Categories
NASIONAL

‘Puan, Walaupun Kami Wanita Umno Tetapi Kami Nak Undi Puan Kali Ini’

Wanita Umno Sokong PR 01

SERI SERDANG 2 MEI : Beberapa wakil pergerakan wanita Umno Seri Serdang menyatakan sokongan kepaa Calon PAS DUN Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.

Menurut Nor Hanim, beliau diberitahu sendiri anggota pergerakan itu dalam satu pertemuan ketika menjalankan kempen bagi merampas kerusi yang sebelumnya dimenangi bekas Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor daripada Umno-BN, Datuk Mohamed Satim Diman.

“Wanita-wanita Umno juga turut membantu sebab saya pernah duduk sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di sini, di mana ibu-ibu daripada Umno ini memohon peruntukkan buku teks.

Wanita Umno Sokong PR 02

“Pada masa itu kita tak dapat bantuan buku teks dan ramai penduduk itu adalah golongan kurang berkemampuan dan sekarang bila mereka tahu saya bertanding mereka cakap pada saya, Puan, walaupun kami Umno tetapi kami nak undi puan kali ini,” kata Noor Hanim.

Selain pernah menjawat jawatan YDP PIBG, sehingga kini Noor Hanim juga merupakan pengerusi di pelbagai biro di tiga sekolah sekitar Puchong dan Subang Jaya serta Pegerusi Pendidikan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 13 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ).

Noor Hanim turut memberitahu, kunjungan beliau di bilik gerakan BN juga diterima baik oleh petugas-petugas di situ.

“Sebenarnya ketika menyantuni pengundi, bila kita jumpa bilik gerakan BN kita akan lawat juga dengan memberi manifesto dan penerangan kepada mereka dan mereka menerimanya dengan baik dan memberi ucapan selamat berjaya kepada kita,” kata Noor Hanim lagi.

Noor Hanim berkata lagi, pada masa ini amat jelas mood pengundi di DUN Seri Serdang yang inginkan perubahan.

“Alhamdullilah sokongan kaum Cina ini sangat tinggi, tidak kira dari DAP, MCA, PKR atau tiada berparti mereka rasakan ini kalilah perlu ubah bukan lain kali.

“Sini bukan kubu Umno lagi, kita dapat lihat dalam ceramah saya memang terima sambutan besar hingga penuh padang berbanding ceramah Umno-BN lebih banyak kerusi,” ujar Noor Hanim yang berkelulusan Diploma Pengurusan dan Perniagaan dari Swansee Institute.

Dalam PRU-12 pada 2008 majoriti dimenangi Satim merosot teruk dengan hanya 45 undian berbanding majoriti diterimanya dalam PRU-11 pada 2004 dengan 10,545 undian.