Categories
NASIONAL

Tuan Ibrahim: Hapus PTPTN Negara Tidak Akan Muflis

SHAH ALAM 11 APR : Negara tidak akan muflis kerana kebajikan ditaburkan kepada rakyat asalkan ianya sesuai mengikut kemampuan kewangan negara dan kecekapan pentadbirannya.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, negara akan muflis dengan segala amalan pembaziran, penyelewengan, ketirisan, amalan rasuah dan salah guna dana sesebuah kerajaan sepertimana yang sedang berlaku dalam negara ini.

“Inilah yang berlaku dalam negara ini di bawah Umno-BN yang menganggap negara akan muflis apabila menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada rakyat.

“Tetapi negara tidak muflis apabila memberi subsidi kepada para kroni-kroni selain pelbagai ketirisan yang membabitkan wang rakyat bernilai RM21 bilion setahun sebagaimana dimaklum oleh Ketua Audit negara.

“Begitu juga dengan pemberian subsidi kepada para kroni dari Penjana Tenaga Bebas (IPP) sebanyak RM19 bilion setahun.

“Mengapa beri pada kroni sedemikian besar tidak memufliskan negara tetapi memberi pendidikan percuma pada rakyat boleh memufliskan negara pula.” ujar Tuan Ibrahim

Beliau berkata demikian ekoran cadangan pembangkang untuk menghapuskan  (PTPTN) sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya nanti tetapi dianggap akan memufliskan negara oleh pemimpin Umno-BN.

“Janji yang Pakatan buat bukan sekadar omongan kosong sebaliknya kita telah mengkaji segala kemampuan dan kebolehan kita dari segi ekonomi dan pentadbiran sebelum kita berjanji kepada rakyat.

“Negara ini negara kaya, kita ada pelbagai sumber tetapi sayang kerana pentadbiran yang korup, keadaan negara ketika ini adalah kritikal,” ujar Tuan Ibrahim yang dihubungi TVSelangor sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa Kerajaan Umno/BN dilihat melakukan banyak pembaziran dengan perancangan yang tidak teliti dan komprehensif disamping banyak berlaku salah guna kuasa dan amalan kronisme.

“Saya percaya kita memerlukan pengurusan sumber dan kewangan dengan cara yang lebih cekap dan berhemah bagi membolehkan para pelajar mendapat kemudahan pendidikan secara percuma.

“Sebagai contoh, kita mengamalkan pemberian projek atau tender terbuka yang menjamin lebih kebaikan berbanding amalan Umno/BN ketika ini melalui rundingan terus,” jelas Tuan Ibrahim.

“Pelbagai ketirisan dan amalan rasuah tersebut menyebabkan kebajikan untuk membela para pelajar tidak dapat dilaksanakan.

“Malah pendidikan dijadikan sebagai suatu perniagaan menguntungkan kepada para kroni yang meminjam dari PTPTN.

Beliau menambah, Pakatan telah membuktikan kebolehan urus tadbir yang cekap dan menguntungkan rakyat melalui negeri-negeri pentadbirannya seperti Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

“Oleh itu, InsyaAllah, kita yakin jika diberi peluang mentadbir Malaysia, kita pasti mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat termasuk memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

“Pendidikan merupakan tanggungjawab kerajaan dan bukan membebankan rakyat,” akhiri Tuan Ibrahim.

AMK Kerah Seluruh Jentera Turun Demo Anti-PTPTN

SHAH ALAM 08 APRIL : Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan memberi sokongan penuh pada demo Anti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan diadakan pada 14 April depan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata AMK akan mengerakkan seluruh jenteranya sendiri bagi menyokong mahasiswa dan ?mangsa? hutang pinjaman PTPTN itu.

“Dalam perbincangan bersama aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim semalam, kami membuat keputusan untuk turun padang bersama mahasiswa dan mangsa PTPTN itu sendiri sebagai rangsangan terhadap mereka,” katanya.

Demo Anti PTPTN itu akan diadakan di Dataran Merdeka bermula jam 2 petang.

Sebelum ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mensasarkan 5,000 mahasiswa dan ?mangsa? hutang pinjaman PTPTN akan turun berhimpun menuntut pemansuhan pinjaman itu bulan depan.

Tambah Shamsul, AMK akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS (DPP) sebelum demo itu bagi membincangkan mengenainya.

Katanya, AMK juga akan bergabung tenaga dengan DPP dalam demo itu nanti.

“Dataran itu akan dijadikan sebagai medan perhimpunan untuk memberi tekanan kepada kerajaan berhubung pemansuhan pinjaman PTPTN.

“Ia sebagai satu simbolik kepada kerajaan, bahawa mereka tidak lagi dipercayai, untuk membawa agenda pendidikan percuma dan mansuhkan PTPTN,” katanya.

Perhimpunan itu juga bagi menuntut kerajaan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, bermula tadika sehingga PhD.

Categories
NASIONAL

Anwar : PTPTN Boleh Di Hapus Kalau Baik Kelolaan

SHAH ALAM 8 APRIL : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sikap liat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk meringgankan beban mahasiswa dan anak muda dengan menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Anwar menegaskan bahawa hasrat Pakatan Rakyat untuk menghapuskan skim pinjaman pelajar itu mampu dilaksanakan dengan dana hasil minyak negara selain tata kelola kerajaan yang cermat dan telus.

Semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata bahawa cadangan Anwar untuk memansuhkan PTPTN tidak boleh dilaksanakan kerana ia membabitkan kos RM43 bilion, dan negara akan menanggung risiko untuk bankrap selain rakyat perlu menanggung beban cukai tambahan.

“Lihat sahaja hasil minyak RM90 billion, dana lembu (NFC) RM250 juta, kapal terbang (MAS) RM890 juta, itu tidak dikira dengan ketirisan kewangan negara menurut ketua audit negara dalam setahun RM21 billion.

“Bagaimana Najib katakan kerajaan tidak mampu selesaikan kos PTPTN RM43 billion?, Kalau tidak reti selesaikan, berhenti supaya kami selesaikannya. Kamu (Najib) jadi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia selepas ini,”

Anwar juga mempertikaikan angka yang diberikan oleh Najib (RM43 billion) itu dan berkata pengiraannya adalah jauh lebih rendah.

“Jumlah RM43 billion itu tidak tepat, sebab jumlah itu adalah jumlah termasuk bunga (faedah) yang dikenakan dari setiap pelajar.

“Sebagai contoh, fakta pinjaman PTPTN sebanyak RM1,000 bila dikenakan faedah ke atasnya, peminjam perlu bayar sekitar RM5,000. Jadi inilah cara bagaimana jumlah itu boleh dilipat ganda menjadi RM43 billion,”ujar Anwar ketika berucap di Stadium Malawati semalam.

Categories
NASIONAL

Himpunan Mansuh PTPTN, Pemanas Demo BERSIH 3.0

SHAH ALAM,5 APRIL : Walaupun terdapat tekanan daripada pihak kerajaan, anak muda dan mahasiswa akan tetap meneruskan himpunan bagi menggesa pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menuntut disediakan pendidikan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia, tegas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhamad Safwan Anang @ Talib.

Menurut Safwan , himpunan yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada jam 2 Petang, 14 April ini adalah sebagai persediaan atau “acara warming up” sebelum BERSIH 3.0.

“Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga menyeru supaya seluruh masyarakat termasuk pemimpin politik, NGO dan rakyat akan turut bersama menyertai himpunan mansuh PTPTN dan BERSIH 3.0 bagi kesejahteraan negara pada masa akan datang,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Tambah Safwan, berikutan laporan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa pilihan parlimen untuk penambahbaikan proses pilihan raya (PSC), gerakan pendesak reformasi pilihan raya BERSIH 2.0 berasa kecewa kerana mereka tidak membawa lima tuntutan yang lepas.

“Kami melihat terdapat beberapa perkara dalam PSC yang sesuai untuk digunapakai. Namun begitu, terdapat juga banyak perkara yang tidak tencapai seperti yang diharapkan.

“Oleh itu, kami menggesa anak muda, dan mahasiswa supaya turun BERSIH 3.0 bagi menuntut keadilan dan pilihan raya yang bersih untuk kali ini,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

PTPTN Kerajaan Pusat Amal Dwi- Standard

SHAH ALAM 2 APRIL : Sikap dwi-standard Kerajaan Pusat terhadap isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menimbulkan kecurigaan dan kemarahan rakyat yang kini terbeban dengan hutang berkenaan.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria berkata demikian bagi mengulas pendirian Kerajaan Pusat berhubung cadangan Pakatan Rakyat (PR) untuk memansuhan pinjaman PTPTN.

Memberi contoh sikap pemurah Perdana Menteri, Datuk Seri NajibRazak menghapuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli berjumlah RM589 juta sedangkan graduan diburu dengan pelbagai cara untuk melunaskan hutang PTPTN mereka.

“Sikap kerajaan seperti ini yang sewajarnya dipersoalkan, mana lagi releven jika dibandingkan dengan kita (PR) untuk memperjuangkan hak rakyat dengan memansuhkan PTPTN.

“Ini bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk membina minda rakyat kelas pertama, ia jelas tidak releven sedangkan dalam perlembagaan sendiri menjanjikan hak bumiputra untuk menerima pendidikan secara percuma,”jelas Nasir.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menghapuskan PTPTN sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat menjadi kerajaan selepas pilihanraya umum akan datang.

Sebagai respon terhadap cadangan itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemansuhan PTPTN tidak akan dilakukan selain menyifatkan cadangan PR itu sebagai suatu yang tidak releven.

Mengulas lanjut berhubung perkara ini, Nasir berkata adalah tidak wajar untuk meletakkan beban hutang dibahu mahasiswa seawal umur 22 tahun untuk melangsaikan hutang pendidikan mereka sekitar RM25,000 hingga RM80,000 sedangkan banyak sumber dana tiris akibat amalan urus tadbir yang korup.

“Kita yakin untuk melaksanakannya sekiranya benar-benar mentadbir kerajaan, kita juga melihat perkara ini sebagai suatu yang serius apabila FOMCA sendiri menyatakan 41 rakyat dibawah umur 30 tahun setiap hari bakal bergelar muflis akibat beban hutang, PTPTN adalah salah satu daripada puncanya,”jelasnya.

Sebagai rekod, pada tahun 2011 sahaja sudah 1.87 juta penuntut membuat pinjaman PTPTN membabitkan peruntukan RM41.6 bilion.

Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah sehingga Oktober 2011, kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hapus PTPTN Tawaran Pakatan Rakyat Realistik

SHAH ALAM,29 MAC :  Tawaran yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat (Pakatan) berhubung penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara(PTPTN) adalah realistik kerana keupayaan dan prestasi cemerlang pentadbiran dan urusan kewangan negeri yang dikuasai Pakatan.

” Kita akan pastikan tiada pembaziran dalam kewangan dan lebihan itu boleh disalurkan dalam bentuk penghapusan PTPTN itu, kita percaya jika ia dilaksanakan tidak akan mengabaikan keseluruhan rakyat,” kata Adun Batu Caves, Amiruddin Shari.

Menolak dakwa beberapa pihak bahawa penghapusan PTPTN akan menyebabkan negara menjadi muflis kerana apa yang dibuktikan di Selangor dengan pelbagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) tidak membawa negeri itu menjadi muflis.

“Hutang PTPTN ini juga satu bebanan kepada golongan graduan yang baru memasuki dunia pekerjaan, sepatutnya mereka diberi ruang dan bukan diberi hutang.

“Dengan hutang yang banyak serta peluang kerja yang kurang  dan akhirnya ia berterusan apabila berkahwin dan menjadi penghutang yang tegar,” ujarnya.

Beliau juga hairan mengapa Kerajaan BN boleh menghapuskan hutang korporat Tan Sri Tajuddin Ramli berjumlah RM589 juta yang manfaatnya hanya mungkin seorang. Tetapi tidak sanggup menghapuskan PTPTN yang manfaatnya lebih besar kepada rakyat.

Sebelum ini, pengurusuan Danaharta Nasional Bhd melupuskan hutang Tajuddin melalui penyelesaian luar mahkamah.

PTPTN  ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997.