Categories
SELANGOR

Amirudin dan Zaidy bersua muka, hadir buang Undi Taman Templer

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SELAYANG, 9 MEI : Biarpun berbeza sentimen politik terkini, Calon N16, Sungai Tua, Amirudin Shari (Pakatan Harapan) sempat bertegur sapa dengan Calon N15 Taman Templer, Zaidy Abdul Talib (PAS).

Kedua-kedua pemimpin itu bersua muka ketika hadir membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Selayang Baru, jam 9.10 minit, pagi ini.

Mereka sempat bertanya khabar dan berbual-bual tentang perkembangan isu-isu kemasyarakatan di setempat, di Dewan Undangan Negeri (DUN), Taman Templer.

Sebelumnya, Amirudin bersama isterinya, Masdiana Muhamad yang sedondon memakai baju ‘Biru Muda’ tiba di Pusat Pengundian berkenaan, tepat jam 9.00 pagi.

Beliau sempat menyantuni dan bersalaman dengan pengundi-pengundi bagi kawasan Parlimen Selayang itu.

Dalam perkembangan sama, orang awam mula hadir membuang undi di kawasan berkenaan, sejak jam 8.00, pagi ini.

Parlimen Selayang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Calon Pakatan Harapan, William Leong bersaing bersama calon BN, Kang Meng Fuat dan calon PAS, Brig. Jen. (B) Datuk Hashim Karim.

Manakala, DUN Kuang pula menyaksikan perebutan empat penjuru antara calon BN, Datuk Abdul Shukur Idrus yang juga penyandang kerusi, calon PAS, Mohd. Fauzan Madzlan, calon PAKATAN, Salehudin Amiruddin dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Mohd. Rafie Mohammad.

DUN Rawang pula memperlihatkan perebutan kerusi antara muka-muka baharu dengan calon BN, Chan Wun Hoong, calon PAS, Kong Tuck Wah dan calon PAKATAN , Chua Wei Kiat dan calon bebas, Azman Mohd. Nor.

Sementara itu, DUN Taman Templer pula menyaksikan perebutan empat penjuru antara calon BN, Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim, calon PAKATAN, Muhd. Sany Hamzan, calon PAS, Zaidy Abdul Talib, calon PRM, Koh Swe Yong dan calon Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rajandran Batumalai.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Warga emas tiba paling awal tunai tanggungjawab mengundi

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 9 MEI: Penduduk Ampang Jaya dilihat mula berkumpul sejak jam 7.30 pagi bagi membuang undi di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini.

Namun menariknya, warga emas diantara pengundi yang tiba lebih awal.

Salah seorangnya, Rokiah Hasnan, 72 berkata, dia tidak dapat tidur malam kerana tidak sabar untuk mengundi pagi ini.

“Sekarang makcik lega kerana tanggungjawab pada negara sudah selesai, makcik harap pilihan yang dibuat tadi adalah tepat untuk negara,” katanya.

Parlimen P099 Ampang menyaksikan Zuraida Kamaruddin sekali lagi diletakkan Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi terus mengekalkan kedudukannya sejak 2008.

Sementara calon N019 pula mempertaruhkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sementara calon N020, Haniza Talha.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Proses pembuangan undi panas, pengundi luah rasa bengang

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 9 MEI: Proses pembuangan undi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan (P) Taman Petaling dikejutkan dengan insiden keengganan Ketua Tempat Mengundi (KTM) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan Borang 10 dan kekeliruan label peti undi.

Seorang pengundi yang hanya ingin dikenali sebagai Tan kesal apabila beliau hanya diberikan Borang 10 selepas diminta ketika ingin membantu ibunya membuang undi.

“Saya kecewa dengan layanan pegawai SPR di sini. Sepatutnya mereka memudahkan urusan pembuangan undi kerana penglihatan ibu saya kabur dan terpaksa ditolak menggunakan kerusi roda.

“Mereka mempersoalkan mengapa saya meminta Borang 10 sedangkan saya mahu membantu ibu saya mengundi dan enggan memberikan kerjasama. Selepas didesak akhirnya mereka memberikannya,” katanya kepada Selangor Kini.

Borang 10 merupakan kebenaran untuk waris atau ahli keluarga membantu warga emas atau orang kelainan upaya (OKU) memangkah kertas undi.

Selain itu, beberapa pengundi turut meluahkan kekeliruan terhadap warna label dan warna kertas undi pada kotak pembuangan undi di beberapa saluran.

Berdasarkan beberapa keping foto yang dikirimkan, label di peti pembuangan undi menggunakan kertas berwarna oren tetapi terdapat kertas undi berwarna krim cerah.

Menurut pengundi, pegawai bertugas hanya membetulkan label Parlimen kepada Negeri di peti pembuangan undi selepas mereka memaklumkan perkara itu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Dr Daroyah anak jati Bukit Kapar ikrar pertahan tanah kelahiran

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAPAR, 2 MEI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berikrar mempertahankan Bukit Kapar yang juga tempat kelahirannya.

Dr Daroyah berkata, beliau berbangga apabila Bukit Kapar yang berada di DUN Meru telahpun termasuk dalam DUN Sementa selepas proses persempadanan semula.

“Dahulu lokasi kampung ini bersebelahan DUN Sementa, walaupun ia kampung halaman sendiri tapi saya tidak boleh masuk campur kerana ia tanggungjawab orang lain.

“Tetapi sekarang saya cukup gembira apabila Kampung Bukit Kapar, tempat saya membesar makin berada dalam genggaman, saya amat gembira untuk berbakti kepada masyarakat yang juga keluarga saya,” katanya ketika Ceramah Jelajah Harapan DUN Sementa.

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu menyaksikan Dr Daroyah menang dengan majoriti undi sebanyak 7,846 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan juga bebas.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga itu sekali lagi diberi mandat oleh Pakatan Harapan (PAKATAN) sekaligus tampil sebagai calon DUN Sementa.

Dr Daroyah berkata, taktik persempadanan semula itu adalah bagi mengalih majoriti undi yang pernah diraihnya termasuk 76 peratus undi orang Melayu.

“Umno dan BN fikir orang Bukit Kapar hendak pangkah mereka, adakah penduduk di sini mahu BN mentadbir mereka?.

“Saya tidak akan benarkan, dahulu memang tidak dinafikan saya dibesarkan dengan bantuan Umno, termasuk menerima pendidikan percuma. Tetapi itu Umno dengan barisan kepimpinan yang lama, mempunyai jiwa rakyat.

“Tetapi pemimpin Umno sekarang sudah tidak sayangkan rakyat, pendidikan percuma susah hendak kita dapat, adakah itu yang penduduk Bukit Kapar mahukan?,” katanya.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Terus dekati dan peduli rakyat bukan sekadar musim pilihan raya

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MEI: Calon DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail meneruskan program ‘Walkabout’ sebagai usaha mendekati masyarakat sekali gus menyelami permasalahan rakyat.

Rodziah berkata, perkara itu diadakan walau bukan dimusim pilihan raya dan rata-rata penduduk Batu Tiga kini lebih mengenali beliau setelah dua penggal diberikan mandat oleh masyarakat di kawasan itu sebagai wakil rakyat.

“Ini adalah cara saya dan saya memang lebih gemar pergi rumah ke rumah bukan sekadar untuk berkempen malah untuk mengetahu masalah mereka antara yang kita telah selesaikan masalah longkang tersumbat, infrastruktur dan sebagainya.

“Selain itu, program turun padang ini juga diadakan untuk menyemak status tempat mereka mengundi supaya mereka tahu salur mana patut mengundi bagi mengurangkan menunggu dan beratur terlalu lama khusus bagi warga emas,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah memulakan program walkabout dengan menyantuni pengundi dari rumah ke rumah bermula di sekitar Seksyen 24 dan Seksyen 18 seawal pagi lagi.

Sementara itu, calon DUN Kota Anggerik, Najwan Halimi turut mengambil inisiatif turun padang bagi mendekati masyarakat di sekitar Taman Bukit Subang.

Beliau memulakan program seawal jam 5.50 pagi ketika menunaikan solat subuh di Surau Al-Ittihadiyah bersama penduduk sekitar Seksyen 9.

Najwan berkata, beliau diiringi penyandangnya, Dr Yaakob Sapari sebagai mentor yang membawa beliau mengenali wakil-wakil penduduk sekitar Kota Anggerik untuk memberikan kerjasama padanya sebagai calon baru di kawasan itu.

“Saya melihat rata-rata masyarakat masih yakin dengan pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan walaupun mereka tidak aktif dalam menyuarakan sokongan.

“Ada juga diantara mereka yang ‘personal’ dengan saya bahawa mereka tetap memilih PAKATAN dan mendoakan kejayaan saya serta yakin bahawa anak muda mampu membawa perubahan baru kepada negara,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Rekod kerja, faktor Azmin & sentimen Selangor sandaran Khairuddin

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 28 APR: Rekod cemerlang perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN), faktor Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan sentimen Selangor menjadi sandaran calon kerusi DUN N.38 Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman untuk mempertahankan kerusi dimenanginya pada 2013 lalu.

Mohd Khairuddin berkata, imej Mohamed Azmin di mata rakyat akar umbi memberi kelebihan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor.

“Kita perlu akui faktor prestasi YAB Dato’ Menteri Besar itu penting dalam PRU kali ini dan saya harap rakyat terus kekalkan Kerajaan Negeri yang ada.

“Selain itu kelebihan saya, saya dah berkhidmat di sini lebih lima tahun tetapi walaupun kita ada keyakinan kita tetap perlu kerja kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini sebaik selesai penamaan calon bagi kawasan-kawasan pilihan raya Parlimen Sungai Buloh di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 8, Kota Damansara di sini, hari ini.

Jelasnya, pengundi di Paya Jaras perlu mengekalkan Kerajaan Negeri PAKATAN supaya segala kemudahan yang ada seperti skim di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat dapat diteruskan.

Mohd Khairuddin turut melahirkan keyakinan Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan lagi program untuk rakyat sekiranya menang pada PRU ini.

Pada PRU-14 kali ini, Mohd Khairuddin yang mempertahankan kerusi DUN Paya Jaras dicabar dua lagi calon daripada PAS, Mohd Hanapi Zulkapli (PAS) dan Datuk Zain Isma Ismail daripada Barisan Nasional (BN).

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Persempadanan semula DUN Pelabuhan Klang cabaran Pakatan untuk menang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 28 APR: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menyifatkan bahawa isu persempadanan semula adalah cabaran besar namun bukan menghalang beliau untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Azmizam berkata, persempadanan semula yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menghalang untuknya terus menggerakkan jentera kempen supaya lebih agresif serta dapat menawan hati pengundi memilih Pakatan Harapan (PAKATAN).

“DUN N.46 adalah kerusi dimenangi parti KEADILAN selama dua penggal berturut-turut namun kali ini saingan cukup sengit apabila persempadanan semula menjadikan banyak kawasan mengundi kita sudah dikeluarkan.

“Bagaimanapun, beberapa perancangan semasa berkempen sudah dirangka di mana ia lebih menjurus kepada bertemu rakyat di kawasan luar bandar dan pinggir bandar,” katanya.

sdr

Azmizam berkata, di DUN Pelabuhan Klang menyaksikan peratusan undi Melayu majoriti iaitu 65 peratus berbanding bukan Melayu adalah 35 peratus.

“Sejak memegang tugas sebagai Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, saya lihat tanggapan Umno-Barisan Nasional (BN) bahawa orang Melayu akan terus menyokong mereka itu kini sama sekali salah dan ternyata kaum itu sendiri sudah beralih arah.

“Banyak perubahan berlaku apabila saya sendiri diberi peluang oleh masyarakat di sini bersama menjalankan aktiviti beramah mesra dan mereka mula menerima serta memahami dasar PAKATAN,” katanya.

Beliau mengulas mengenai beberapa kawasan sukar seperti Teluk Gong, Pulau Indah dan Kampung Idaman yang sudah mula menerima dasar digunakan PAKATAN.

Pada masa sama, beliau berharap perubahan yang besar bakal berlaku pada 9 Mei akan datang.

Terdahulu, DUN Pelabuhan Klang (N.46) bakal menyaksikan pertandingan sengit empat penjuru antara calon PAS, BN ,Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan KEADILAN.

Pada penamaan calon PRU14, calon KEADILAN Azmizam Zaman Huri akan dicabar oleh Khalid Nayan (PAS), Sheikh Rajesh Sheikh Ahmad (BN) dan Shanmugasundram Veenapan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Parlimen Shah Alam & DUN saksikan pertembungan 3 penjuru

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 APR: Kerusi Parlimen Shah Alam dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) disahkan berlaku pertandingan tiga penjuru oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (P108), Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad sekitar jam 11 pagi tadi.

Zaharin berkata, SPR menerima kertas penamaan dari tiga calon untuk bertanding bagi pemilihan di Parlimen Shah Alam (P108), melibatkan Khalid Samad (AMANAH) mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuhdi Marzuki (PAS) dan Datuk Azhari Shaari dari Barisan Nasional (BN).

Diperingkat DUN Kota Anggerik juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru antaranya wakil anak muda dari parti (KEADILAN) mewakili Pakatan Harapan iatu Najwan Halimi bertemu Ahmad Dusuki (PAS) dan Jumaeyah Masdi (BN).

Sementara itu kerusi yang dijangka menjadi tumpuan umum di DUN Batu Tiga melibatkan Mua’adzam Shah Yaakop (BN) dan Abdul Halim Omar (PAS) bakal berdepan penyandangnya terdahulu iaitu Rodziah Ismail.

“SPR telah menerima kertas penamaan kesemua sembilan calon mengikut masa yang ditetapkan.

“Setelah menyemak, saya berpuas hati dan tiada calon yang ditolak penamaannya dan mereka semua disahkan bertanding dalam PRU14,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

4 penjuru pertandingan di DUN Sungai Kandis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 APR: DUN Sungai Kandis (N 49) bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN); Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), PAS dan BEBAS.

Pada penamaan calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), calon KEADILAN, Mat Shuhaimi Shafiei dicabar oleh Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Sementara itu, bagi N 50 DUN Kota Kemuning, menyaksikan lima penjuru diantara calon KEADILAN, V Ganabatirau menentang Tiew Hock Huat dari BN, selain

Abdul Razak Ismail (Parti Sosialis Malaysia) dan Burhan Adnan (PAS) dan calon BEBAS, S Rajasekaran.

Lima penjuru juga di DUN N 48 Sentosa pula, calon KEADILAN, Dr Gunaraj George akan menentang calon BN, Datuk T. Subramaniam atau lebih dikenali R.S Maniam (BN) yang merupakan Ketua MIC bahagian Kota Raja.

Turut bertanding calon BEBAS PS Rajoo dan Pengarah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) M Rajan serta M Thelaiambalam (PRM).

Bagi Parlimen P111 Kota Raja pula menyaksikan tiga penjuru diantara Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Ketua MIC bahagian Sepang, V Gunalan (BN); Mohamed Diah Harun (PAS).

Pegawai Pengurus Bahagian P. 111 Kota Raja, Shukri Mohamad Hamin berkata, proses penamaan calon yang bermula pada pukul 9 pagi di Dewan Kemuning Utama, Seksyen 32, di sini berjalan lancar sehingga ditutup pada pukul 10 pagi.

“Tidak ada borang pencalonan yang diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ditolak,” katanya semasa mengumumkan nama-nama calon yang akan bertan­ding dalam PRU14 berkenaan.

Terdahulu, Shuhaimi, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali tiba kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi penyokong Pakatan.

Manakala borang pencalonan pula dihantar jam 9.24 pagi.

Turut berarak, calon N 50 Kota Kemuning, V Ganabatirau; calon Sentosa N 48 Sentosa, Dr Gunaraj George; dan calon P 111 Kota Raja, Mohamad Sabu.

Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei dengan tempoh berkempen selama 11 hari, sebelum hari membuang undi pada 9 Mei.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Penamaan calon PRU-14: 222 Parlimen, 505 DUN

NASIONAL 28 APR: Penamaan calon bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung hari ini di seluruh negara hari ini.

Proses itu melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei sebagai hari pengundian dan pengundian awal pada 5 Mei.

Calon-calon akan berkempen selama 11 hari bermula tarikh penamaan calon.

Mengikut daftar pemilih suku tahun keempat 2017 yang diwartakan pada 10 April, jumlah pengundi adalah 14,940,624, dengan jumlah pengundi lelaki 7,383,437 (49.42 peratus) dan pengundi perempuan 7,557, 187 (50.58 peratus).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KEADILAN umum calon bertanding di Selangor

KUALA SELANGOR, 24 APR: Jelajah Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor menyaksikan KEADILAN mengumumkan senarai calon yang akan bertanding mewakili parti itu, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perkara itu diumumkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Stadium Kuala Selangor, di sini, malam tadi.

Senarai berkenaan menyaksikan Timbalan Presiden KEADILAN yang juga Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kekal di dua kerusi yang ditandinginya sebelum ini, iaitu Gombak (Parlimen) dan Bukit Antarabangsa (DUN).

Sementara Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin kekal di Ampang, manakala bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah diletakkan di kerusi Parlimen Petaling Jaya.

KEADILAN turut menampilkan beberapa muka baru, antaranya Hilman Idham yang juga pegawai khas kepada Dato’ Menteri Besar untuk bertanding di DUN Gombak Setia.

Berikut adalah senarai penuh calon KEADILAN Selangor:

 

Categories
SELANGOR

Kekalkan Selangor atau kembali ke era tiada bantuan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 23 APR: Pengundi di Selangor perlu membuat pilihan bijak supaya tidak membawa Selangor kembali ke zaman kegelapan di era pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN).

Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Hilman Idham berkata, sebaliknya rakyat perlu mengekalkan pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini yang sentiasa berkongsi kekayaan negeri untuk membantu rakyat memerlukan.

“Bila berdepan dengan pilihan raya seperti ini, kita hanya ada dua pilihan sama ada kekalkan Kerajaan Negeri yang ada hari ini atau kembali ke zaman di mana tidak ada program atau inisiatif sosial seperti ini tidak dapat kita laksanakan.

“Kita sedar betapa program seperti ini membantu jiran kita, keluarga kita dan mereka ini diupayakan supaya akhirnya rakyat bersatu padu, diperkukuhkan ukhwah dan akhirnya kita dapat membangunkan sebuah generasi dan bangsa terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Selangor Harapan Malaysia di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini, malam tadi.

Jelasnya, usaha membantu golongan memerlukan ini menjadi motivasi kepada Kerajaan Negeri untuk mempertahankan maruah rakyat.

Katanya, maka sebab inilah Kerajaan Negeri mengambil sikap tuntas dan istiqamah serta mengamalkan urus tadbir yang baik bagi melaksanakan program bantuan untuk rakyatnya.

“Politik ini seperti mana diungkapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor semasa sesi Pembukaan Dewan Negeri Selangor, baginda menegaskan politik ini bukanlah semata-mata pertarungan dalam pilihan raya tetapi politik ini adalah soal urus tadbir, soal bagaimana kita mengurus harta dan kekayaan negeri ini,” katanya.

=EZY=