Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL selamatkan 140 gelandangan sekitar ibu kota

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Seramai 140 gelandangan di sekitar ibu kota diselamatkan dan ditempatkan sementara di dua pusat sementara gelandangan (PSG) di Sentul Perdana dan Setiawangsa, di sini malam tadi, dalam usaha membendung penularan Covid-19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata mereka dijangka ditempatkan di pusat itu hingga penghujung Februari ini sebelum dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan di Taman Desa (tapak bekas Desa Water Park) pada awal Mac dan dibantu mendapatkan pekerjaan.

“Di sini, mereka akan diberi latihan kemahiran supaya mereka boleh mendapat pekerjaan tetap bagi menyara hidup. Antara latihan yang dirancang adalah menjalankan pertanian bandar dan kemahiran lain yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi, Mahadi meluangkan masa menyertai operasi menyelamatkan gelandangan yang melibatkan 95 anggota penguatkuasa daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen.

Pada masa sama, Mahadi berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mencari penyelesaian menyeluruh untuk menangani isu gelandangan itu termasuk dengan menyediakan tempat perlindungan bagi mereka.

“Satu program yang lebih tersusun sedang dirangka bagi memudahkan pengurusan dari sudut pengagihan makanan kepada golongan ini oleh badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

“Sistem pengagihan makanan pada ketika ini dilihat tidak lagi sesuai dilakukan di pusat bandar raya kerana ia menyebabkan kesesakan lalu lintas dan meninggalkan kesan negatif dari aspek pengurusan perbandaran,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Manchester United singkir PSG di Paris

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 7 MAC: Manchester United meleburkan impian Paris Saint Germain (PSG) untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan kebangkitan penuh dramatik menerusi kemenangan 1-3, awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 3-3 tetapi peraturan gol tempat lawan memberikan kelebihan buat United, sekali gus memadam kekecewaan tewas 0-2, di laman sendiri sebelum ini.

Romelu Lukaku terlebih dahulu memceriakan kem United dengan jaringan seawal minit kedua selepas memperdaya pertahanan Thiago Silva dan penjaga gol, Gianlugi Buffon sebelum menolak masuk bola ke gawang gol.

10 minit kemudian, Juan Bernat menyamakan kedudukan 1-1 buat PSG selepas menampan masuk tolakan Kylian Mbappe.

PSG yang ghairah menyerang bagaimanapun tersentak dengan jaringan kedua Lukaku bagi kedudukan 1-2, pada minit ke-30 selepas memanfaatkan bola yang gagal ditangkap kemas Buffon hasil percubaan jarak jauh Marcus Rashford.

Bersambung babak kedua, PSG hampir menyamakan keuddukan menerusi Angel Di Maria tetapi jaringannya dibatalkan kerana ‘offside’.

Menuju penghujung permainan, United dihadiahkan sepakan penalti susulan tindakan kurang bijak Presnel Kimpembe menampan bola menggunakan tangan.

Pengadil, Damir Skomina memberikan sepakan itu selepas menilai bantahan dikemukakan United melalui tayangan video bantuan pengadil (VAR).

Rashford tidak mensia-siakan peluang untuk meletakkan bola ke jaring, sekali gus membawa pasukannya ke peringkat suku akhir UCL.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

Thomas Tuchel bos baru PSG

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 15 MEI: Juara Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan pelantikan pengurus baru, Thomas Tuchel bagi menggantikan Unai Emery.

Bekas pengurus Borussia Dortmund berusia 44 tahun itu menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab yang berpengkalan di Paris.

Emery akan mengemudi perlawanan terakhirnya bersama PSG menentang Caen pada Sabtu.

Beban tugas baharu buat Tuchel pastinya untuk membawa PSG menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan selepas terkandas di peringkat suku akhir kepada Real Madrid musim ini.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pengurus bersama Augsburg II (2007-2008) dan Mainz 05 (2009-2014) sebelum mengemudi Dortmund pada 2015.

Tuchel dalam kenyataanya menyatakan kegembiraan dan penghargaan untuk menyertai kelab hebat seperti PSG.

“Saya akan terus bekerjasama dengan semua pemain hebat dan terbaik. Dengan kakitangan saya, kami akan melakukan apa sahaja untuk menjadi pasukan paling berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kredit Foto: Talksport.com