aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) dan masukkan kod baucar mengikut pusat pemberian vaksin tersenarai.

“Bersama kita pertingkatkan imunisasi masyarakat agar Selangor lebih selamat,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Terbuka kepada rakyat tempatan dan bukan warganegara, program dikhususkan buat peserta yang belum menerima dos pertama atau tercicir dos kedua Selvax.

Orang ramai perlu mendaftar awal melalui aplikasi SELangkah dengan menekan butang VAX dan masukkan kod baucar yang betul.

Berikut langkah-langkah pendaftaran:

1. Muat turun SELangkah di Playstore atau Appstore. Klik ikon SELangkah untuk proses pradaftar
2. Tekan butang ‘VAX’
3. Tekan temu janji
4. Tekan semak temu janji
5. Tekan kotak ungu
6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran
7. Tekan seterusnya
8. Pilih tarikh

Sekurang-kurangnya 10,000 remaja disasar menerima vaksin Covid-19 melalui Selvax Remaja bermula semalam di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja tidak bersekolah turut berpeluang dapatkan Vaksin Selangor

SHAH ALAM, 22 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja yang bermula Ahad ini akan turut dibuka kepada golongan remaja usia 12 hingga 17 tahun yang tidak bersekolah, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program turut dibuka kepada warganegara dan bukan warganegara yang masih belum menerima janji temu vaksinasi dos pertama dan penerima vaksin Selvax yang terlepas janji temu dos kedua.

Selain itu katanya bagi melancarkan proses pemberian vaksin, pihak sekolah akan diberikan kod baucer khusus yang membolehkan pelajar mendaftar sendiri di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Individu tidak memiliki telefon pintar atau akses kepada aplikasi itu akan dibantu petugas Selcare untuk proses pendaftaran.

“Sebelum suntikan diberi pihak sekolah dibekalkan dengan borang persetujuan vaksinasi yang akan diisi oleh ibu bapa,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu beliau berkata Selvax Remaja dijalankan mulai Ahad ini melibatkan 3,416 pelajar.

Program dilaksanakan di beberapa Dewan Undangan Negeri antaranya Pandamaran, Pelabuhan Klang, Tanjung Sepat dan Bukit Lanjan.

Sementara itu Amirudin berkata Selvax Komuniti diteruskan mulai 28 Oktober di klinik Selcare manakala 1 November di klinik panel seluruh negeri.

“Ini bagi memastikan tiada warga Selangor tercicir vaksinasi. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sosial, aplikasi SELangkah dan Media Selangor,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin Selangor untuk remaja mula Ahad, babit lebih 3,000 pelajar

SHAH ALAM, 22 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja untuk individu berusia 12 hingga 17 tahun dijalankan mulai Ahad ini melibatkan 3,416 pelajar, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan jumlah setakat ini membabitkan 1,235 pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sekolah Rendah Agama Islam Integrasi (1,181) dan maahad tahfiz (1,000).

“Inisiatif mempercepatkan vaksinasi remaja serta melancarkan proses pembukaan institusi pendidikan akan bermula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran bertempat di Dewan Serbaguna MPK Pandamaran Jaya, Klang.

“Program juga dilaksanakan di beberapa lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) antaranya DUN Pelabuhan Klang, Tanjung Sepat dan Bukit Lanjan dari 9 pagi hingga 5 petang,” katanya menerusi kenyataan.

Amirudin berkata program menggunakan kaedah pra-pendaftaran melalui kod baucar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) seperti dilaksanakan untuk Selvax Komuniti.

Sebelum ini EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkongsikan cara pra-pendaftaran. Proses seperti berikut:

1. Muat turun aplikasi SELangkah
2. Tekan butang ‘VAX’
3. Tekan butang ‘Temujanji’
4. Tekan butang ‘Semak temujanji’
5. Tekan kotak berwarna ungu
6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran
7. Pilih ‘Tarikh’

Pada 7 Oktober Amirudin mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat minggu lalu.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.