Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Fruit Valley tutup tiga hari, langkah cegah Covid-19

SHAH ALAM, 16 FEB: Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya, Kuala Selangor ditutup tiga hari bermula hari ini bagi proses sanitasi.

Pusat agro pelancongan itu memaklumkan langkah diambil susulan perkembangan kes Covid-19 yang meningkat muktahir ini.

“Pihak SFV amat prihatin terhadap perkembangan jangkitan wabak itu yang semakin bertambah.

“Justeru itu, SFV mengambil langkah pencegahan dengan melakukan sanitasi seluruh kawasan,” katanya menerusi Facebook.

Pusat tersebut akan kembali beroperasi semula seperti biasa pada Sabtu 19 Februari ini.

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

Tambah menarik terdapat lebih 3,000 sarang kelulut di ladang itu menjadikannya sebagai pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pejabat LHDN di Menara TM, Jalan Semarak ditutup mulai esok

PUTRAJAYA, 28 JAN: Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Siasatan Putrajaya dan Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Putrajaya di Menara TM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur ditutup bermula esok bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan.

LHDN dalam kenyataan hari ini berkata Cawangan Siasatan Putrajaya, Pejabat Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Putrajaya termasuk Cawangan Wangsa Maju, yang ditutup sejak Isnin lepas, dijangka akan kembali beroperasi mulai Selasa depan (2 Februari).

“Sehubungan itu, dalam tempoh penutupan sementara ini, pelanggan disaran melakukan semua urusan secara dalam talian, namun, bagi pembayar cukai yang benar-benar memerlukan perkhidmatan secara bersemuka, mereka boleh mengunjungi mana-mana kaunter perkhidmatan LHDN yang berhampiran,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Orang ramai yang ingin membuat sebarang pertanyaan atau mendapatkan maklum balas boleh menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara) atau HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

– BERNAMA