Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada latihan dan kelas di Pulapol, kem tentera sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Pusat latihan polis atau kem tentera di seluruh negara tidak dibenarkan membuat sebarang aktiviti, latihan atau kelas yang baharu dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana ia melibatkan kumpulan yang ramai dan besar malah berisiko tinggi dijangkiti wabak Covid-19.

“Latihan di pihak polis dan tentera juga tidak dibenarkan kecuali kepada mereka yang sedang menjalani latihan (sebelum tempoh Sekatan Pergerakan Penuh), kita tidak akan menghentikan latihan mereka.

“Oleh itu, untuk sebarang kelas atau latihan yang baharu (kelas atau latihan yang akan datang) yang dilaksanakan dalam tempoh ini juga tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas melawat sekatan jalan raya di Jalan Ampang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelaksanaan kelas serta latihan oleh pusat latihan polis dan kem tentera.

Ditanya mengenai bilangan keanggotaan pasukan petugas pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), Ismail Sabri berkata ia akan ditambah bagi memastikan tiada premis perniagaan dan perkilangan yang beroperasi secara haram dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

“Setakat ini, seramai 13,500 pasukan petugas SOP sedia ada telah diatur gerak di seluruh negara dan kita akan tambah lagi bilangan keanggotaannya.

“Insya-Allah, pihak Angkatan Tentera Malaysia juga bersetuju untuk menambahkan bilangan keanggotaan… kita akan buat lawatan mengejut ke kilang-kilang tertentu untuk memantau (dan) yang tidak dibenarkan beroperasi, kita akan arahkan ditutup,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelatih selesai kuarantin dibenar mula latihan, Pulapol kembali operasi

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Pelatih polis yang sembuh Covid-19 dan selesai menjalani kuarantin dibenar memulakan latihan seperti biasa di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara mulai Isnin, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din.

Beliau berkata beberapa Pulapol juga kembali beroperasi seperti biasa selepas 99 pelatih kadet inspektor yang dijangkiti wabak dan dikuarantin di Pulapol Kuala Lumpur, telah sembuh.

“Baki 17 pelatih kadet Inspektor masih menjalani perintah kuarantin serta menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan.

“Sebelum ini, seramai 116 pelatih didapati positif Covid-19 dan jumlah itu semakin berkurangan selepas ramai yang sembuh namun kami masih memantau keadaan mereka buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hingga 4 Mac, masih terdapat tiga pelatih kadet inspektor yang positif Covid-19 dan menjalani rawatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Mengulas lanjut, Ramli berkata aktiviti latihan di Pulapol di seluruh negara yang sebelum ini dihentikan susulan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pelatih, kini kembali beroperasi dengan 406 pelatih kadet inspektor mula menjalani latihan dan kelas pada 22 Feb.

Sebelum ini, Bernama melaporkan segala aktiviti latihan di Pulapol di seluruh negara dihentikan buat sementara waktu berikutan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pelatih polis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti latihan di Pulapol dihenti sementara – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Segala aktiviti latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara dihentikan buat sementara waktu berikutan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pelatih polis, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din.

Beliau berkata pada masa ini seramai 41 pelatih masih positif Covid-19 dan menjalani perintah kuarantin di Pulapol Kuala Lumpur.

“Sebelum ini, seramai 78 pelatih polis positif Covid-19 dan jumlah itu semakin berkurangan apabila ramai yang sembuh.

“Oleh itu, kami menunggu keadaan benar-benar pulih barulah Pulapol dibenarkan untuk meneruskan latihan kembali,” katanya kepada pemberita selepas melawat gerai-gerai Jualan Mega Frontliner bersama PDRM di Keramat Wangsa, di sini.

Negeri-negeri yang mempunyai pusat latihan polis ialah Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata PDRM pada masa sama bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan membuat sanitasi awam di Pulapol Kuala Lumpur dan Pulapol Segamat, Johor.

“Sanitasi awam di Pulapol negeri-negeri lain juga ada kami buat tetapi jumlah jangkitan Covid-19 adalah begitu kecil,” katanya.

Mengulas mengenai pengambilan rekrut baharu untuk jawatan pegawai dan anggota polis ketika tempoh Covid-19, Ramli berkata pengambilan jawatan diteruskan seperti biasa namun ia dihadkan.

“Hari ini, kami masih ada buat ujian fizikal rekrut baharu untuk mengisi kekosongan jawatan PDRM sedia ada tetapi hanya 3,800 sahaja diambil daripada 7,200 jawatan yang dibuka.

“Ia tidak boleh direkrut sepenuhnya (7,200) kerana dalam tempoh Covid-19 kelengkapan pelindungan diri tidak mencukupi untuk Pulapol melaksanakannya,” katanya.

Ramli berkata walaupun pengambilan rekrut diteruskan, PDRM mempunyai tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat di setiap Pulapol seluruh negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mazlan Mansor bersara selepas bersama 41 tahun bersama PDRM

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah menabur bakti selama 41 tahun dalam pasukan itu susulan persaraan wajibnya secara rasmi esok.

Majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, petang tadi, yang dihadiri oleh lebih 300 pegawai kanan dan isteri masing-masing, adalah merupakan simbolik sebagai penghormatan terakhir buat beliau yang hadir ditemani isterinya, Datin Farihah Mohd Zamri dan anak perempuan, Batrisyia Zahwaa.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Majlis bermula jam 5 petang itu diserikan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM dengan Mazlan diberi penghormatan memimpin persembahan itu.

Sebelum majlis berakhir, Mazlan bersama isteri dan anak telah diarak menggunakan kenderaan rasmi pasukan sebelum menandatangani buku pelawat di bilik pengawal PULAPOL.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 9 Mei tahun lalu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara pada 17 Mac tahun lalu.

Sebelum dilantik ke jawatan nombor dua dalam PDRM, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejak 29 Januari 2019.

Mengimbas kembali kerjayanya dalam pasukan polis, Mazlan yang lahir pada 14 Ogos, 1960, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menyertai pasukan polis pada 4 Nov 1979 selepas mengikuti latihan Inspektor di PULAPOL di sini.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom dan turut memiliki Sijil Amalan Guaman, beliau memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Kubu Bahru; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Perak; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor; Ketua Polis Melaka; Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Ketua Polis Selangor.

Hari ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.

-BERNAMA