Categories
PBT SELANGOR

MBPJ masih selanggara PPR Taman Putra Damai, penduduk perlu bekerjasama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih menyelenggarakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang dan penduduk diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata MBPJ masih mengendalikan segala perkara berkaitan termasuk kerja pembersihan biarpun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendakwa mengambilalih PPR berkenaan.

“PPR itu masih di bawah MBPJ maka penduduk perlu membayar sewa mereka kepada MBPJ dan bukan KPKT.

“Sekiranya penduduk membayar kepada KPKT dan kutipan sewa MBPJ tidak mencukupi untuk menanggung kos penyelenggaran maka penduduk akan berhadapan dengan masalah kerana KPKT tidak akan melakukannya,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembersihan dikendalikan empat pekerja bagi tingkat atas dan bawah dan MBPJ turut mempunyai pejabat di Blok D diuruskan Penolong Jurutera serta empat kakitangan yang bertanggungjawab menerima aduan juga bayaran sewa dari penduduk dibuka Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, MBPJ melantik dua syarikat bagi menyelenggarakan lif di PPR itu dan lif akan dipastikan berfungsi sekurang-kurangnya satu bagi setiap blok.

“Penyelenggaraan kerja mekanikal dan elektrikal ini diuruskan Jabatan Kejuruteraan MBPJ manakala terdapat juga seorang pengawal keselamatan bagi setiap blok yang disediakan PBT itu,” katanya.

Selain menguruskan penyelenggaraan, beliau berkata, MBPJ juga menggerakkan program komuniti melalui Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar (PPKB) di PPR berkenaan.

Katanya, antara program dijalankan ialah menjahit apron dan beg dari kain rentang terpakai dan membuat serta menjual kuih pau.

“Oleh yang demikian, MBPJ bukan sahaja prihatin terhadap penyelenggaraan bangunan tetapi pembinaan komuniti,” katanya.

=EZY=