Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Makluman awal mudahkan peniaga simpan air, buka gerai seperti biasa

AMPANG, 12 OKT: Seorang peniaga siap menyimpan bekalan enam tong air termasuk membeli beberapa botol air minuman sebagai persediaan menghadapi proses penyenggaraan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), esok.

Amran Jaafar, 58, berkata tiada alasan untuknya tidak menjalankan perniagaan berikutan pengumuman proses penyelenggaraan loji sudah dimaklumkan lebih awal.

“Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sudah maklumkan awal, kita sebagai pengguna perlu bersiap sedia menadah air secukupnya dan tidak perlu mengeluh.

Amran Jaafar, 58

“Saya sendiri sebagai peniaga tekad meneruskan perniagaan dengan berbekalkan air yang sudah disimpan dan ditambah pula bantuan dari lori Air Selangor nanti Insya-Allah cukup,” katanya yang menjual kuih di salah sebuah gerai di Kampung Melayu Ampang di sini.

Bagaimanapun bapa kepada seorang anak berusia tujuh tahun itu berharap kerja selenggara aset itu siap disempurnakan mengikut tempoh ditetapkan

Manakala, seorang pengasuh Sharifah Mohd Mustafa, 53, berkata dia sentiasa menyimpan bekalan air dan tidak bimbang apabila dimaklum mengenai kerja selenggara yang bermula esok.

“Setakat ini jika Air Selangor melaksanakan kerja selenggara aset kami tidak terlalu risau kerana rumah saya ada perigi dan tangki air yang besar.

Sharifah Mohd Mustafa, 53

“Malah ibu bapa mereka turut membekalkan air botol bagi memudahkan kerja,” katanya.

Pada 1 Oktober lepas, pihak Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai Rabu ini.

Ini susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di LRA SSP1 yang akan dilaksanakan pada pukul 9 pagi, 13 Oktober ini.

Kerja-kerja utama yang akan dilaksanakan antaranya penukaran tiga batang paip air tapisan bersaiz 1,200 milimeter (mm) diameter di lori rawatan air tersebut.

Sebanyak 105 lori tangki bakal digerakkan Air Selangor selain penyediaan 18 pili awam ke kawasan terlibat bagi memudahkan orang ramai memperoleh bekalan demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh penyenggaraan itu.

Bekalan air mula disalur secara berperingkat mulai pukul 5 petang 14 Oktober dan ia dijangka pulih sepenuhnya pukul 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.