Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pikat ramai peniaga kecil, Seldec giat promosi di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 20 OKT: Kempen promosi dipergiat bagi menarik lebih ramai usahawan kecil dan mikro dari Kuala Selangor menyertai program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Inisiatif yang diperkenal sejak 2019 akan dibuat bersama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam tempoh terdekat, kata pengurus besar pembangunan perniagaannya.

Promosi secara fizikal atau turun padang juga lebih mudah berikutan Selangor beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara mulai Isnin, jelas Noraziziah Abdullah.

“Walaupun ada penyertaan usahawan dari daerah berkenaan, namun sambutan belum agresif dan mereka belum bersedia untuk beralih kepada pemasaran dalam talian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Noraziziah memaklumkan Seldec beroperasi di Kuala Selangor bermula Ogos susulan banyak permintaan supaya membuka ruang perniagaan di situ.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan kecil dan pengusaha luar bandar di negeri ini.

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Polis kesan dua lagi video baharu promosi judi, tiga individu ditahan

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Tiga termasuk dua wanita ditahan berhubung pembikinan dua lagi video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata kesemua suspek rakyat tempatan berusia 21 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar ibu kota selepas polis mengesan dua video baharu masing-masing berdurasi 30 saat dan 48 saat yang mempromosikan perjudian secara dalam talian, semalam.

Setakat ini, katanya polis telah menerima dua laporan berhubung perkara itu.

“Kesemua suspek akan direman hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian dan pembikinan video itu.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi video tersebut malah perbuatan sedemikian bukan sahaja salah mengikut undang-undang tetapi boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Syarikat swasta, korporat diharap bantu promosi Selangor FC

SHAH ALAM, 5 OKT: Kerajaan Negeri berharap lebih banyak syarikat swasta dan korporat terlibat mempromosi dan meningkatkan kekuatan pasukan bola sepak Selangor.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata penswastaan pasukan bola sepak profesional di Malaysia sejak 2016 merupakan usaha yang baik dalam memajukan serta mengangkat martabat sukan tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Kerajaan Negeri mengharapkan menerusi langkah penswastaan ini yang diluluskan pada 29 September lalu, ia dapat memberi nafas baharu serta melonjak prestasi Selangor FC dalam persada liga tempatan dan antarabangsa pada musim baharu nanti,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Red Giants dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Selangor atau Selangor FC selepas penswastaannya diluluskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Ia mengekalkan logo sama dengan menggantikan perkataan persatuan kepada kelab.

Menerusi perubahan ini, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berperanan dalam program pembangunan akar umbi seperti pendidikan jurulatih, penyeliaan lesen dan mutu pengadil di peringkat negeri.

Selain itu, FAS berperanan membangunkan liga dan kejohanan di peringkat sekolah, bola sepak wanita, kelab bola sepak amatur dan kelab ahli gabungan di Selangor.

Sementara itu, pemerkasaan skuad utama negeri, Selangor 2, pasukan Futsal Selangor serta program pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan Wanita Selangor bakal menjadi fokus utama Selangor FC di bawah kendalian Red Giants FC Sdn Bhd.