Categories
PBT SELANGOR

Pemuda parkir petak OKU berang disaman, lempar kata kesat kepada anggota MPKS

SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) kesal dengan tindakan seorang lelaki melakukan provokasi dengan melemparkan kata-kata kesat kepada anggota penguat kuasa yang sedang bertugas pada Selasa.

Setiausaha Yusli Askandar berkata kejadian pada 9.45 pagi di Saujana Utama, Sungai Buloh berlaku ketika anggota terbabit memantau bayaran kupon parkir.

“Tiba-tiba dia dihampiri lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat serta ancaman. Lelaki itu tidak puas hati selepas dikompaun kerana meletakkan motosikal di petak orang kelainan upaya (OKU),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata susulan itu anggota berkenaan membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama kerana diugut dan menghalang tugasnya sebagai penjawat awam.

“Tahniah kepada anggota itu yang bertugas secara profesional serta tidak ambil peduli terhadap provokasi dihadapi.

“Diharap kejadian ini menjadi iktibar kepada semua. Mana-mana pihak yang disaman namun tidak berpuas hati boleh membuat aduan kepada MPKS,” katanya.