Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pascabanjir: Kanak-kanak perlu sokongan emosi, psikologi

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini bukan sahaja boleh menyebabkan gangguan emosi dalam kalangan orang dewasa disebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan keluarga tersayang tetapi juga berpotensi menjejaskan emosi kanak-kanak.

Justeru, pakar psikologi kanak-kanak berpendapat sokongan psikologi dan emosi terhadap golongan ini amat diperlukan terutama ketika fasa pascabanjir bagi memastikan perkembangan psikologi, emosi dan mental mereka tidak terganggu dengan bencana itu.

Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata tumbesaran dan perkembangan asas mental serta emosi kanak-kanak ada hubung kait dengan faktor tempat tinggal yang selamat.

Penduduk meredah banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Keadaan seperti bencana alam mudah membuatkan mereka (kanak-kanak) risau kerana berada dalam satu keadaan tidak pasti. Sesuatu yang tidak pasti mudah menjadikan mereka bimbang dan ini melibatkan rasa tidak selamat dalam diri.

“Justeru, dalam keadaan ini, ibu bapa disarankan untuk sentiasa berbual dengan anak, maklumkan mereka dengan kata-kata peneguhan bahawa semuanya dalam kawalan ibu bapa dan anda (sebagai ibu bapa atau dewasa) akan sentiasa ada bersama untuk memastikan keselamatan mereka.

“Elakkan juga memberi pendedahan keterlaluan dengan input berita yang boleh membawa kebimbangan melampau dalam diri anak-anak,” kata Dr Putri Afzan yang juga pengasas sebuah tadika swasta kepada Bernama.

Menurut Dr Putri Afzan kesan jangka pendek dan panjang pascabanjir yang bertindih dengan fasa pascapandemik Covid-19 perlu diambil kira terhadap perkembangan psikologi kanak-kanak berkenaan.

Angota tentera mendukung seorang kanak-kanak perempuan ketika misi menyelamat mangsa banjir di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto Kementerian Pertahanan Malaysia

Katanya, kaedah penyampaian Social Stories (kisah sosial) dapat sedikit sebanyak membantu anak-anak yang terkesan secara terapuetik.

“Hakikatnya, kita masih belum lagi selesai dengan isu Covid-19, dan lockdown (PKP) berpanjangan telah pun memberi kesan regression pada anak-anak. Sama ada mereka terlibat secara langsung atau tidak, keadaan emosi dan psikologi mereka wajar dibimbangi.

“Kita yang dewasa perlu cakna tentang bagaimana penerimaan anak-anak ini tentang bencana yang berlaku. Berhati-hati dengan keperluan emosi mereka dan saya akan katakan, kaedah Social Stories akan membantu kanak-kanak yang terjejas,” katanya.

Social Stories atau kisah sosial adalah alat bantu visual yang dicipta oleh Carol Gray sekitar 1991 untuk membantu menjelaskan mengenai situasi, peristiwa atau kegiatan tertentu. Bagi individu yang mengalami spektrum autisme kisah sosial dapat membantu mereka memahami orang lain berperilaku atau merespons situasi tertentu.

Sementara itu, Kaunselor Psikologi, Ketua Unit Kaunseling Psikologi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Noor Suraya Muhamad berpendapat kondisi mental dan fizikal kanak-kanak boleh merosot sekiranya impak pascabanjir terhadap mereka tidak dibendung di peringkat awal.

Menurutnya, tahap kebimbangan dan trauma emosi mereka berpotensi membawa kepada perubahan tingkah laku yang lebih ketara seperti tantrum, insomnia, hilang selera makan dan penjarakan diri.

Pasukan penyelamat giat menyelamatkan mangsa terjejas banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kesepaduan sosial masyarakat dan keluarga sebelum bencana berlaku dan proses pemulihannya selepas itu, begitu juga komunikasi dan keberadaan keluarga yang sentiasa ada bersama ketika saat kritikal begini sememangnya menjadi teras untuk mengurangkan penderitaan rakyat dan dapat menggalakkan pemulihan lebih berkesan sesama mangsa terlibat.

“Ini juga adalah komponen Psychological First Aid (PFA), yang dipersetujui di peringkat antarabangsa sebagai set prinsip penting dalam memberikan penjagaan psikososial khususnya kepada kanak-kanak,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 37 kematian dan 10 laporan orang hilang direkodkan di kawasan banjir di seluruh negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sebanyak 68,341 mangsa banjir daripada 18,080 keluarga berada di 396 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tujuh negeri dengan Pahang paling teruk terjejas pada kali ini, selain Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kembali ke sekolah: Guru perlu prihatin psikologi kanak-kanak

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 3 Okt ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan guru, dengan masing-masing bebas mengeluarkan pandangan.

Namun, dalam berpolemik itu jangan sampai isu psikologi kanak-kanak yang bakal kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan sekolah selepas sekian lama, dikesampingkan.

Umum menganggap golongan itu teruja dapat kembali belajar di dalam kelas fizikal, berinteraksi dengan guru dan rakan secara bersemuka, namun tidak boleh disangkal pasti ada antara mereka yang berasa resah dan bimbang apabila memikirkan perlu ke sekolah semula.

Antara faktor yang menyebabkan keadaan sedemikian ialah takut dengan ancaman Covid-19 serta kekok dan malu untuk bertemu semula rakan sekelas dan guru. Tidak kurang juga ada yang berasa bimbang gagal menjawab pertanyaan guru kerana tidak mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara konsisten selain tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

Wujud persekitaran santai

Menurut Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001, golongan itu ditakrifkan sebagai individu berusia bawah 18 tahun.

Pakar psikologi kanak-kanak yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Noor Aishah Rosli berkata pihak sekolah wajar mengambil pendekatan lebih santai pada peringkat awal sekolah dibuka semula dengan guru-guru tidak terus mengajar.

Sebaliknya, pelajar diajak beriadah dan bersukan atau bermain terlebih dahulu asalkan aktiviti berkenaan dilakukan dalam lingkungan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Katanya keadaan yang tidak terlalu terikat dengan sesi pengajaran normal dalam tempoh seminggu dua sesi persekolahan itu penting bagi membangkitkan semangat dan rasa seronok, selain mengurangkan rasa janggal serta stres yang mungkin wujud dalam kalangan kanak-kanak kerana sudah lama tidak ke sekolah.

“Kita nak kembalikan ‘mood’ di samping merangsang semula kemahiran sosial dan komunikasi mereka bersama rakan-rakan dan guru-guru. Kita mahu murid-murid, khususnya di tahun satu dan dua, mempunyai persepsi positif dan seronok untuk terus belajar di sekolah,” katanya kepada Bernama.

Dr Noor Aishah turut menasihati guru agar tidak terus bertanyakan tentang kerja sekolah, kehadiran di kelas PdPR dan sebagainya yang boleh menjejaskan keterujaan murid dapat kembali ke sekolah.

“Untuk awal-awal ini cubalah elakkan. Bukan semua murid dapat mengikuti PdPR sepenuhnya dan menyiapkan semua kerja sekolah. Jika mereka ditekan dengan soalan-soalan begitu, tidak mustahil timbul rasa takut dan tidak seronok untuk ke sekolah, malah mungkin ada yang akan menangis jika ke sekolah,” katanya, menambah perkara itu dibimbangi akan membawa kepada permasalahan yang lebih besar, sekali gus mengganggu proses pembelajaran.

Ulang kaji ringkas

Pelajar yang tidak mengikuti PdPR secara konsisten sedikit-sebanyak akan ketinggalan beberapa perkara dalam pelajaran.

Isu tercicir atau ketinggalan ini boleh berlaku bukan sahaja disebabkan oleh kekangan kemudahan seperti ketiadaan internet, komputer riba dan sebagainya, tetapi juga kerana perbezaan suasana belajar di dalam kelas dan di rumah sehingga pelajar sukar memberi tumpuan kepada pembelajaran.

Dr Noor Aishah berpendapat perkara paling penting dalam persekolahan ketika era pandemik ialah kefahaman pelajar, bukan lagi peperiksaan dan menghabiskan silibus semata-mata.

“Kaedah pembelajaran secara maya tidak sama dan bukan 100 peratus berkesan kepada semua pelajar. Kadang-kadang apa yang berlaku di rumah boleh menyebabkan pelajar hilang fokus untuk belajar, keadaan sekeliling yang kurang selesa, contohnya, bukan semua orang ada meja belajar dan bilik sendiri.

“Bagi mendepani perkara ini (isu tercicir), guru-guru mungkin boleh menjalankan sesi ulang kaji secara ringkas untuk setiap topik bagi semua pelajar, agar mereka mengetahui dan mengingati kembali perkara yang diajar sebelum ini,” katanya, menambah kaedah video, gambar dan peta minda lebih mudah diingati oleh pelajar.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 20 Sept lepas, menyatakan tahap keberkesanan PdPR dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah adalah sederhana.

Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian, dengan tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh Mac hingga Julai tahun lepas, menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar.

Sebanyak 51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah, dan daripada jumlah itu, 48.9 peratus menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, 55 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan manakala 53.4 peratus tertekan kerana kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran.

KPM turut menyebut 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

Kuasai 3M, Covid-19 bukan punca

Mengulas tentang pilihan yang diberikan kepada ibu bapa dan penjaga untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana bimbang dengan ancaman Covid-19, Dr Noor Aishah berkata mereka bertanggungjawab memastikan anak-anak mampu menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira).

“Wajar untuk ibu bapa risau anak-anak terdedah kepada Covid-19. Tetapi pada masa sama, kita juga perlu sedar kepentingan anak-anak menguasai 3M. Jangan pula nanti bila hantar semula anak ke sekolah dan anak masih tidak boleh menguasai 3M, ibu bapa meletakkan kesalahan pada guru, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Ada kanak-kanak yang berumur tujuh dan lapan tahun sebenarnya boleh membaca, tetapi tidak dilatih. Ada pula kanak-kanak yang diajar dan dilatih tetapi masih tidak boleh membaca. Ini mungkin melibatkan masalah psikologi seperti disleksia, IQ rendah dan lain-lain masalah pembelajaran, jadi ibu bapa perlu bertindak segera, contohnya berjumpa pakar bagi mengatasi perkara ini,” katanya.

Beliau yang berpandangan Covid-19 bukan punca utama yang menyebabkan kanak-kanak kurang bersosial dan berinteraksi dengan ada antara mereka yang terganggu emosi, berkata hakikatnya dalam dunia psikologi, ramai anak-anak remaja yang mengalami masalah sosial emosi.

“Tanpa Covid-19 pun ada kanak-kanak yang jenis pendiam, ada rasa takut, bimbang dan tidak yakin untuk bergaul. Jangan terkejut jika saya katakan banyak kes remaja yang saya kendalikan… mereka ini lebih gemar mengikuti kelas secara dalam talian berbanding bersemuka kerana mempunyai karakter pendiam, pemalu dan rasa lebih yakin dan selesa belajar secara maya,” jelasnya.

Sesi kaunseling, perbincangan pakar

Berkongsi pandangan, pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaaan Malaysia Prof Madya Dr Hasnah Toran berkata KPM perlu menyediakan pakej latihan berserta maklumat kepada guru untuk mengenal pasti sekiranya pelajar berhadapan masalah sosioemosi seperti bergaul dan berinteraksi dengan kawan-kawan dan guru.

Ujarnya sesi kaunseling boleh dijalankan ke atas pelajar terlibat bagi membantu mereka mengurangkan rasa resah, kurang selesa, bimbang dan sebagainya.

Tambah beliau lagi, lebih banyak perbincangan melibatkan pakar-pakar berkaitan perlu dijalankan bagi memastikan kesediaan kanak-kanak untuk kembali meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka, manakala guru-guru dan ibu bapa pula harus mempunyai strategi masing-masing agar setiap proses berjalan lancar.

“Ibu bapa dan guru-guru perlu lihat tahap kesediaan anak-anak, jangan terus memaksa apatah lagi marah-marah. Ini mungkin akan mengambil masa bagi sesetengah mereka.

“Soal emosi dan psikologi ini isu dalaman, tak nampak. Kaedah menangani emosi anak-anak di peringkat sekolah rendah dan menengah juga berbeza pendekatannya,” katanya, menambah tugas guru mungkin akan jadi lebih mencabar dalam mentaksir tahap pencapaian semasa pelajar.

MBK perlu bersemuka

Sementara itu, bagi guru prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Dato’ Penghulu Luak Jempol, Negeri Sembilan, Nurhayati Zainudin, pengoperasian sekolah secara bersemuka melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan PPKI, membantu MBK menjalani sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) secara lebih berkesan berbanding secara dalam talian.

“MBK ada pelbagai kategori, dan setiap daripadanya memerlukan kemahiran dan kaedah pembelajaran yang berbeza di samping banyak melibatkan kemahiran interaksi sosial dan memerlukan ‘personal touch’ di antara guru dan murid.

“Harus diakui agak sukar sebenarnya belajar secara dalam talian, lebih-lebih lagi ia memerlukan kerjasama ibu bapa untuk bersama MBK sewaktu sesi kelas dijalankan.

“Belajar secara bersemuka membantu guru dan pembantu pengurusan murid mengendalikan emosi murid, di samping guru boleh menggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran mengikut tahap keupayaan setiap mereka,” katanya, menambah guru juga boleh memantau perkembangan murid, terutama dalam aspek pengurusan diri dan seterusnya akademik.

Selain pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara mulai 3 Okt ini, penetapan kapasiti hanya 50 peratus di dalam kelas adalah demi memastikan pelajar dapat terus rapat dengan sekolah serta hadir di sekolah dalam keadaan yang selamat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN arah semua ketua polis daerah teliti, jaga kebajikan anggota

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan semua ketua polis daerah di seluruh negara agar menjaga kebajikan serta meneliti secara dekat sebarang permasalahan dihadapi anggota mereka agar ia dapat ditangani lebih awal.

Beliau berkata sekiranya ada anggota dikesan mempunyai masalah, mereka harus diberikan khidmat kaunseling atau bantuan awal bagi mencegah kejadian tidak diingini berlaku.

Mengambil iktibar kejadian seorang anggota polis berpangkat koperal dipercayai menembak mati anaknya berusia tujuh tahun sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di Jalan Widuri 1, Taman Sentosa Jaya, Seremban, Rabu lalu, Abdul Hamid berkata beliau kecewa kerana pihaknya tidak dapat mengesan awal keadaan psikologinya.

“Saya berasa amat kecewa kerana kami tidak dapat mengesan keadaan psikologi anggota polis (detektif) itu. Ini bukanlah pertama kali kes ini berlaku, sebelum ini ada satu kes di Perak, seorang ibu mengunci diri bersama anak-anaknya dan membakar biliknya dalam kuarters polis.

“Selain itu, sewaktu awal Perintah Kawalan Pergerakan ada anggota saya menembak dirinya di sekatan jalan raya kerana dia dikatakan mendengar suara halus menyuruhnya berbuat demikian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata sekiranya seseorang anggota polis menghadapi masalah psikologi dan tidak ditangani, ia amat berbahaya kerana anggota bertugas biasanya dibekalkan dengan senjata api.

“Banyak kes yang sama berlaku di luar negara dan saya akan kaji balik supaya perkara-perkara ini dapat dielakkan dengan intervensi awal,” katanya.

“Selain itu, maklumat yang saya terima daripada Ketua Polis Negeri Sembilan (Datuk Mohamad Mat Yusop) motif anggota polis itu membunuh diri adalah kecewa dan berdasarkan cerita saksi, anggota polis itu mempunyai masalah keluarga…dan ia sungguh tragis jika dia betul menembak anaknya sebelum menembak kepalanya. Bagaimana kes ini berlaku, ia masih dalam siasatan lagi,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau juga mengarahkan Mohamad untuk menyemak kembali sejarah perkhidmatan anggota polis berkenaan di tempatnya bertugas.

Pada Rabu lalu, anggota polis berkenaan bersama anak lelakinya ditemukan maut selepas tembakan dilepaskan, dalam sebuah kereta jenis Proton Wira pada kira-kira 6.42 petang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bilangan pegawai psikologi tidak mencukupi – KKM

PUTRAJAYA, 3 JUN: Bilangan pegawai psikologi kaunseling dalam negara masih tidak mencukupi iaitu dengan nisbah kaunselor kepada individu adalah 1:52,000, sedangkan nisbah normal adalah 1:500.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini hanya terdapat 148 pegawai psikologi kaunseling yang berkhidmat.

“Secara dasarnya bilangan ini tidak mencukupi bagaimanapun kita bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi tujuan perkhidmatan kaunseling,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata KKM meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental melalui sistem digital dan teknologi termasuk menyediakan talian sokongan psikososial dan kaunseling secara maya menggunakan aplikasi terkini.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini KKM menerima 9,338 panggilan daripada individu yang memerlukan sokongan dan antara isu yang dibangkitkan adalah berkaitan tekanan jiwa dan kerisauan, serta faktor sosial seperti hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan dan masalah hubungan sesama manusia.

Selain itu masalah keperluan asas termasuk bantuan kewangan dan sumbangan serta isu keganasan rumah antara, merupakan antara isu yang disuarakan individu yang bimbang dan takut terhadap pandemik Covid-19.

-BERNAMA