Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pasar Seni Genta wajar diterus, didik masyarakat keunikan seni kreatif

SHAH ALAM, 27 FEB: Penganjuran Pasar Seni Genta menyuntik semangat seorang penggemar puisi untuk kembali aktif dalam penulisan karya.

Masyitah Syahirah Mustapha, 25, mengakui berhenti menulis puisi sejak pandemik Covid-19 bagi memberi fokus terhadap kerjaya sebagai pembantu penyelidik.

Masyitah Syahirah Mustapha. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurutnya, biarpun lebih 50 puisi ditulisnya sejak 2013 belum tersiar di mana-mana syarikat penerbitan, namun tidak menghalang minatnya untuk terus berkarya.

“Sejujurnya saya meminati dunia seni terutama penulisan puisi dan mengunjungi acara seni. Saya berharap program sebegini wajar diteruskan,” katanya ditemui di perkarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam di sini hari ini.

Mengulas perancangan selepas kembali aktif dalam bidang itu, anak bongsu daripada dua beradik yang berasal dari Sabah bagaimanapun belum bersedia untuk menghantar karya puisi ke mana-mana syarikat penerbitan.

Natasya Eirdyna Hairulnizam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Seorang lagi pengunjung Natasya Eirdyna Hairulnizam, 22, berkata minat mendalam terhadap bidang seni kreatif mendorongnya hadir ke acara berkenaan bersama dua rakan.

Pelajar semester kedua jurusan Association of Charted Certified Accounts (ACCA) dari Kolej Universiti KDU berkata program tersebut mendedahkannya terhadap keunikan dan kepelbagaian cabang seni kreatif.

“Sebelum ini saya beranggapan seni kreatif hanya lukisan semata-mata sebab saya suka melukis, tetapi sebenarnya skopnya sangat luas.

“Program sebegini sangat bagus kerana beri peluang kepada saya untuk lihat persembahan daripada kumpulan muzik dan pemuisi selain menyokong pempamer seni, kraf serta buku,” katanya.

Raihana Jasmine Jefree. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Raihana Jasmine Jefree, 25, pula mengakui gemar mengunjungi aktiviti santai selepas sudah lama tidak berbuat demikian atas faktor kekangan kerja.

“Saya tidak arif bab seni dan penulisan tetapi sejujurnya saya suka datang ke acara seperti ini dan melepak bersama kawan-kawan.

“Cuma saya berpandangan aktiviti seperti ini wajar dianjurkan dari semasa ke semasa serta mendedahkan kita dengan seni kreatif,” katanya

Categories
AGENDA GLOBAL

Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom akan diadakan pada 8 Mei dari 10 malam hingga 12 tengah malam, sebagai menzahirkan kesedihan dan simpati terhadap tragedi tenggelamnya kapal selam KRI Nanggala 402 di perairan Bali, Indonesia.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) Datuk Dr Radzuan Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, acara tersebut akan disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook Pemuisi Berkarya.

Beliau berkata, acara itu merupakan anjuran Pemuisi dengan kerjasama Talenta Indonesia, Universitas Sumatera Utara (USU), Perkumpulan Rumah Seni Asnur (PERRUAS) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI).

Menurut Radzuan, seramai 30 peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Korea, akan menyertai acara tersebut yang akan dirasmikan oleh Penaung Pemuisi Tan Sri Dr Hamad Kama Piah Che’ Othman.

“Peserta dari Malaysia termasuk dua Sasterawan Negara iaitu Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Zurinah Hassan, serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Seri Dr Awang Sariyan, serta Tokoh Wartawan Malaysia Tan Sri Johan Jaaffar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Indonesia pula diwakili Prof Madya Drs Siamir Marulafau dari USU, Asrizal Nur dari PERRUAS, dan Ketua Sumbar Talenta Sastri Bakry.

Pada 25 April lepas, Indonesia mengumumkan KRI Nanggala 402 tenggelam dan semua 53 kru terkorban, selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Saksi Merdeka

RIBUAN orang berhimpun di Padang Kelab Selangor. Suasana sesak. Hingar. Masing-masing mahu menyaksikan sendiri bendera Union Jack, simbol penjajahan kuasa Inggeris di Tanah Melayu, jatuh perlahan-lahan.

Datuk A Samad Said, waktu itu berusia 25 tahun, turut ada di celah-celah himpitan rakyat penghujung malam 30 Ogos 1957. Sebagai penggiat sastera dengan kesedaran politik, semangatnya bernyala-nyala untuk meraikan detik ini seperti telah terzahir dalam banyak karyanya.

“Kemerdekaan selalu menggetarkan qalbu saya. Saya berasa bermaruah dan dihargai. Saya berasa sangat bernilai sebagai seorang rakyat,” kata Sasterawan Negara itu, yang membahasa dirinya bapak dan selesa dipanggil Pak Samad.

Puisi-puisinya sebelum detik itu turut menyerlahkan semangatnya yang meluap-luap. Dalam sajak berjudul ‘Pada Tanah yang Indah’ (Disember 1956), beliau mengungkapkan: Hati ini seluruh kasihkan kekasih sepenuh/ beri janji yang teguh hingga badanku luluh.

Beliau “menjeritkan kemerdekaan” bukan sahaja melalui puisi, seperti dibukukan dalam “Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957”. Anak Melaka itu, yang lama bergiat di Singapura, turut menghasilkan cerpen dan novel yang memperihalkan penderitaan rakyat tanpa kemerdekaan, antaranya, ‘Sungai Mengalir Lesu’ dan ‘Di Hadapan Pulau’ serta ‘Adik Datang’.

Bagi Pak Samad, kemerdekaan menganugerahkannya hak untuk mengisytiharkan kemerdekaan diri yang sangat berharga dan mulia sifatnya. Beliau banyak menulis perihal tanah air dan kemerdekaan kerana percaya hanya dengan kemerdekaan rakyat “tidak lagi kekal sebagai hamba penjajah”.

“Itulah sebabnya lahir puisi ‘Titisan Darah di Tanah Indah’, ‘Pertama dan Terakhir’ serta ‘Pada Tanah yang Indah’. Kesemuanya merakam sejarah tanah air menjelang kemerdekaan,” katanya kepada SelangorKini dalam wawancara bertulis.

Bebas meronta

“Puisi lahir seikhlasnya. Ia rakaman kasih sayang saya terhadap tanah air. Ia mewangikan kehidupan saya sebagai rakyat yang pernah terjajah sehingga tahun 1957.”

Biarpun kini berusia 88 tahun, nostalgia itu mekar dalam ingatannya. Betapa detik itu penting untuk disaksikan, untuk diingati seumur hidup. Lebih-lebih lagi buat jiwa yang dilingkari dunia persuratkhabaran, politik dan kesusasteraaan.

Sasterawan, sebagaimana bentuk perjuangan orang politik dan wartawan, turut lantang menuntut perubahan rakyat bawah. Melalui konsep ‘seni untuk masyarakat’ yang dipelopori Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), Pak Samad sebagai ahlinya turut memainkan peranan sebagai “saksi kemerdekaan”.

Malah gejolak rasa mahu bebas yang meronta-ronta itu memang asas utama kebangkitan rasa kebangsaan sejak awal abad ke-20 lagi. Setelah pendidikan perlahan-lahan merebak di kalangan anak muda, akhbar-akhbar Melayu yang dipelopori pejuang bangsa mula membakar semangat kemerdekaan.

Antara September 1956 hingga April 1957, Pak Samad menghasilkan empat sajak bertema kemerdekaan. Bersama puluhan penyair lain, karyanya dihimpun buku tebal terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1987. Penyusun buku itu Abdul Latiff Abu Bakar merakamkan 420 sajak, termasuk karya Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant), Harun Amirurrasyid, Ibrahim Yaakob (IBHY), Zainon Munshi Sulaiman (Ibu Zain), Zulkifli Muhammad dan Masuri MN.

Pun begitu, menjengah kembali sambutan kemerdekaan saban tahun hingga usianya kian renta, Pak Samad mengesan lunturnya semangat sejati saat meraikan kemerdekaan. Makna tidak lagi dihayati, hanya riak gembira mengiringi.

Tulus jujur

Hanya sambutan pada saat awal yang menggentarkan jiwanya. “Yang paling manis dan mengharukan ialah sambutan pertama kemerdekaan yang lebih tulus dan jujur.

“Yang selepas itu sudah dicemari dengan suara kelompok yang melompat ke perahu kemerdekaan. Ada yang tidak peduli kemerdekaan tiba-tiba menjerit sebagai juara utama kemerdekaan,” katanya. “Yang pertama sangat tulus dan tulen.”

Dikenali juga sebagai pemimpin Bersih 2.0 dan penentang dasar bahasa Inggeris untuk pendidikan Matematik dan Sains, Pak Samad yang beraliran Parti Rakyat di celah-celah pertarungan politik ideologi tentunya tidak puas dengan penghayatan saat ini.

“Tentu sahaja ramai yang berjuang (kemerdekaan) secara bercampur-campur. Tapi, seperti biasa yang muncul jaguh adalah mereka yang bersandarkan pada parti politik,” katanya.

Bagaimana rumitnya simpang perenang arus masa mengisi makna kemerdekaan, Pak Samad bersama generasi penulis dan budayawan sezamannya telah melaungkan jeritan itu. Mereka hadir sebagai saksi rasa jiwa bebas itu.

“Sastera menjadi kesaksian kemerdekaan. Sastera sentiasa akan ada, makanya rasa bermaruah menjadi sangat bernilai. Kita merdeka, tidak lagi kekal sebagai hamba kolonial.”

Categories
AGENDA GLOBAL

Budak empat tahun ikat perjanjian terbit buku puisi

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menjadi penulis paling muda mengikat perjanjian dengan syarikat penerbitan untuk membukukan koleksi puisinya.

Nadim Shamma-Sourgen disifatkan Eksekutif Walker Books Walker Denise Johnstone-Burt sebagai “menakjubkan kerana pada usia semuda itu mampu menulis ayat dalam isu sensitif”, lapor The Guardian.

“Puisi itu membicarakan perasaan penting seperti kasih sayang dan kesunyian, dan Nadim menemui ungkapan yang sempurna,” katanya lagi.

Syarikat penerbitan buku kanak-kanak berpangkalan di Britain dijadual menerbitkan koleksi itu pada musim panas seterusnya (tahun depan).

Bakat Nadim dikesan penerima anugerah Orwell tahun ini, Kate Clanchy yang menggelarkannya “Penyair Berusia Empat Tahun”. Beliau turut memuat naik petikan sajak kanak-kanak itu ke akaun media sosialnya.

Mengikut Guinness World Records, penulis paling muda menerbitkan karya secara komersial ialah Dorothy Straight menerusi buku How the World Began pada 1964 pada usia enam tahun.

Rekod penulis lelaki termuda pula dipegang kanak-kanak Sri Lanka apabila bukunya Junk Food diterbitkan pada 5 Januari 2017 ketika Lankan Thanuwana Serasinghe berusia empat tahun dan 356 hari.

Berikut antara petikan sajak Nadim berjudul “Baddies”.

Baddies love their baddie friends
Even very baddie ones
Policemen might arrest them
But they’ll still have their love

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyair anjur ‘Baca Puisi Dunia: COVID-19’ Ahad ini

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Hampir 200 penyair dari 14 negara termasuk Malaysia akan menyertai acara ‘Baca Puisi Dunia: COVID-19’ yang disiarkan di  Facebook pada 8.30 malam (waktu di negara peserta) Ahad ini.

Negara yang sudah mengesahkan penyertaan setakat ini adalah Indonesia, Brunei Darussalam, Thailand, Singapura, Kemboja, Timor Leste, India, Pakistan, Iran, Belgium, Rusia, Korea Selatan dan Itali.

Acara bertemakan ‘Satu Dunia Satu Suara’ ini dianjurkan Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) dengan kerjasama Nuha Creative Resources (Malaysia), Gadis Buku (Malaysia), Salmah Creative (Indonesia) dan Ombak Scripthouse Production (Singapura).

Setiausaha Agung Penyair Tuan Asri Husin yang juga terkenal dengan nama pena, Wacana Minda, berkata acara ini diadakan bagi mengungkapkan penghargaan dan inspirasi kepada petugas barisan hadapan dan para pejuang yang bertungkus-lumus mengorbankan nyawa membasmi COVID-19.

“Kami juga ingin menyampaikan penghargaan penyair terhadap kemanusiaan sejagat dalam pelbagai genre karya seperti puisi, lagu puisi dan naskhah monolog.

“Kami berharap acara ini menggalakkan khalayak awam bersama-sama menjayakan kempen Duduk Di Rumah: Membaca dan Menulis yang dilancarkan sebelum ini oleh Penyair,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Tuan Asri berkata persembahan dalam bentuk bacaan puisi, lagu puisi atau monolog boleh diikuti melalui siaran langsung FB atau rakaman video dan dibuat hantaran di Facebook secara serentak pada tarikh dan waktu yang dinyatakan.

“Hantaran hendaklah dibuat dalam mod umum atau public. Penyertaan masih dibuka, tidak kira penyair lama, baharu atau sesiapa sahaja yang berminat. Setiap peserta akan menerima sijil penghargaan. Setakat ini kami terima banyak penyertaan daripada kalangan generasi muda terutama pelajar.

“Antara penyair tempatan yang menyertai acara ini ialah Presiden Penyair Datuk Dr. Rahman Shaari, A. Ghafar Ibrahim, Malim Ghozali PK, Dr. Ahmad Razali, Sri Diah dan Norazimah Abdu Bakar,” katanya.

Mereka yang berminat menyertai acara ini boleh menghubungi Penyair melalui www.wasap.my/60199960099/bacapuisiduniakoronavirus

Categories
SELANGOR SENI

Puisi dan kartun bergabung dalam satu pentas

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 APRIL: Buat julung kalinya Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama Kumpulan Kartunis Independent (KKI), Ziarah Karyawan dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) menggabungkan puisi dan kartun dalam Program Baca Puisi di Bumbung Shah Alam, malam tadi.

Seramai 12 karyawan bersama tiga pelukis terkenal berpuisi, bersajak disamping menghasilkan karya kartun bagi menggambarkan perasaan bersifat kerakyatan dan kemanusiaan terhadap pemimpin di negara ini.

Antara seniman jemputan yang memeriahkan program malam tadi adalah Dinsman, Yassin Salleh, Lily Jamaluddin, pelukis terkenal Zunar, Johnny Ong serta Airis Syaziya seorang pelukis kartun muda berusia 12 tahun.

Zunar berkata, ini adalah satu platform karyawan serta kartunis melahirkan serta menggambarkan keadaan yang kini berlaku di Malaysia terhadap pentadbiran Barisan Nasional (BN) melalui bacaan puisi serta lukisan.

“Kita mahu memakmurkan kebebasan bersuara rakyat yang sering kali sukar mendapat tempat dimana-mana kerana menyatakan yang benar tentang apa yang berlaku kini.

“Selain itu, program ini juga menjadi platform mengetengahkan bakat baru khususnya anak muda kerana kita mahu wajah baru dalam bidang ini menzahirkan idea serta semangat baru,” katanya ketika ditemui SelangorKini dalam Baca Puisi di Bumbung, di IDE Seksyen 15, Shah Alam, malam tadi.

Katanya, mereka menzahirkan perasaan dengan cara yang unik melalui deklamasi sajak, melukis kartun, lagu-lagu puisi serta persembahan monolog.

Tambahnya lagi, gabungan puisi dan kartun bakal diteruskan pada masa akan datang setelah melihat sambutan dan galakan daripada semua pihak.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Amiruddin deklamasi puisi ingatkan diri sendiri jangan persenda pengundi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 26 OKT: Ahli politik khasnya Wakil Rakyat yang dipilih dalam pilihan raya diingatkan agar tidak mempersendakan pengundi dengan menabur pelbagai janji manis yang tidak boleh ditepati.

Sikap hipokrit ahli politik yang gemar menabur janji manis seperti itu bakal menyebabkan rakyat kebanyakkan hilang kepercayaan terhadap ahli politik.

Ini mesej yang disampaikan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari dalam puis bertajuk ‘Dongeng Pilihan Raya’ karya T. Alias yang dibaca beliau dalam program ‘Himpunan Budayawan 1 Muharam’ di Kampung Banda Dalam malam tadi.

20141025_234921Kegilaan ahli politik yang mabuk menghitung nasib masing-masing dan mengejar jawatan tinggi turut disentuh dalam puisi ‘Kefetaria Sabtu Pagi’

Amiruddin sebelum mendeklamasikan dua puisi itu berkata, puisi itu sebagai ingatan kepada diri sendiri dan juga ahli-ahli politik lain.

Dongeng Pilihan Raya

Segala-galanya teratur dan sempurna
menjelang pilihan raya itu
Gambar tujuh calon merentangi
deretan pohon dan tembok
tak putus-putus berteriak
pada jalan kuning sempit:
‘berilah aku kesempatan itu
agar dapat kuredakan deritamu’
ikrar tujuh calon begitu jernih
menyusuri parit coklat
menyusuri jambatan tenat
dan berkahir di gelisah rakyat
segala-galanya baik dan manis
menjelang pilihan raya itu
tutur tujuh calon membara
menjalar liar bak api
membakar daerah pengundi
membakar darah pengundi

2
Aneh segala-galanya mendingin
pada pagi pilihan raya itu
khabarnya tiada seorang pun
daripada sejumlah 70,000 pengundi
keluar memilih wakil mereka

aneh pengundi tiba-tiba menyedari
pada pagi pilihan raya itu
mereka dipersendakan tutur calon
dan dipersonakan janji calon

T.Alias
1989

Categories
SELANGOR

Hari pertama 1436 Hijrah Kg Banda Dalam panas dengan puisi penentangan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 26 OKT: Hari pertama tahun baru 1436 Hijrah di Kampung Banda Dalam malam tadi dipanaskan dengan lebih 16 penyair mendeklamasikan puisi masing-masing.

Antara penyair terkenal yang memeriahkan Himpunan Budayawan 1 Muharam 1436 Hijrah malam tadi adalah, Noor Rahmat Shah, Yassin Salleh, Nik Jidan, HMS Abu Bakar, Zuhaili Zuhairi, Sharifah Aisiah Syed Mahazar, dan Mat Yassin Salleh.

_MG_3337

Sesi deklamasikan puisi malam tadi turut dihangatkan lagi apabila Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari turut membacakan dua puisi bertajuk ‘Dongeng Pilihan Raya’ dan ‘Kafetaria Sabtu Pagi’.

_MG_3530

Barisan puisi yang sarat dengan mesej kemanusiaan, berkisar isu kehidupan golongan marhaen dan kritikan tajam kepada golongan penguasa malam tadi bertambah panas dengan lolongan ‘Selamat Datang Nuklear’ oleh Noor Rahmat Shah.

Nik Jidan pula mempersembahkan puisi bertajuk Untuk Orang Islam, Dendang Orang Berani dan Bunyi Gitar.

_MG_3475

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Chan Yong Sin pula mengimbau kembali kehidupan beliau selama 10 tahun hidup dalam tahanan ISA termasuk peristiwa mogok lapar.

_MG_3571

Suasana program digamatkan lagi apabila wartawan akhbar Harakah, Arif Atan menyampaikan puisi ‘Najib Selfie, Kampung Dan Tercabut Gigi’ dan tidak ketinggalan Melati dengan puisi bertajuk ‘Tanah dan Air Mata’ karya Ketua Editor Selangor Kini, Fazalah Pit.

_MG_3484

Acara yang dianjurkan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dan penduduk Kampung Banda Dalam itu diakhiri dengan pidato Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

20141026_002856

Categories
SELANGOR

Puisi “If”- Rudyard Kipling gambarkan perjalanan karier politik Abdul Khalid

 

Oleh : AFEEQA AFEERA

“If you can keep your head when all about you   
    Are losing theirs and blaming it on you,   
If you can trust yourself when all men doubt you,
    But make allowance for their doubting too;   
If you can wait and not be tired by waiting,
    Or being lied about, don’t deal in lies,
Or being hated, don’t give way to hating,
    And yet don’t look too good, nor talk too wise:

If you can talk with crowds and keep your virtue,   
    Or walk with Kings—nor lose the common touch,
If neither foes nor loving friends can hurt you,
    If all men count with you, but none too much;
If you can fill the unforgiving minute
    With sixty seconds’ worth of distance run,   
Yours is the Earth and everything that’s in it,   
    And—which is more—you’ll be a Man, my son!”

SHAH ALAM, 25 OGOS: Demikian antara bait-bait puisi “If” karya penyair terkemuka dari British, Rudyard Kipling pada tahun 1895 sebagai satu bentuk nasihat seorang bapa kepada anaknya.

Puisi yang mempunyai maksud mendalam tentang norma kehidupan ini dibacakan dengan penuh penghayatan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah menggambarkan situasi yang dialaminya kini sebagai seorang ahli politik.

Pemimpin tertinggi negeri itu bagaikan mahu memberitahu hadirin secara tersirat tentang kemelut melanda karier serta peribadinya, namun beliau masih mampu tenang meskipun isu kerusi panas Menteri Besar Selangor kian memuncak.

Perhimpunan bulanan Kerajaan ogos 2014 MB (9) (1)Di hadapan kira-kira 1,000 hadirin pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri, Abdul Khalid dengan tenang menyatakan puisi itu menggambarkan satu keadaan apabila perjuangan adalah demi prinsip dan penting bagi suatu kepimpinan.

“Sajak itu menyatakan satu keadaan yang mana perjuangan untuk prinsip adalah penting bagi suatu kepimpinan, oleh itu saya berharap kita dapat berkongsi pengalaman dan terus usaha mempertingkatkan negeri yang kita cintai,” katanya di Dewan Jubli Perak hari ini.

Suasana hening diselangi gelak tawa turut kedengaran ketika puisi itu didendangkan Abdul Khalid  seakan-akan hadirin memahami maksud yang cuba disampaikan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka senada dan sependapat dengan bekas tokoh korporat itu.

Satu demi satu bait puisi dibaca sambil maksudnya diterangkan kepada hadirin antaranya “jika kita boleh masih lagi tegas dan berdiri tegak ketika yang lain-lain sudah menyalahkan kita, sabar ketika dimarahi dan tetap tersenyum walaupun tidak lagi disukai, maka kita adalah manusia sejati.”

ifPuisi itu juga memberi gambaran bahawa Abdul Khalid adalah seorang yang pemaaf dan tidak pernah menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak yang pernah ‘menyakitinya’.

Abdul Khalid yang kini menjadi satu-satunya Adun Bebas didakwa hilang sokongan majoriti daripada Adun Pakatan Rakyat (PR) Selangor yang mahu dirinya berundur dan memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar baru.

Meskipun ditekan ramai pihak, namun Abdul Khalid masih setia berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan dibantu empat orang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari PAS.

EZY