Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PPV Dewan Serbaguna MBSJ bantu singkat perjalanan penduduk

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya, Puchong Indah membantu memendekkan jarak perjalanan penduduk mendapat suntikan pelalian.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata sebelum ini penduduk Puchong perlu ke PPV Sunway Pyramid di Subang Jaya dan ada keperluan menyediakan pusat vaksin sendiri berikutan kepadatan penduduk.

“PPV ini akan mula beroperasi Isnin depan dan mampu menampung antara 1,000 hingga 1,500 orang dalam satu-satu masa.

“Pemberian vaksin akan dibuat melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 25 Jun, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mewujudkan PPV berskala kecil di Puchong bagi memudahkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

Beliau berkata ramai penduduk sekitar khususnya warga emas gagal menghadiri janji temu kerana kawasan ditetapkan jauh dari kediaman masing-masing.

Selangor menyasarkan jumlah pemberian vaksin harian negeri mencecah ke tahap 300,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini.

Jumlah itu hasil Program Vaksin Selangor (Selvax), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

Program Selvax merupakan pelengkap kerangka PICK. Menerusi Selvax Komuniti, seramai 250,000 rakyat negeri ini yang belum divaksin mendapat manfaat membabitkan 500,000 dos.

Sebanyak dua juta dos vaksin pula disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pusat vaksin dibuka di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pusat pemberian vaksin (PPV) berskala kecil akan mula beroperasi di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Puchong Indah pada Isnin depan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han berkata pembukaan PPV itu diharap mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat khususnya untuk penduduk setempat.

“Akhirnya PPV dibuka di Puchong. Setelah beberapa kali pertemuan dan perbincangan, Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah kini digunakan sebagai PPV,” katanya menerusi Facebook.

Pada 25 Jun, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) mewujudkan PPV berskala kecil di Puchong bagi memudahkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

Beliau berkata ramai penduduk sekitar khususnya warga emas gagal menghadiri janji temu kerana kawasan ditetapkan jauh dari kediaman masing-masing.

Selangor menyasarkan jumlah pemberian vaksin harian negeri mencecah ke tahap 300,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini.

Jumlah itu hasil Program Vaksin Selangor (Selvax), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

Program Selvax merupakan pelengkap kerangka PICK. Menerusi Selvax Komuniti, seramai 250,000 rakyat negeri ini yang belum divaksin mendapat manfaat membabitkan 500,000 dos.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Saringan percuma hujung minggu kesan 39 kes Covid-19

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Negeri mengesan 39 kes positif Covid-19 sepanjang dua hari penganjuran Saringan Komuniti percuma pada hujung minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan bersasar di Puchong, Klang dan Shah Alam melibatkan lebih 1,000 individu.

“Menerusi ujian Covid-19 yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada Sabtu dan Ahad lalu di empat lokasi berlainan, seramai 1283 individu tampil membuat saringan.

“Daripada jumlah itu, 39 individu dikesan positif. Ujian percuma ini akan diteruskan minggu ini,” katanya di Facebook.

Semalam, program itu berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Taman Puchong Indah yang mensasarkan penduduk berhampiran Kampung Sri Langkas, Taman Dahlia, Taman Puchong Perdana, Puchong Permata 2 dan Kampung Seri Andalas.

Pada Ahad, saringan diadakan di Dewan Serbaguna Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang dan Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19 dan Seksyen 7 Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM6 juta untuk menjayakan ujian saringan bersasar percuma bagi membendung penularan wabak.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas terutama di pusat penjagaan dan hemodialisis seluruh negeri termasuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS santuni pekerja terjejas Covid-19 di Puchong

SHAH ALAM, 19 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kaunter di Syarikat I&P Group Sdn Bhd di Puchong, semalam bagi menyantuni pekerja yang terjejas akibat Covid-19.

Agensi berkata langkah itu sebagai usaha menjejak individu terkesan menerusi Program Mini Skuad Jejak Kemiskinan.

“Syarikat ini membuat potongan gaji untuk bayaran zakat pekerjanya. Akibat Covid-19 ada antara kakitangan yang terjejas teruk.

“Susulan itu LZS Petaling membuka empat kaunter bagi menyantuni 11 pekerja terkesan manakala pekerja yang tidak hadir akan dihubungi melalui panggilan telefon,” katanya menerusi Facebook.

LZS memaklumkan syarikat itu turut memberi sumbangan kepada pekerja terlibat menerusi wakalah agihan bagi meringankan beban ditanggung.

“Semoga dengan usaha ini akan dapat membantu mereka yang terkesan. Terima kasih kepada pembayar zakat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tanah runtuh di Puchong, kediaman penduduk nyaris musnah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 MAC: Pemilik sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Puchong Hartamas bernasib baik apabila rumahnya tidak mengalami kerosakan teruk ekoran kejadian tanah runtuh, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.00 petang semalam itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu sehingga menghakis cerun yang terletak kira-kira 10 meter di bahagian tepi rumah terbabit.

IMG-20150310-WA003Bagaimanapun, tanah runtuh itu hanya menimpa bahagian halaman rumah dan jalan raya tanpa menyebabkan kerosakan harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya sudah mengarahkan pemaju taman perumahan terbabit membina tembok penahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya dah arahkan Jabatan Kejuruteraan membuat pemantauan secara berterusan disebabkan keadaan cuaca yang sering hujan,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke kawasan terbabit.

IMG-20150310-WA030Katanya, kerja pembersihan tanah runtuh di dalam longkang dan di atas jalan raya sudah dilaksanakan MPSJ.

Selangor Kini difahamkan, cerun itu terletak di atas tanah rezab saluran paip Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“MPSJ juga sudah memanggil pemaju dan Syabas untuk atasi isu ini. Notis sudah dikeluarkan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

228 Fakir Miskin Puchong Terima Sumbangan Raya

PUCHONG, 2 OGOS: Seramai 228 asnaf fakir dan miskin di Puchong menerima sumbangan raya daripada Lembaga Zakat Selangor(LZS) sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Alhmarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai RM400 setiap orang di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat yang diadakan di Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Puchong malam tadi.

Program ini bertujuan untuk mendekati seluruh rakyat Selangor di bawah pemerintahan baginda Sultan dan sumbangan tersebut sedikit sebanyak, meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk menjalani ibadah ramadan dan menyambut aldilfitri kali ini.

Seorang penerima kurang upaya asnaf miskin, Kamilah Arifin, 41, berkata wang itu akan digunakan untuk keperluan empat orang anaknya bagi menyambut hari raya.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya duit ini dapat meringankan beban saya mempersiapkan anak-anak menyambut syawal kelak,” katanya yang sudah 11 tahun menjadi Orang Kurang Upaya (OKU).

Turut hadir di majlis ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir, Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi , Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Dalam majlis yang sama, seramai 140 saudara baru Islam dan 128 anak yatim di kawasan ini turut menerima sumbangan raya yang disampaikan oleh baginda Sultan.

Sementara itu, seorang saudara baru, Yusuf Islam Mohd Noor, yang memeluk Islam pada September tahun lepas, turut terharu kerana masih ada pihak yang sudi memberi sumbangan kepadanya.

“Syukur alhamdulillah saya sekeluarga kini memeluk Islam dan bagi persiapan raya, saya hanya membuat persiapan sederhana sahaja,” katanya yang masih mendalami Islam dengan mengikuti kelas Fardhu Ain anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM).

Lima Siber Cafe Haram di Serbu MPSJ

PUCHONG, 1 MAC : Dengan berselindung di sebalik cermin gelap dan tidak mempamerkan papan tanda perniagaan, ada kafe siber di kawasan ini yang bukan saja menyediakan perkhidmatan internet, malah turut menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Biarpun pernah diberi amaran oleh polis dan Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pengusaha premis terbabit tetap berdegil meneruskan aktiviti haram mereka.

Dalam operasi bersepadu bersama Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan MPSJ di Pusat Perdagangan Kinrara di sini baru-baru ini, lima kafe siber di sekitar kawasan itu yang menjalankan aktiviti perjudian haram diserbu dan 100 set peralatan komputer disita.

Penolong Pengarah Penguatkuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd berkata, kesemua premis berkenaan disita mengikut Undang-Undang Kecil 3 Pusat Siber MPSJ 2007 iaitu menjalankan perniagaan kafe siber tanpa lesen.

“Kita berjaya menahan 12 orang pengunjung berusia antara 20 sehingga 40 tahun di mana dua daripada mereka merupakan warga asing. Selain itu, kita juga sempat menahan dua penjaga premis berkenaan yang merupakan warga tempatan dan asing berusia lingkungan 20-an.

Atas kesalahan itu, pengusaha boleh dikenakan denda maksimum RM1,000. Mereka akan didakwa di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Mengulas lanjut, Mazrul berkata, operasi itu diadakan bersama kekuatan lebih 30 pegawai penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan aduan orang ramai dan penduduk setempat.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu adalah bertujuan mengelakkan pengusaha pusat perjudian haram terus menjalankan aktiviti perjudian selain mengurangkan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja dan kaki judi yang sering berkunjung ke premis perjudian haram.

Ditanya mengenai jumlah kos rampasan, menurutnya, setakat ini pihaknya masih belum mentafsirkan jumlah tersebut.

“Pihak polis dan penguatkuasa MPSJ akan terus giat menjalankan pemantauan bagi mengelakkan premis tersebut daripada beroperasi semula. Kita juga akan mengambil tindakan secara berkala dan komprehensif menangani isu berkenaan,” tegasnya.