Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide: Kompleks anak yatim di Pulau Indah siap 2025

SHAH ALAM, 10 FEB: Pembangunan kompleks anak yatim di Pulau Indah, Pelabuhan Klang di atas tapak seluas 3.47 ekar, akan bermula pada Julai ini dengan kos sekitar RM12 juta.

Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkata projek pembinaan di atas tanah milik Central Spectrum (M) Sdn Bhd itu, mampu menempatkan 200 anak yatim dari seluruh Selangor apabila siap sepenuhnya pada Julai 2025.

Pengurus besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah menjelaskan ketika ini pihaknya sedang menunggu kelulusan pembangunan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

“Kompleks ini bakal memiliki pelbagai kemudahan seperti asrama, fasiliti tambahan, pusat sukan dan riadah, kawasan lapang, dewan serbaguna, surau serta pusat komersial.

“Kami berharap pembangunan projek ini berjalan mengikut jadual. Pada masa sama, kita akan kenal pasti anak yatim yang layak dan berpotensi untuk diserap ke kompleks ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan pembangunan kompleks itu daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)  atau MBI di ibu pejabat Yide di Seksyen 7, hari ini.

Turut hadir, ketua kluster penciptaan nilai MBI ,Daud Abd Rahman dan ketua tanggungjawab sosial korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.

Sementara itu, Nur Mohd Razali berkata setakat ini, pihaknya berjaya mengumpul dana RM7.5 juta hasil sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan orang ramai bagi membangunkan kompleks terbabit.

“Kita mengajak semua pihak untuk sama-sama menyumbang demi masa depan anak yatim dan setiap sumbangan akan mendapat pelepasan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Petronas Gas peruntuk belanja modal sehingga RM1.3 bilion

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Petronas Gas Bhd (PGB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) antara RM1.2 bilion dan RM1.3 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021 daripada RM1.1 bilion yang dibelanjakan pada tahun kewangan sebelumnya.

Ketua Pegawai Kewangan Shariza Sharis M. Yusof berkata paras capex yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2021 sejajar dengan semua aktiviti yang dirancang pada tahun semasa yang termasuklah saluran paip gas lateral sepanjang 42 kilometer (km), yang akan membekalkan gas ke Loji Tenaga Pulau Indah yang dicadangkan di Selangor.

“Pada tahun lepas, beberapa aktiviti terjejas berikutan sekatan pergerakan susulan pandemik Covid-19. Pada tahun ini, kami menjangka akan terdapat sedikit peningkatan (dalam capex) berikutan kami mempunyai projek pertumbuhan baharu termasuk saluran paip gas lateral sepanjang 42 km,” katanya pada sidang media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan PGB semalam.

Shariza Sharis berkata peralihan tenaga tidak akan menjejaskan PGB berikutan lebih 90 peratus daripada pendapatannya telah ditetapkan di bawah perjanjian kontrak jangka panjangnya.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Abdul Aziz Othman berkata pembangunan projek saluran paip gas untuk membekalkan gas ke loji Pulau Indah yang dicadangkan itu sedang dilaksanakan seperti yang dijadualkan, termasuk pengambilalihan tanah dan kerja-kerja kejuruteraan. Saluran paip akan mula beroperasi pada awal 2023.

“Kami telah memberikan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) kepada kontraktor pada Mac tahun ini,” katanya.

PGB telah mengenal pasti beberapa projek yang kini dalam peringkat perancangan dengan bidang tumpuannya, termasuk penyelesaian utiliti bersepadu, di beberapa zon perindustrian yang sedang dibangunkan di Koridor Ekonomi Selatan dan Koridor Ekonomi Utara, kata Abdul Aziz.

“Bidang tumpuan lain ialah merancang untuk meningkatkan kapasiti untuk penjanaan tenaga kami yang sedia ada. Itu adalah projek yang sedang kami kaji dan masih di peringkat penilaian,” katanya.

Mengenai prospeknya, Abdul Aziz berkata PGB kekal optimis dengan jangkaan pemulihan ekonomi yang disokong oleh pelaksanaan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan dan unjuran Bank Negara Malaysia mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Permintaan terhadap gas dan utiliti akan meningkat sejajar dengan jangkaan pemulihan ekonomi,” katanya.

Walaupun PGB terus menyokong liberalisasi industri gas melalui akses pihak ketiga, kumpulan itu turut berusaha untuk berkembang seiring dengan kadar pertumbuhan perniagaan dengan pelbagai peluang dinilai, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tongkang hanyut langgar jeti Marina Pulau Indah

SHAH ALAM, 31 MAC: Sebuah tongkang yang hanyut telah melanggar jeti di Marina Pulau Indah dan menyebabkan kerosakan struktur pada jeti berkenaan pada jam 3 petang semalam, kata Jabatan Laut Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan bahawa Jabatan Laut Wilayah Tengah telah menerima makluman berkaitan Tongkang Inai Tanjung 39 yang hanyut dan menuju ke Marina Pulau Indah.

“Insiden tersebut telah menyebabkan kerosakan yang serius kepada struktur Pier Ahmad, di mana tiang cerucuk telah condong dan pontoon yang menghubungkan antara jalan darat di Marina dan Pier Ahmad juga telah pecah.

“Namun begitu, tiada kemalangan jiwa dan tiada tumpahan minyak berlaku. Punca kejadian masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan susulan kejadian tersebut, tongkang itu terkandas di tempat kejadian dan telah ditunda oleh bot tunda pada kira-kira jam 4 petang hari yang sama ke Inai Kiara Shipyard.

Menurut itu menyatakan, satu pasukan penyiasat telah ditubuhkan oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah dan bersama-sama pihak terlibat sedang mengenal pasti punca kejadian itu berlaku.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Elak tapak lupus sampah terbakar, penduduk digesa awasi lori mencurigakan

SHAH ALAM, 3 MAC: Orang awam khususnya penduduk sekitar Kampung Tradisi Pulau Indah, Pelabuhan Klang diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika menyedari kehadiran lori mencurigakan di kawasan itu.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata kenderaan terbabit berkemungkinan membawa muatan sampah untuk dibuang di tapak pelupusan haram yang menjadi punca kebakaran kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Mereka boleh menyalurkan maklumat kepada polis, bomba, pihak berkuasa tempatan atau pejabat tanah dan daerah termasuk saya sendiri supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dihentikan.

“Saya kesal kerana tanah milik kerajaan diceroboh sebegitu rupa sehingga merosakkan alam sekitar selain mengganggu ketenteraman penduduk,” kata Azmizam Zaman Huri kepada SelangorKini.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pihak tertentu supaya menghentikan kegiatan tidak bertanggungjawab itu sebelum tindakan lebih tegas diambil.

Jumaat lalu, sebuah tapak pelupusan sampah haram dipercayai tanah jenis gambut di kampung berkenaan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam.

Kejadian di tapak berkeluasan lebih empat ekar disyaki berpunca daripada aktiviti pembakaran sisa plastik haram.

Categories
AGENDA NASIONAL

Petronas gas bina saluran paip lebih RM500 juta di Pulau Indah

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Petronas Gas Bhd (PGB) meluluskan keputusan pelaburan akhir bagi pembinaan saluran paip gas lateral baharu bernilai RM541.07 juta.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat infrastruktur gas dan utiliti itu berkata saluran paip tersebut adalah sepanjang kira-kira 42 kilometer dan akan menggunakan gas yang disalur daripada rangkaian saluran paip Peninsular Gas Utilisation (PGU) II sedia ada.

Ia berkata gas asli tersebut akan disalurkan ke loji jana kuasa turbin gas kitaran 1,200 megawatt di Pulau Indah, Selangor, yang memerlukan bekalan kira-kira 137 juta kaki padu standard, serta kepada industri yang berkaitan di sepanjang saluran paip itu.

“Projek ini dijangka selesai dan mula beroperasi pada suku pertama 2023,” kata PGB.

Syarikat itu berkata projek tersebut dikendalikan oleh perniagaan pengangkutan gas dan pengegasan semula sebagai sebahagian daripada pengembangan lateral PGU, yang dikawal selia di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

“IBR akan menentukan kos pemulihan projek menerusi tarif penghantaran saluran paip,” kata PGB, dan menambah ia akan menggunakan kemudahan pembiayaan Islam daripada RHB Islamic Bank Bhd bagi membiayai kos projek tersebut.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

“Cuma fikir mati” luah anggota bomba

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 12 JUL: Anggota Bomba yang tercedera berkongsi detik cemasnya ketika bertugas memadamkan kebakaran membabitkan tiga kilang di Pulau Indah, pada 5 Julai lalu.

Muhammad Ridzuan Kamaruzaman, 28, berkata, beliau bukan sahaja terjatuh dan topi keledar tercabut malah, percikan api dari tiga letupan di kilang itu menyebabkan belakang telinganya cedera.

“Saya bersama tiga rakannya ditugaskan di zon merah iaitu barisan paling hadapan untuk masuk ke premis bagi memadamkan kebakaran dengan menggunakan hos air.

“(Ketika itu) cuma fikir mati. Tiada fikir lain. Saya terbayangkan wajah isteri dan anak saya yang baru berusia enam bulan,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba Pelabuhan Klang, semalam.

Beliau yang merupakan anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menyifatkan kejadian itu adalah pengalaman kedua terburuk sepanjang bertugas sehingga meninggalkan kesan dalam hidupnya.

“Apabila letupan pertama terjadi, kami masih berada di dalam kilang. Ketika itu puluhan tong racun serangga sudah mula jatuh ke bawah. Apabila letupan kedua berlaku, saya jatuh dan masa itu saya sudah rasa pedih dibahagian telinga.

“Selepas itu, saya merangkak mencari tempat berlindung disebalik tembok dinding kilang bersama tiga lagi anggota, disebabkan itu saya hampir muntah dan pitam.

“Alhamdulillah, saya dipapah keluar oleh komander operasi untuk mendapatkan bantuan di van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba (EMRS),” katanya.

Ridzuan juga masih belum memberitahu keluarganya di kampung halaman tentang kejadian itu kerana enggan mereka risau serta menganggap ia menjadi sebahagian daripada anggota bomba.

Sementara itu, Mohd Shahrul Azuan Salleh, 33, berkata, beliau ditugaskan untuk berada dihadapan dan menjadi ‘nozzleman’ untuk memadam kebakaran itu.

Bagaimanapun, letupan berlaku sebelum beliau sempat menukar nozzle lain kerana mendapati ia longgar dan tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Saya merangkak keluar ke hadapan kilang. Alhamdulillah selamat cuma telinga saya rasa berdegung mungkin letupan ketiga itu terlalu kuat. Selepas letupan itulah, kami baru sedar yang kilang bersebelahan itu menyimpan gas ammnonia yang banyak,” katanya.

Kedua-dua anggota bomba itu antara tujuh anggota bomba yang cedera ketika memadamkan kebakaran di tiga kilang, termasuk sebuah kilang racun rumpai, di Pulau Indah.

Dalam insiden sama, seorang lagi anggota terjatuh ketika mengalihkan hos iaitu Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Mohd Faizzuan Ayob yang mengalami kecederaan di kaki.

Lima lagi anggota lain, Mohammad Hazreen Mazlan; Mohammed Wahyuddin Mohd Saibani; Mohammad Izwan Salleh; Ahmad Ridzwan Awang dan Mohd Shahrul Azuan Salleh.

Sebuah kilang terbakar 100 peratus manakala dua buah lagi masing-masing terbakar kira-kira 50 peratus.

 

 

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

F&N labur RM15 juta dalam kilang tenusu di Pulau Indah

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) akan melabur RM15 juta untuk meningkatkan kapasiti kilang pengeluaran tenusunya di Pulau Indah pada tahun kewangan 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Lim Yew Hoe berkata langkah itu untuk memenuhi permintaan daripada pasaran tempatan dan eksport yang dijangka mengatasi sasaran jualan eksport kumpulan itu sebanyak RM800 juta menjelang 2020.

“Pada masa ini, kilang pengeluaran di Pulau Indah beroperasi pada kapasiti penuh, mengeluarkan kira-kira 16 juta produk susu dalam tin, setahun,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan kumpulan itu bagi tahun kewangan 2018 berakhir 30 Sept, 2018, di sini hari ini.

Keuntungan bersih F&N bagi tahun kewangan 2018 naik kepada RM385.13 juta berbanding RM323.37 juta pada tahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM4.11 bilion berbanding RM4.10 bilion sebelum ini disebabkan jualan eksport yang lebih tinggi dan promosi perayaan yang berkesan.

Lim berkata keputusan yang menggalakkan itu menunjukkan komitmen kumpulan untuk memenuhi keperluan pelanggan dan pengguna, selain terus berada di hadapan dalam trend industri yang sentiasa berubah.

“Walaupun keadaan pasaran mencabar, kami terus menumpukan kepada pembangunan kapasiti dan keupayaan, mengoptimumkan kos dan mengekstrak sinergi, memanfaatkan inovasi yang menumpukan kepada pengguna untuk memberikan penawaran produk baharu dan unik, selain memperluaskan capaian perniagaan eksport kami,” katanya.

Beliau berkata perbelanjaan modal kumpulan itu telah dilaburkan sejak tiga tahun lepas yang membantu memudahkan keupayaan pengeluaran sumber dalaman untuk mengurangkan lagi kos operasi dan kos barangan yang dijual.

Lim berkata kumpulan itu juga akan mengubah format pembungkusannya untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna.

“Misalnya, 100PLUS ACTIVE dalam paket serbuk dilancarkan pada tahun kewangan 2018 untuk pelancong dan mereka yang sentiasa bergerak, manakala susu pekat manis dan susu sejat juga boleh didapati dalam pembungkusan yang fleksibel.

“Semasa kami memenuhi permintaan pengguna, kumpulan akan terus meminimumkan kesan selepas penggunaan melalui penyelidikan dan pembangunan iaitu pembungkusan yang mesra alam sekitar dan meninjau lebih banyak inisiatif untuk meningkatkan kitar semula pembungkusan yang digunakan dalam produk kami,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI SELANGOR

Sambut baik perisytiharan Zon Perdagangan Bebas dan Bandar Aero Angkasa

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Kerajaan Negeri menyambut baik pengumuman dalam Belanjawan 2019 Kerajaan Persekutan untuk menjadikan Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan belanjawan Jumaat lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan pengumuman itu merupakan satu suntikan yang sangat bermakna kepada Selangor.

“Saya menyambut baik inisiatif diumumkan antaranya pusat perdagangan bebas di Pulau Indah dan kita sememangnya mempunyai kawasan perdagangan atau perindustrian di Pulau Indah di bawah kawasan Central Spectrum, Ikea dan beberapa kawasan kilang di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perasmian Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini, malam tadi.

Selain itu, Amirudin turut menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Subang sebagai Bandar Aero Angkasa.

Katanya, selain memang wujud pusat perkembangan Aero Angkasa, di Subang juga mempunyai beberapa aset yang mampu merancakkan lagi usaha itu seperti Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

“Maka, dengan perisytiharan tersebut dan usaha membina bandar Aero Angkasa itu saya kira akan menyuntik lagi bagi memperkenalkan Selangor sebagai hub industri Aero Angkasa di negara kita,” katanya,

Ketika menyentuh inisiatif sebanyak RM50 dan RM100 bagi penggunaan kenderaan awam, Amirudin berkata beliau akan mengambil langkah yang selaras dalam Belanjawan Negeri Selangor 2019 yang akan dibentangkan nanti.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Selangor tuntut penjelasan, polis batal kejohanan basikal Pulau Indah 180

OLEH ERMIZI MUHAMAD

FOTO: AHMAD AL-HAFIZ OTHMAN

PULAU INDAH, 14 JAN : Kerajaan Selangor menuntut pihak berwajib memberi penjelasan berhubung tindakan pembatalan penganjuran Kejohanan Berbasikal Pulau Indah 180 Malaysia 2018, pagi ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘pelik’ dan menimbulkan persoalan besar terhadap kredibiliti pihak tertentu.

“Walaupun penganjur sudah mendapat kebenaran Pesuruhjaya Sukan, pada masa sama pihak polis juga turun padang meninjau penganjuran program, pastinya tindakan pembatalan ini sangat mengecewakan.

“Sedangkan penganjuran kali ini mendapat penyertaan dari dalam dan luar negara. Cuma saya berharap langkah ini tidak dipengaruhi faktor-faktor pelik atau sabotaj.

“Justeru untuk tempoh ini, kita akan mendapatkan penjelasan supaya perkara ini tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) selaku penganjur kejohanan berkenaan.

Sebelumnya, penganjur dimaklumkan pembatalan akhir kejohanan oleh pihak polis pada tengah malam 13 Januari (semalam).

Ketua Pegawai Esekutif CSSB, Dato’ Mahmud Abbas berkata, lebih mengecewakan pihak penganjur tidak dimaklumkan sebarang alasan munasabah terhadap pembatalan itu.

“Penganjur sudah mematuhi prosedur penganjuran perlumbaan meliputi aspek keselamatan dan fasiliti perlumbaan kerana apa yang menjadi keutamaan kami adalah isu keselamatan itu sendiri.

“Namun kami cukup kesal kerana tidak diberikan sebarang alasan sedangkan ini bukan pertama kalinya kejohanan sama dianjurkan di peringkat negeri.

“Ia sudah memasuki tahun ketiga dan mendapat penyertaan 1,000 pelumba dari dalam dan luar negara,” katanya.

Berikutan arahan pembatalan berkenaan katanya lagi, pihak penganjur hanya menjadikan kejohanan berkenaan sebagai ‘program fun ride’ dan tidak bersifat pertandingan perlumbaan.

“Namun pihak penganjur bertanggungjawab untuk memulangkan yuran pendaftaran perlumba, termasuklah menjadikan wang tunai kemenangan RM40,000 sebagai sumbangkan kepada Persatuan Berbasikal,” katanya.

Untuk rekod, pelumba akan melalui trek laluan sepanjang 180KM mengelilingi Pulau Indah dan Perlabuhan Klang.

Bagaimanapun, jarak laluan diubah kepada 80KM sahaja selepas format kejohanan diubah kepada program santai ‘fun ride’.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelaburan RM2 bilion dari Eropah pilih Pulau Indah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai delegasi ke Eropah minggu hadapan bagi memeterai perjanjian persefahaman berkenaan pelaburan, pada 24 Ogos ini.

Mohamed Azmin berkata, perjanjian pelaburan bernilai lebih RM2 bilion itu memilih Pulau Indah, Klang sebagai destinasi pelaburan baru.

“Saya mengalu-alukan pelbagai jenis pelaburan yang datang ke negeri ini, kita didatangi Duta-duta besar dari negara ‘superpower’ yang berminat melabur di Selangor.

Azmin Kongres“Baru-baru ini, Duta-duta besar ini hadir ke pejabat saya membincangkan banyak perkara khususnya mengenai pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Tabung Inisiatif Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, selain Eropah, Kerajaan Negeri juga akan memeterai perjanjian pelaburan bersama negara Jepun tidak lama lagi nilai pelaburan RM1.2 bilion di Kuala Langat.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, langkah itu membolehkan golongan belia diberi peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran khususnya teknologi dan kejuruteraan.

“Kerajaan Negeri sedang berganjak untuk menyediakan pelbagai jenis bidang pekerjaan kepada anak muda.

“Kita tidak mahu lambakan pekerja asing di negeri ini. Kita mahu industri berteknologi tinggi memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda,” katanya.

Dijangkakan, pelaburan besar itu membabitkan industri Bioteknologi yang giat dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi Selangor Bio Bay (SBB) ketika ini.

Selain SBB, Pulau Indah turut membangun dalam industri halal antarabangsa.

Awal Ogos ini, pejabat Dato’ Menteri Besar turut menerima kunjungan Duta Sweden ke Malaysia, H.E. Dag Juhlin Dannfelt dan Duta Switzerland ke Malaysia, H.E. Michael Winzap serta Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, H.E. Kamala Shirin Lakhdir.

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

MB sertai kayuhan santai promosi Pulau Indah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyertai kayuhan santai bersama 30 penunggang basikal anjuran Central Spectrum bagi mempromosikan Pulau Indah.

Azmin Basikal (4)Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Mahmud Abbas berkata, program kayuhan yang diadakan pada 13 Januari itu adalah persiapan Dato’ Menteri Besar membina stamina, di samping melawat kawasan Pulau Indah bagi program Pulau Indah 180 Malaysia 2017 yang akan diadakan esok.

“Ia adalah salah satu aktiviti riadah bersama 30 penunggang basikal dari Central Spectrum dan Menteri Besar Incorporated (MBI), di samping mempromosi Pulau Indah 180 selain sebagai aktiviti ‘warm up’ kerana beliau akan turut serta dalam perlumbaan esok yang akan bermula seawal jam 7.30 pagi.

“Dato’ Menteri Besar juga berasa teruja untuk menyertai kayuhan esok dan berharap stamina juga ‘fitness’ beliau dalam keadaan bersedia,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Difahamkan, 1500 pelumba basikal dari 36 negara akan menyertai kayuhan di Pulau Indah 180 Malaysia 2017 esok dengan jarak sejauh 180 kilometer.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pulau Indah bakal miliki mini muzium

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 1 SEPT: Pulau Indah bakal memiliki galeri warisan (mini muzium) sendiri menempatkan pelbagai koleksi sejarah sebagai tarikan terbaru di kawasan itu.

Pegawai Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, galeri terbabit menggunakan bangunan balai raya terawal dibina sejak 1974 di situ sebagai tapak.

Katanya, seni bina asalnya masih dikekalkan, namun ruang dalaman diubah suai dan ditambah baik bagi mewujudkan suasana galeri sejarah.

“Selepas melalui beberapa siri perbincangan, impian saya juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perigi Nanas, Pulau Indah untuk menyiapkan Galeri Warisan Pulau Indah (Muzium Mini) tercapai.

“Di sini akan ditempatkan bahan sejarah Pulau Indah yang asalnya dipanggil Pulau Lumut untuk tatapan generasi akan datang.

PULAU INDAH 1“Tahniah kepada JKKK dipengerusikan Tok Zulkifli Abdul Wahab bersama ahli jawatankuasanya yang bertungkus lumus menyiapkan galeri ini,” tulisnya di Facebook.

Pada masa sama, Azmizam mengalu-alukan orang ramai terutama penduduk Pulau Indah untuk menyumbang bahan sejarah berkenaan kawasan itu bagi menambah koleksi sedia ada.

Beliau berkata, galeri itu akan terus diperbaiki dari masa ke masa bagi memastikan tradisi Pulau Indah kekal terpelihara.

“Jika sudah siap sepenuhnya, galeri ini akan dibuka kepada orang ramai yang ingin datang melawat,” katanya.

-AA-