Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

9,000 pelajar Tuisyen Rakyat Selangor dapat kad SIM, internet percuma

SUBANG, 22 JAN: Seramai 9,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) secara percuma melalui inisiatif Data Internet Selangor.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata jumlah penerima bertambah 2,000 lagi berbanding 7,000 yang diperuntuk sebelum ini.

“Semua pelajar sudah menerima kad SIM tetapi ada yang belum aktifkan data. Pasukan kita bersama syarikat telekomunikasi akan turun padang untuk melihat masalah mereka,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan komputer riba kepada pasangan kembar Ahmad dan Muhammad Rosli di Kampung Tengah Puchong semalam.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Selain pelajar PTRS, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tuisyen Rakyat percuma sasar 60,000 pelajar, tawar lebih 80 video pembelajaran

SHAH ALAM, 11 JAN: Seramai 60,000 pelajar tingkatan lima dan tahun enam di negeri ini disasar menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) pada tahun ini.

Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri memaklumkan 50,000 peserta membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala 10,000 lagi pelajar tahun enam yang mengikuti kelas secara maya dan bersemuka selain mendapat modul pembelajaran secara percuma.

Jelasnya, 10,000 calon SPM dari keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan guru bimbingan menerima manfaat kelas tuisyen beserta modul pembelajaran manakala 20,000 pelajar kategori sama tetapi mampu belajar sendiri menerima modul pembelajaran.

“Seramai 20,000 lagi pelajar pula mengikuti pembelajaran secara dalam talian menerusi portal ePTRS.my yang mengandungi video pembelajaran dan buku modul pembelajaran dalam bentuk PDF.

“Bagi pelajar tahun enam pula, dianggarkan seramai 10,000 orang menerima manfaat buku modul pembelajaran bagi memantapkan penguasaan mata pelajaran di peringkat rendah,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Jawatankuasa itu turut memaklumkan antara penambah baik dalam portal ePTRS.my pada tahun ini adalah dengan memuatkan video pembelajaran mata pelajaran sains tulen seperti matematik tambahan, fizik, biologi dan kimia selain pendidikan Islam serta moral.

Sebelum ini, portal berkenaan memuatkan 81 video pembelajaran merangkumi mata pelajaran teras iaitu mata bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sejarah, sains dan matematik .

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada 26 November lalu mengumumkan peruntukan RM7 juta untuk meneruskan PTRS pada tahun ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu antaranya bagi memantapkan pengisian portal ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih ramai pelajar bakal terima kad SIM percuma Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 12 NOV: Lebih ramai lagi pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bakal menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) disediakan Kerajaan Negeri.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pihaknya memohon peruntukan SIM dari kuota kategori lain memandangkan inisiatif itu memberi manfaat besar kepada golongan pelajar.

“Kerajaan peruntukan 7,000 untuk peserta PTRS dan kami menambah lagi 2,500 yang diambil dari kategori penjaja kecil. Keseluruhan 9,500 pelajar terima kad SIM ini.

“Jadi kita lihat ada keperluan untuk tambah lagi dan diberi kepada pelajar. Mungkin kita ambil dari penjaja serta peruntukan untuk Ahli Dewan Negeri,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada SelangorKini.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Selain pelajar PTRS, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Internet percuma beri semangat belajar, saran lebih banyak kuota dibuka

SHAH ALAM, 29 SEPT : Ibu bapa perlu memantau anak menggunakan data internet percuma diberi Kerajaan Negeri sebaiknya, kata Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor Mohd Azuan Mohd Nawawi

Mohd Azuan Mohd Nawawi berkata tindakan itu penting bagi mengelak kemudahan tersebut disalah guna perkara tidak bermanfaat.

“Internet percuma beri semangat kepada pelajar untuk belajar yang mungkin sebelum ini berdepan masalah mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Namun, ibu bapa juga berperanan memantau penggunaan internet, pastikan anak-anak tidak gunakan untuk perkara tidak berfaedah,” katanya ditemui selepas sesi penyerahan SIM percuma Data Internet Selangor di Kediaman Dato’ Menteri Besar di sini.

Sesi serahan 7,000 kad SIM disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor Rozlina Abd Ghani turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri memberi internet percuma selama 12 bulan.

Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor Rozlina Abd Ghani

“Setakat ini, seramai 431 pelajar di Hulu Selangor terima manfaat ini. Kita harap lebih banyak permohonan dibuka kerana masih ramai yang mahukan faedah tersebut,” katanya.

Pada 4 Ogos, Amirudin memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Beliau berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

7,000 pelajar nikmati data internet percuma hujung bulan ini

SHAH ALAM, 2 SEPT: Seramai 7,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma hujung bulan ini, lebih awal dari perancangan.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata inisiatif itu membolehkan mereka menikmati kemudahan data internet percuma selama setahun.

“Mengikut perancangan serahan pada Oktober namun kita bincang dengan syarikat telco untuk cepatkan. SIM ini turut diberi kepada 212 guru penyelaras yang mengajar peserta,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyerahkan 100 bakul makanan kepada Kelab Rekreasi Sukan dan Kebajikan Media Selangor (KERISEMAS) di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Azri berkata lebih ramai pelajar PTRS bakal menyertai program Data Internet Selangor selepas pihaknya membuka permohonan rayuan.

Ahmad Azri Zainal Nor

“Kuota pelajar PTRS sudah penuh jadi kita mungkin akan gunakan kuota peniaga kerana golongan itu mempunyai peruntukan 17,000 penerima,” katanya.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Beliau turut mengumumkan Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) selepas menyedari kesulitan dihadapi rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

7,000 peserta tuisyen Selangor terima internet percuma mulai Oktober

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kira-kira 7,000 peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bakal menikmati kemudahan data internet percuma selama setahun bermula Oktober ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata program Data Internet Selangor menawarkan pakej Life dikuasakan Digi dan Celcom dengan kuota sebanyak 15 gigabit serta Unifi (45 gb) sebulan.

“Kita beri keutamaan kepada peserta PTRS, jadi sekarang dalam proses mengumpul data dan mendaftar nama mereka. Peserta boleh memilih salah satu daripada tiga penyedia telekomunikasi (Telco) tanpa perlu menukar nombor sedia ada.

“Yuran langganan data dibiayai sepenuhnya MBI Bisnes Amal dan caj akan dikenakan jika penggunaan melebihi kuota diperuntukkan pada bulan semasa,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan tablet kepada pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11 di sini hari ini.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, Dato’ Menteri Besar mengumumkan program Data Internet Selangor yang akan memanfaatkan 70,000 golongan sasar termasuk penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia (TM) selepas menyedari kesulitan dihadapi rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran Covid-19.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tuisyen percuma Selangor bantu pelajar raih 8A SPM

SHAH ALAM, 11 JUN: Salah seorang peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bersyukur apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, yang mengambil aliran Sains Komputer meraih 8A dan 1B dalam keputusan yang diumumkan semalam.

Menurutnya, kejayaan itu sangat bermakna selepas melalui tempoh panjang sebelum menghadapi peperiksaan susulan pandemik Covid-19 selain kesukaran memahami pembelajaran secara maya.

“Alhamdulillah, sejujurnya saya sangat terkejut dengan keputusan ini memandangkan kami (pelajar SPM) terpaksa belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sudah tentu cabaran besar buat saya kerana bukan semua topik boleh diajar dalam talian serta memerlukan tunjuk ajar guru secara bersemuka,” katanya ketika dihubungi.

Anak kedua dari tiga beradik itu berkata dia banyak bergantung kepada portal pendidikan Selangor eptrs.my ketika membuat persiapan akhir untuk menduduki SPM, akhir Februari lalu.

“Saya kekurangan bahan ulang kaji kerana tidak dapat ke sekolah, jadi saya manfaatkan platform ini untuk menambah pengetahuan serta mempelajari kaedah menjawab soalan dengan mudah dan tepat.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menawarkan inisiatif ini secara percuma kepada pelajar SPM,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat asasi dalam jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Semalam, menteri kanan pendidikan berkata keputusan SPM tahun lalu mencatat Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.80 mata, terbaik dalam tempoh lima tahun sejak 2016.

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan calon yang layak memperoleh sijil SPM juga meningkat kepada 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada 2019.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Tuisyen percuma manfaatkan 70,000 pelajar SPM

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 70,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menerima manfaat melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata modul pembelajaran bercetak akan diedarkan kepada 50,000 pelajar yang menghadapi kekangan pembelajaran secara maya dengan perbelanjaan RM2.1 juta.

“Portal ePTRS.my pula digunakan sebagai sebagai medium pembelajaran Tuisyen Rakyat versi digital. Modul pembelajaran bercetak boleh diakses secara dalam talian di portal ini.

“Seramai 20,000 pelajar yang akan menduduki SPM bakal menerima manfaat dari inisiatif ini dengan peruntukan RM500,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bantuan itu sebahagian inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 286 pelajar tajaan Yayasan Selangor yang menamatkan pengajian tahun ini diberi penangguhan bayaran kepada Januari 2022 dengan kesan kewangan RM1 juta.

“Yayasan Selangor juga akan membantu merancang semula pembayaran balik pinjaman pendidikan kepada seramai 2,088 bekas pelajar tajaannya, mereka digalakkan menghubungi Yayasan Selangor,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi membantu menyediakan makanan dan barangan keperluan asas kepada 7,500 pelajar di institut pengajian tinggi awam dan milik Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Portal eptrs.my sediakan teknik jawab soalan mudahkan calon SPM, STPM

SHAH ALAM, 17 JAN: Teknik menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut disediakan dalam portal pendidikan Selangor eptrs.my

Dato’ Menteri Besar berkata segala kandungan portal berkenaan dilengkapkan oleh guru pakar serta berpengalaman dalam setiap mata pelajaran.

“Proses ulangkaji akan lebih mudah dengan perkongsian tips menjawab soalan peperiksaan melalui rakaman video.

“Semuanya adalah percuma. Lengkapkan diri anda dengan Program Pecutan Akhir di www.eptrs.my,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Portal pendidikan Selangor eptrs.my dilengkapi sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM.

Semalam portal dilengkapi sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM dilancarkan bagi membantu calonnya.

Melalui portal berkenaan, pelajar berpeluang menyertai sesi soal jawab bersama guru bimbingan selain membolehkan mereka melakukan ulang kaji pelajaran.

Ia turut menyediakan program khas ‘Pecutan Terakhir’ untuk meningkatkan penguasaan calon peperiksaan.

Berikut adalah cara untuk mendaftar: 

 

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Portal eptrs.my bantu calon SPM, STPM, jom daftar

SHAH ALAM, 16 JAN: Dato’ Menteri Besar melancarkan portal pendidikan Selangor eptrs.my bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata platform tersebut dilengkapi sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM.

“Potral eptrs.my memberi peluang kepada pelajar menyertai sesi soal jawab bersama guru bimbingan. Malah kita turut memuat naik video pembelajaran bagi membolehkan pelajar melakukan ulang kaji pelajaran.

“Inisiatif ini adalah hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI). Semoga ia membantu calon peperiksaan dalam norma baharu susulan pendemik Covid-19,” katanya berucap merasmikan portal eptrs.my menerusi Facebook hari ini.

Amirudin berkata, untuk pelajar yang tidak menyertai PTRS, Kerajaan Negeri memberi kata laluan khas kepada pihak sekolah di Selangor bagi membolehkan mereka mengakses portal tersebut.

Pada Mac tahun lepas Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif tersebut yang menyediakan tiga juta soalan mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima 100,000 pendaftaran pelajar sejak mula dilaksana pada April sehingga September.

Selain itu pada 11 September tahun lepas Dato’ Menteri Besar berkata PTRS memberi manfaat kepada seramai 10,000 pelajar SPM pada tahun lepas.

Beliau berkata sejak diperkenalkan pada 2009, PTRS berjaya mengubah nasib pelajar sederhana dan lemah pelajaran untuk lulus peperiksaan tersebut.

Berikut adalah cara untuk mendaftar:

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program Tuisyen Rakyat Selangor bantu 190 pelajar tercicir

SHAH ALAM, 13 NOV: Pelajar sekolah yang tercicir dalam akademik kerana terpaksa bekerja akan dibantu melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sehingga kini seramai 183 pelajar sekolah menengah tidak meneruskan pengajian kerana bekerja, sementara tujuh orang masih di sekolah rendah.

“Program PTRS ini boleh dilaksana pada waktu fleksibel tertakluk kepada waktu ditetapkan sekolah masing-masing.

“Di samping itu, program ini juga dilaksana kepada pelajar yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mazwan Johar (PAKATAN-Sungai Ramal) pada sidang Dewan Negeri Selangor berhubung tindakan Kerajaan Negeri untuk memastikan pelajar sekolah yang bekerja tidak ketinggalan dalam akademik.

Amirudin berkata seramai 11,031 pelajar sekolah menengah di Selangor tidak meneruskan pengajian setakat ini.

Katanya 183 pelajar memilih untuk bekerja, berhenti sekolah (10,094), berkahwin (19), kemiskinan (9) dan masalah keluarga (123).

Faktor lain ialah sukar ke sekolah (43), takut ke sekolah (11) dan tidak berminat ke sekolah (549).

“Sementara sebanyak 1,250 pula adalah jumlah bagi murid sekolah rendah yang tidak meneruskan pembelajaran, daripada jumlah itu yang bekerja (7), berhenti sekolah (863), berkahwin (2) dan kemiskininan (15).

“Mereka turut berdepan masalah keluarga (198), sukar ke sekolah (29), takut sekolah (8) dan tidak berminat ke sekolah (128),” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

PTRS bakal dilaksana di sekolah mulai tahun depan

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 14 SEPT: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bakal dilaksanakan dalam kawasan sekolah sekitar negeri, mulai tahun hadapan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, program itu tidak berpeluang memasuki sekolah kerana terdapat kekangan daripada kerajaan terdahulu.

“Bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan bersama Kerajaan Negeri untuk ia mula dilaksanakan di beberapa sekolah terpilih, di sekitar negeri ini.

“Apabila wujudnya inisiatif sebegini, pihak DUN dan sekolah dapat bekerjasama menggunakan tenaga guru sedia ada dan pada masa sama, guru dapat menambah pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pecutan Akhir Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian, di sini, semalam.

Pada masa sama, Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang berkata, PTRS dapat membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang tidak berkemampuan untuk ke tuisyen.

“Kerajaan Negeri komited mahu membantu pelajar di seluruh negeri ini yang kurang berkemampuan untuk pergi ke tuisyen berbayar terutama keluarga golongan berpendapatan B40.

“Sejak ia mula dilaksanakan, sambutan amat memberangsangkan walaupun terdapat kekangan dari kerajaan terdahulu,” katanya.

PTRS yang dianjurkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Selangor sejak Mac 2009 itu diteruskan dengan beberapa penambahbaikan demi meningkatkan tahap pencapaian diraih setakat ini.

Dasar pertama PTRS adalah memberi bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan (tuisyen) secara percuma kepada pelajar yang memperolehi keputusan sederhana atau lemah mata pelajaran, manakala kedua ia diberi kepada pelajar yang keluarganya berpendapatan bawah RM2,000.

PTRS membabitkan bilangan kuota 100 pelajar setiap kawasan dengan menawarkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, sekali gus menyempurnakan amalan 5M (membaca, menulis, mengira, memikir, mangamal).