Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN sumbang lebih RM90,000 bantu pelajar asnaf di Selangor

SHAH ALAM, 29 DIS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam menyumbang RM96,500 menerusi program ‘Kasihku Zakat Selangor’ untuk pembangunan pendidikan pelajar asnaf di Selangor.

LZS dan PTPTN dalam satu kenyataan bersama memaklumkan daripada jumlah sumbangan zakat itu, RM50,000 diperuntukkan untuk Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) manakala RM46,500 bagi Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah.

Simbolik sumbangan dalam bentuk replika kad disampaikan oleh Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop dalam satu majlis ringkas.

Kesemua peruntukan itu akan diagihkan kepada setiap penerima dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

“Sebanyak 500 anak asnaf terdiri daripada 100 pelajar pra sekolah, 150 pelajar sekolah rendah dan 250 pelajar sekolah menengah bagi Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) akan menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM100 setiap seorang.

“Manakala 155 pelajar bagi Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah pula akan menerima simpanan SSPN-i sebanyak RM300 setiap seorang,” menurut kenyataan itu.

Bait Al-Hasanah yang diperkenalkan LZS pada tahun 2007 membawa misi untuk membangunkan generasi kedua dalam kalangan asnaf fakir dan miskin bagi menjamin setiap kanak-kanak mendapat pendidikan berkualiti seterusnya membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Dasuki berkata sebagai tabung pendidikan utama negara, PTPTN ingin memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat akses terbaik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Diharapkan sumbangan ini dapat menjadi pendorong kepada anak-anak asnaf belajar bersungguh-sungguh, berjaya dalam hidup sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan. Bantuan dalam bentuk akaun SSPN-i diberikan sebagai tabungan awal bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya.

Saipolyazan pula berkata sehingga bulan lepas, 30 syarikat menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi menyantuni asnaf menerusi pakej bantuan pendidikan, modal, perubatan dan sosial.

“Dalam suasana impak pandemik Covid-19, LZS amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat pengeluar zakat demi menyantuni kelangsungan kehidupan asnaf yang semakin meningkat jumlahnya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN sumbang RM1 juta kepada keluarga asnaf terjejas Covid-19

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini memberi sumbangan sebanyak RM1 juta bagi membantu 5,000 keluarga asnaf di Kuala Lumpur yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

PTPTN dalam kenyataan, berkata sumbangan zakat perniagaan itu disalurkan melalui Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) dengan RM500,000 adalah dalam bentuk barangan keperluan harian, manakala bakinya dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata pihaknya merasai keluh resah dan kesusahan rakyat yang terjejas pendapatan mereka akibat penularan wabak ini.

“Ada yang tidak dapat bekerja seperti biasa, malah ada juga yg diberhentikan kerja, apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan. Situasi ini pastinya memberi kesan kepada kehidupan seharian anak-anak.

“Sebagai agensi yang berperanan menjadi tabung pendidikan negara yang sentiasa dekat dengan masyarakat, PTPTN terpanggil untuk menyumbang agar dapat mengurangkan kesusahan rakyat yang terjejas,” katanya ketika majlis penyerahan sumbangan kepada Dana Kita yang disiarkan di Facebook rasmi PTPTN.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap keluarga asnaf akan menerima sumbangan berjumlah RM200 dengan RM100 berupa barangan keperluan harian manakala selebihnya akan diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i kepada seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

“Kami yakin Dana Kita sebagai pertubuhan kebajikan yang bergiat aktif dalam agihan sumbangan dan melaksanakan program amal akan dapat membantu PTPTN bagi merealisasikan hasrat murni ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Dana Kita Mohd Fadli Mohamed Salleh berkata kerjasama ini merupakan salah satu program outreach Dana Kita untuk tahun ini.

“Diharapkan dengan penglibatan pihak kami dapat mengubah stigma masyarakat terhadap PTPTN yang hanya menguruskan pinjaman tetapi sebenarnya turut menyediakan skim simpanan pendidikan dan prihatin dalam membantu masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, bagi melancarkan pemberian sumbangan ini, Skuad PTPTN Prihatin akan turun padang bersama sukarelawan Dana Kita bagi membantu mengurus agihan sumbangan ini.

Menurut PTPTN, agihan sumbangan ini dijangka bermula bulan ini dan berakhir pada Mac 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN terima bayaran balik lebih RM103 juta mulai Oktober

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Seramai 422,609 peminjam atau 28.17 peratus daripada 1.5 juta keseluruhan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan bayaran balik pinjaman mereka, mulai Oktober lepas.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan kutipan bayaran balik yang diterima adalah sebanyak RM103.03 juta menunjukkan peningkatan sebanyak 173.65 peratus berbanding kutipan pada April yang berjumlah RM37.65 juta.

“Ini menunjukkan peminjam PTPTN masih terus berusaha membuat bayaran balik pinjaman mereka walaupun berada dalam keadaan yang sukar akibat pandemik Covid-19. Tindakan sebegini seharusnya menjadi ikutan kepada peminjam lain yang berkemampuan dan tidak terjejas,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, atas dasar keprihatinan, kerajaan sebelum ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan lagi, mulai Oktober hingga Disember depan.

Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN ini memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM1.13 bilion bermula Mac hingga Disember 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam terima 10,000 mohon lanjut moratorium

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menerima kira-kira 10,000 permohonan lanjutan moratorium membabitkan segmen peruncitan bagi tempoh Ogos sehingga setakat semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed turut menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat dalam tempoh dua minggu akhir bulan ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pelanggan yang masih terjejas akibat Covid-19 agar segera menghubungi bank berkenaan untuk mengatur penyelesaian terbaik berikutan tempoh moratorium enam bulan akan berakhir hujung bulan ini.

“Pada masa ini, proses permohonan hanya mengambil masa empat hari bekerja jika dokumen lengkap. Kita khuatir jika pelanggan lewat, proses pemohonan juga akan ambil masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM40,000 kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam turut membuka 10 cawangannya pada dua Sabtu berturut-turut (12 dan 19 September) bagi memudahkan urusan pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan pasca moratorium.

Pada Julai lepas, kerajaan mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan terbukti terus terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

4.57 juta akaun SSPN dibuka setakat Jun

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Sebanyak 4.57 juta akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dibuka dengan deposit berjumlah RM6.57 bilion sehingga 30 Jun 2020, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Noraini berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mewujudkan SSPN pada 2004 dan sambutan yang diterima daripada masyarakat amat menggalakkan.

Katanya, jumlah deposit SSPN yang diterima bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini terus meningkat iaitu RM682.02 juta berbanding RM425 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

“PTPTN kini bukan sahaja dikenali sebagai sebuah institusi pemberi pinjaman untuk pendidikan tinggi, malah turut dikenali sebagai sebuah institusi penabungan pendidikan bagi kelangsungan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook beliau hari i ni.

Beliau berkata usaha proaktif PTPTN dalam mentransformasikan minda masyarakat untuk membuat penabungan pendidikan merupakan suatu tindakan yang murni dan perlu disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat.

“Hasrat saya agar PTPTN melalui SSPN terus menjadi pilihan utama kepada ibu bapa dalam membuat perancangan kewangan pendidikan anak-anak mereka.

“Saya yakin perkara ini dapat dicapai berdasarkan rekod pencapaian SSPN bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini yang terus meningkat,” katanya.

Noraini turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pendeposit SSPN atas kepercayaan dan sokongan padu berterusan menyimpan dalam SSPN bagi tujuan pendidikan anak-anak walaupun dalam situasi yang mencabar ini.

Beliau seterusnya menyeru agar semua pihak bersama-sama menyahut amalan menabung bagi tujuan pendidikan sebagai satu langkah penting bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak terjamin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Peminjam PTPTN boleh mohon teruskan potongan gaji

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingin meneruskan potongan gaji atau debit langsung boleh membuat permohonan melalui portal rasmi badan itu yang telah pun dibuka bermula 23 Mac lepas sehingga 15 Ogos ini.

PTPTN dalam soalan lazim (FAQ) mengenai penangguhan pinjaman akibat Covid-19 bagaimanapun menjelaskan peminjam sedia ada yang membuat potongan gaji/debit langsung dan ingin meneruskan penangguhan tidak perlu memohon pembatalan potongan.

“Potongan gaji/debit langsung akan dihentikan sepenuhnya pada bulan April hingga September 2020 kecuali bagi peminjam yang bersetuju meneruskan potongan dengan membuat permohonan di www.ptptn.gov.my/covid-19 selewat-lewatnya pada 15 Ogos 2020,” menurut PTPTN.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memberikan lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN melibatkan kutipan berjumlah RM750 juta.

PTPTN turut memaklumkan peminjam juga tidak perlu membuat permohonan baharu potongan gaji/debit langsung selepas tamat tempoh penangguhan kerana ia akan diteruskan sepertimana sebelum penangguhan berikutan isu Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Tangguh bayar balik PTPTN dilanjut enam bulan

SHAH ALAM, 23 MAC: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada tiga kepada enam bulan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penangguhan tersebut berkuat kuasa serta-merta sehingga sehingga 30 September 2020.

“Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM750 juta dan dijangka memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam,” katanya dalam perutusan khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Pada 19 Mac lalu, kerajaan bersetuju menangguh bayaran balik pinjaman selama tiga bulan, namun ia dikaji semula selepas menerima pelbagai maklum balas daripada rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tangguh bayaran balik PTPTN, 1.5 juta peminjam dapat manfaat

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Kerajaan bersetuju memberi penangguhan bayaran balik pinjaman kepada semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkuat kuasa serta merta sehingga 30 Jun ini.

PTPTN dalam kenyataan hari ini, memaklumkan penangguhan yang dilaksana susulan penularan Covid-19 itu dijangka memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah kutipan bagi tempoh penangguhan tersebut adalah RM375 juta.

“PTPTN sentiasa prihatin dan peka serta mengambil berat terhadap kebajikan semua peminjam,” kata kenyataan itu.

Untuk sebarang maklumat lanjut, peminjam PTPTN boleh menghubungi talian Careline 03 – 2193 3000 yang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat pada 9 pagi hingga 5 petang.

Maklumat juga boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.

Terdahulu, Menteri Kanan merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ini memaklumkan PTPTN bersetuju untuk melaksanakan penangguhan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Majikan dapat pelepasan cukai bantu bayar PTPTN pekerja

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima RM383,285.91 daripada 15 majikan yang mengambil peluang membantu pekerja masing-masing membayar tunggakan pinjaman PTPTN tahun lalu.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata jumlah itu memanfaatkan 30 peminjam PTPTN, malah majikan berkenaan diberikan insentif pelepasan cukai oleh kerajaan.

“Ini satu insentif yang perlu diambil faedahnya oleh majikan pada tahun ini kerana pelepasan cukai bukan perkara mudah untuk diperoleh.

“Bahkan, berita baik untuk majikan kerana insentif ini masih terus diberikan sehingga 2021,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Insentif pelepasan cukai untuk majikan yang membayar pinjaman PTPTN pekerja diperkenalkan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2019.

Justeru, Wan Saiful menyarankan setiap majikan merebut peluang itu bagi membantu kakitangan mereka dalam menyelesaikan pinjaman pendidikan dan pada masa sama mendapat pelepasan taksiran cukai bagi jumlah yang dijelaskan.

“Kita dapati ada anak muda memang betul-betul tidak mampu membayar (pinjaman PTPTN) dan kita mahu menggalakkan supaya pinjaman ini (dari segi penyelesaiannya) dikongsikan juga oleh majikan yang mungkin mencatat keuntungan dalam perniagaan mereka.

“Jadi langkah baiknya jika sedikit keuntungan itu dapat digunakan untuk membantu mengurangkan bebanan sara hidup anak-anak muda ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN labuh tirai 2019 dengan pencapaian positif

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Walaupun berdepan suasana ekonomi tidak menentu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melabuh tirai 2019 dengan merekodkan kutipan bayaran balik sebanyak RM2.07 bilion, berbanding RM2 bilion sasaran awal sebelum ini.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata budaya membayar balik pinjaman PTPTN dalam kalangan peminjam meningkat kepada 82.5 peratus setakat 30 November lepas, berbanding 81.3 peratus pada 31 Disember 2018 dan ia dijangka akan terus bertambah hingga hujung tahun ini.

“Dalam tempoh itu PTPTN juga membantu seramai 172,863 pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT) melalui pinjaman yang disediakan dan daripada jumlah itu seramai 78,755 (46 peratus) yang merupakan golongan B40 dibantu mengubah taraf hidup keluarga dengan merealisasikan cita-cita untuk ke menara gading,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama Wan Saiful berkata keuntungan pelaburan terkumpul Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2019 turut meningkat dengan jumlah RM151.5 juta setakat suku ketiga tahun ini, selaras dengan usaha membudayakan amalan menyimpan berbanding meminjam melalui instrumen tersebut.

Prestasi itu, katanya menunjukkan peningkatan 25.9 peratus berbanding RM120.3 juta bagi tempoh yang sama pada 2018.

Wan Saiful berkata untuk tempoh sama, jumlah deposit bagi akaun SSPN turut meningkat sebanyak RM126 juta atau 18.7 peratus, iaitu daripada RM671.9 juta tahun lalu kepada RM798 juta menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga November lepas berjumlah RM5.3 bilion.

“Sementara itu sebanyak 404,676 akaun baharu SSPN juga dibuka hingga 30 November lepas, dengan keseluruhannya sebanyak 4.32 juta akaun SSPN dibuka sejak ia dilancarkan pada 2004,” katanya.

Wan Saiful berkata selain masih dapat mengekalkan Pensijilan MS ISO 9001:2015, PTPTN terus melakar sejarah sepanjang tahun ini apabila menerima anugerah daripada pelbagai agensi termasuk Sosial Media Excellence – Education Support sempena Malaysia Social Media Week (MSMW) 2019 dan Top DirectDebit Merchant sempena Malaysian e-Payments Excellence Awards (MEEA) 2019.

Bagi pelaksanaan manifesto kerajaan pula, PTPTN melaksanakan 75 peratus daripada empat janji yang dibuat sebelum ini iaitu memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam, insentif cukai kepada majikan yang membantu membuat bayaran balik tanpa memotong gaji pekerja terbabit dan bayaran setimpal atau hutang dilupuskan seluruhnya untuk pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Bagaimanapun penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua yang bergaji kurang RM4,000 sebulan belum dapat dilaksanakan kerana di luar bidang kuasa PTPTN selain melibatkan implikasi besar kepada kewangan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

PTPTN keluar waran wang pendahuluan pembiayaan RM31 juta

KANGAR, 20 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengeluarkan waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) sebanyak RM31 juta kepada 20,716 pelajar bagi kemasukan pengajian peringkat ijazah ke universiti awam, sesi September 2019.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian WPP itu adalah permulaan kepada usaha PTPTN untuk memastikan tiada pelajar yang tidak boleh melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ekoran masalah kewangan.

“WPP RM1,500 diberikan bagi setiap seorang pelajar warganegara Malaysia yang membuat persetujuan menerima WPP melalui saluran ditetapkan PTPTN semasa memohon UPU Online atau melalui portal kemasukan IPT.

“Ibu bapa pelajar mestilah penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh PTPTN,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan WPP di sini semalam.

Bagi negeri Perlis, seramai 231 pelajar akan ditawarkan WPP bagi sesi ini dengan peruntukan RM346,500.

Wan Saiful berkata, surat tawaran WPP yang diberikan mempunyai tempoh sah laku selama dua bulan dan tempoh sah laku tawaran WPP pada kali ini adalah pada 27 Ogos 2019 hingga 27 Oktober 2019.

Pelajar boleh menunaikan WPP ini di mana-mana kaunter Bank Islam mulai 27 Ogos 2019 dengan membawa surat tawaran dan juga MyKad pelajar itu sendiri dan wakil adalah tidak dibenarkan.

Wan Saiful turut mengingatkan pelajar berkenaan untuk membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui Portal PTPTN mulai 1 Ogos 2019 hingga 31 Ogos 2019 bagi memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sebagaimana sepatutnya.

“Pelajar hendaklah merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus kepada PTPTN jika terdapat sebarang keraguan atau kekeliruan,” katanya.

Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan zakat PTPTN bernilai RM5,000 kepada seorang pelajar asnaf Perlis, Nurul Ain Mohamad Firdaus, 18.

Beliau berkata zakat PTPTN mula ditubuhkan pada 2016 untuk memastikan PTPTN patuh syariah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PTPTN: Pinjaman perlu, peminjam sedia bayar balik

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Kaji selidik yang dilakukan Pusat Penyelidikan Kaji Selidik UCSI mendapati rakyat Malaysia tidak gembira jika tiada lagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk generasi akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif pusat penyelidikan itu, Profesor Madya Dr Noppadon Kannika berkata, kaji selidik yang dilakukan terhadap 700 orang juga mendapati 51.6 peratus peminjam PTPTN cenderung untuk membayar balik pinjaman pelajaran mengikut keadaan kewangan semasa mereka.

Selain itu, sebanyak 73.1 peratus responden bersetuju dengan cadangan penangguhan bayaran balik bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan manakala 65.8 peratus mahu mereka yang lulus dengan kepujian kelas pertama diberi pengecualian penuh atau separa.

“Kira-kira 55.3 peratus mahu skim bayaran balik berasaskan pendapatan untuk peminjam baharu. Bagaimanapun, 45.1 peratus daripada responden tidak bersetuju peminjam yang gagal membayar balik pinjaman didakwa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kaji selidik itu dilakukan bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai mekanisme baharu pembayaran balik pinjaman itu.

“Kaji selidik ini dapat membantu PTPTN dan Kementerian Pendidikan untuk mencari alternatif untuk merumus satu dasar bagi menangani isu berkenaan,” kata Noppadon.

Kajian itu dilakukan antara 22 Jun dan 9 Julai di Kuala Lumpur meliputi responden daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan pendapatan.

-BERNAMA