Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM1 juta naik taraf rumah, kemudahan kampung Orang Asli

PELABUHAN KLANG, 5 MAC : Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM1 juta untuk membina dan menaik taraf kediaman serta kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai perkara tersebut sama ada perlu dibaiki atau dibina baharu.

“Kita sedakan dana bagi tujuan keselesaan masyarakat Orang Asli. Justeru kita akan dapatkan maklum balas Jakoa mengenai rumah yang perlu dibaiki atau dibina baru.

“Bukan sahaja rumah, kita juga akan melihat kemudahan seperti jeti yang perlu dibaik pulih, kita akan kumpul maklumat terlebih dahulu sebelum perhalusi kos perbelanjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan dan agihan bakul makanan di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini.

Mengulas jangkaan projek itu bermula, Loy Sian berkata pihaknya akan berusaha secepat mungkin selepas maklumat lengkap diperoleh.

Pada 26 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar menerusi Belanjawan #Selangor 2022 mengumumkan peruntukan tersebut untuk meningkatkan keselesaaan masyarakat Orang Asli.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Seorang lelaki hilang, bot ditemukan tengah laut tanpa penumpang

SHAH ALAM, 11 OKT: Seorang lelaki tempatan dikhuatiri telah jatuh ke dalam laut semasa dalam perjalanan balik ke Pulau Carey selepas menghantar pelanggan untuk memancing di Pulau Ketam semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata bot mangsa telah ditemukan berpusing-pusing di tengah laut tanpa penumpang.

Beliau berkata Hasmudin Anak Omar, 24, dikhuatiri terjatuh ke dalam laut kira-kira 0.1 batu nautika selatan Selat Mahang, Pulau Che Mat Zin.

“Mangsa dikatakan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna putih dengan berseluar pendek warna kuning sebelum dilaporkan hilang di laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata sektor pencarian operasi mencari dan menyelamat hari ini merangkumi keluasan 114.58 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pintu Gedung sehingga Perairan Pulau Carey.

Beliau berkata operasi tersebut dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru yang disambung pada jam 7 pagi tadi dengan mengatur gerak bot Maritim Pengawal 25 dan aset udara Maritim dan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Marin,Tentera Laut Diraja Malaysia serta Angkatan Pertahanan Malaysia.

Katanya Pangkalan Hadapan Carilamat juga telah ditubuhkan di jeti Pasukan Polis Marin, Selangor dan orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pulau Ketam pilihan penyeludup, pendatang asing ceroboh negara

PELABUHAN KLANG, 27 APRIL: Pulau Ketam merupakan satu daripada pintu masuk pilihan penyeludup dan pendatang tanpa izin menceroboh negara ini berikutan lokasinya berhampiran negara jiran, kata polis.

Penolong Pengarah Pengoperasian Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Supt Ahmad Radzi Hussain berkata jarak di antara Pulau Ketam dan Tanjung Balai, Indonesia terlalu dekat iaitu kira-kira 20 hingga 30 batu nautika.

Ia mengambil masa perjalanan kurang daripada sejam menggunakan bot.

“Kedudukan pulau itu yang terletak berhampiran Rumah Api, One Phantom Bank juga memainkan faktor pulau itu menjadi pilihan.

“Oleh itu, Pulau Ketam ini menjadi perhatian penyeludup barangan kontraban seperti rokok dan arak selain menjadi transit bagi tekong darat untuk membawa masuk pendatang tanpa izin,” katanya kepada pemberita selepas melakukan rondaan di pulau itu hari ini.

Sementara itu, Ahmad Radzi berkata sejumlah 242 pendatang tanpa izin ditahan oleh PGA dalam tempoh 1 Jan hingga 26 April dan pasukan itu juga merampas pelbagai barang seludup yang dianggar bernilai RM5.3 juta, antaranya rokok dan arak.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Pulau Ketam makin bersih – EXCO

PULAU KETAM, 25 OGOS: Pulau Ketam semakin bersih berbanding 10 tahun lalu yang dipenuhi sampah ekoran kegagalan pengurusan sisa pepejal selain budaya membuang sampah sesuka hati ke dalam laut.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, usaha meningkatkan kesedaran penduduk terhadap pentingnya pengurusan sampah dan kepentingan menjaga alam sekitar kini membuahkan hasil.

“Setiap kali melawat Pulau Ketam, saya sering menerima kejutan, jika 10 tahun lalu saya terkejut kerana kotor tetapi sekarang ia semakin bersih.

“Syabas kepada semua terutama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari serta semua penduduk kerana membantu usaha mengindahkan Pulau Ketam,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Program Larian Ketam 2019 di Pulau Ketam, hari ini.

Turut hadir Abdul Rashid yang juga EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan serta 500 peserta dari seluruh Selangor.

Bagi menjaga kebersihan Pulau Ketam, sejak Disember 2018 Kerajaan Negeri menggunakan kutipan sampah secara manual iaitu pekerja pembersihan akan mengutip sampah menaiki basikal dan membawanya ke pusat pengumpulan, di kawasan berhampiran.

Pengurusan sampah secara ‘door to door’ dan sebanyak dua kali sehari (pagi dan petang) itu juga diangggap menjimatkan.

Teknik berkenaan juga dianggap mudah dan efisien serta anggaran sampah dijana sejumlah 1 hingga 1.5 tan sehari.

Categories
SELANGOR

Penduduk gembira Pulau Ketam semakin cantik

OLEH SHEEDA FATHIL

PULAU KETAM, 5 DIS: Kebanyakan penduduk di Pulau Ketam berterima kasih kepada pihak berkenaan yang peduli terhadap kebersihan persekitaran kawasan terbabit.

Salah seorang penduduk, Ah Chui Lew, 64, berkata beliau akui Pulau Ketam kini semakin bersih berbanding sebelum ini dan jumlah pelancong yang hadir juga semakin ramai.

“Saya berterima kasih kepada pihak terbabit yang berusaha membangunkan pulau ini dan berharap supaya ia lebih dikenali pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Pemilik hotel di Pulau Ketam, Cah Rong Sen berkata, pelancong yang hadir ke Pulau Ketam semakin bertambah sejak persekitaran, di sini semakin bersih.

“Malah, promosi juga dilihat semakin luas sehingga ramai orang luar suka datang ke sini walaupun hanya menginap semalaman atau sekadar mahu menikmati makanan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Jo Poh Chai, 48, berkata sudah tiga kali beliau dan keluarga datang ke pulau itu untuk bercuti dan ia menjadi salah satu destinasi kegemarannya.

“Saya sukakan pulau ini kerana suasana tenang, makanan yang sedap serta penduduk juga peramah,” katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Ketam, Shukri Zakaria memuji disiplin yang diamalkan penduduk di kawasan terbabit yang sentiasa menitikberatkan kebersihan, terutama selepas pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan.

“Sudah dua tahun saya mengajar di sekolah ini dan pada peringkat awal memang agak mengejutkan, namun selepas itu sedikit demi sedikit perubahan terjadi kepada pulau ini.

“Saya selaku guru turut menerapkan elemen penjagaan kebersihan kepada pelajar supaya ia terus diamalkan dan syukur kerana menjadikannya sebagai ikutan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pengurusan sampah manual ceriakan Pulau Ketam

OLEH SHEEDA FATHIL

PULAU KETAM, 4 DIS: Pengurusan sampah secara manual yang dilaksanakan syarikat Hebat Abadi Sdn Bhd (HASB) kini menceriakan suasana Pulau Ketam, berbanding tujuh tahun lalu.

Pemangku Pengurus Operasi HASB, Aryan Redzuan Abdullah berkata, melalui kaedah itu, pekerja akan mengutip sampah menaiki basikal dan membawanya ke pusat pengumpulan sampah, di kawasan berhampiran.

“Sehingga kini, HASB sudah mengutip sejumlah 2,580 tan sampah dengan 70 peratus dari 2,000 unit rumah, manakala 30 peratus pula dari 200 unit premis perniagaan seperti restoran, kedai runcit dan hotel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi lawatan di sekitar Pulau Ketam, di sini, hari ini.

Katanya, selepas diberi kepercayaan mengambil alih kerja pengurusan sampah di Pulau Ketam, persekitaran pulau berkenaan yang dahulunya kotor kini kembali ceria, bersih dan tidak busuk.

“Sebelum ini, kebanyakan penduduk hanya membuang sampah dengan mencampak sahaja di laut, namun selepas kita mengadakan beberapa program seperti kempen kesedaran, ia sedikit sebanyak membawa perubahan.

“Kesedaran penduduk kini semakin meningkat, malahan mereka sudah mula membuat aktiviti pengasingan sampah mengikut kategori,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan masyarakat, agensi swasta mahupun kerajaan hadir ke Pulau Ketam jika ingin membuat program tanggungjawab sosial korporat untuk mengindahkan lagi kawasan berkenaan.

“Sehingga hari ini, banyak syarikat swasta, kerajaan dan institusi hadir membuat pelbagai bentuk program, di samping mendidik penduduk di sini berkenaan penjagaan kebersihan,” katanya.

HASB adalah anak syarikat di bawah KDEB Waste Management Sdn Bhd yang bertanggungjawab menguruskan kutipan sampah, di Pulau Ketam sejak 2011.

Difahamkan, pengurusan sampah diuruskan HASB adalah secara ‘door to door’, selama dua kali sehari (pagi dan petang).

Kaedah yang digunakan amat menjimatkan, mudah dan efisien serta anggaran sampah dijana sejumlah 1 hingga 1.5 tan setiap hari.

Categories
SELANGOR

Jangan bimbang fenomena kerang di Pulau Ketam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Penduduk Pulau Ketam, di sini, terutama nelayan dinasihatkan supaya tidak panik terhadap gambar atau maklumat yang tular berkenaan kemunculan ribuan kerang, di pulau itu sehingga dikaitkan sebagai petanda awal bencana alam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, fenomena itu akan berlaku setiap kali air pasang mula surut, di kawasan berpasir seperti pulau nelayan terbabit.

“Fenomena kerang timbul di Pulau Ketam yang merupakan kawasan penternakan kerang adalah perkara biasa setiap kali menjelang kejadian air pasang besar.

“Kerang itu kelihatan seolah muncul di permukaan kawasan berpasir Pulau Ketam kerana air pasang mula surut lebih rendah dari keadaan biasa yang boleh mencecah sehingga paras 0.6 meter, pada satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan tersebarnya gambar dan maklumat dalam aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seperti kemunculan ribuan kerang spesies lokan serta lala, di pulau itu juga dikaitkan dengan petanda awal bencana alam.

Sebelum ini, sebuah portal memetik laporan media akhbar berbahasa Cina yang melaporkan fenomena kerang keluar daripada tanah dengan banyak sehingga kawasan berpasir Pulau Ketam dipenuhi haiwan laut itu, pada Ahad lalu.

Categories
AGAMA SELANGOR

‘Street Dakwah’ Pulau Ketam kikis persepsi terhadap Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 30 SEPT: Pendekatan kreatif melalui ‘Street Dakwah’ yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) mendapat tempat dan mudah diterima masyarakat Pulau Ketam, di sini, khususnya kaum Cina.

Naib Pengerusi ll PERKIM Selangor, Hushim Salleh berkata, misi dibawa pihaknya bersama JAIS untuk turun padang dalam menyampaikan dakwah itu sekali gus dapat mengikis persepsi negatif terhadap salah faham Islam di kawasan terbabit.

Katanya, ia adalah perubahan positif terhadap transformasi dakwah di negara ini, khasnya di Selangor bagi memberi pencerahan secara mendalam mengenai agama Islam.

“Kami berasa sangat teruja kerana dapat melaksanakan ‘Street Dakwah’ di luar kawasan dengan mengunjungi komuniti Pulau Ketam yang majoritinya adalah kaum Cina.

“Malah, sambutan julung kali ini begitu menggalakkan melalui penyertaan luar biasa masyarakat Cina yang menyambut baik dan mengalukan kedatangan kami ke sini,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada Program Dakwah JAIS Pulau Ketam, di sini, semalam.

Hushim berkata, umat Islam mempunyai tanggungjawab penting bagi memperjelaskan salah faham mengenai Islam dan menyampaikan mesej Islam tidak menyokong keganasan.

Justeru katanya, matlamat utama program terbabit adalah untuk membawa budaya akhlak dan watak yang baik kepada masyarakat Cina Pulau Ketam.

“Kita membuat pendekatan lebih mesra supaya mereka positif terhadap aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini dan menerima kita dengan sebaiknya.

“Islam juga menyantuni masyarakat Cina, jadi keindahan Islam itu perlu disebarkan kepada mereka dengan tujuan menyedarkan Islam adalah untuk semua tanpa mengira agama dan bangsa.

“Kita juga mahu memberitahu kepada masyarakat di sini bahawa budaya dan ajaran Islam itu boleh dianuti semua orang tanpa ragu-ragu,” katanya.

Sepanjang dua hari berkampung sepanjang program berkenaan, pelbagai aktiviti diaturkan bersama penduduk tempatan termasuk sukaneka, pemeriksaan kesihatan percuma, persembahan nasyid dan qasidah.

Program turut diisi dengan sesi ramah mesra menerusi Kaunter hijab, Perkongsian tentang Islam (One-to-One), Halal Corner (Perkenalkan Makanan dan Masakan Halal), Kaunter Risalah dan Buku Ilmiah serta Lawatan Akademi Tahfiz Mandarin.

Categories
SELANGOR

MOA galak Selangor tingkat agropelancongan Pulau Ketam

OLEH SHEEDA FATHIL

PELABUHAN KLANG, 28 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menggalakkan Kerajaan Negeri untuk bersama bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan sektor agropelancongan Pulau Ketam.

Timbalan Menteri MOA, Sim Tze Tzin berkata, agropelancongan amat penting kerana ia dapat meningkatkan pendapatan kawasan setempat.

“Saya lihat pasaran di sini cukup besar dan sekiranya dibangunkan lagi, pendapatan penduduk di kawasan setempat dapat ditingkatkan.

“Memandangkan jarak Kuala Lumpur ke Klang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit, jadi saya amat menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak ke Pulau Ketam supaya mereka lebih terdedah dengan aktiviti agropelancongan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Ketam, di sini, semalam.

Pada masa sama, Tze Tzin turut mengumumkan pihaknya menyerahkan RM30,000 bagi membantu memulihkan infrastruktur Pulau Ketam supaya sektor agropelancongan dapat ditingkatkan.

“Saya optimis Kerajaan Negeri dapat meluangkan masa bersama membantu sektor agropelancongan sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke sini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco sangkal laporan tak berasas isu TOL ternak ikan sangkar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 JUL: Dakwaan kononnya kadar TOL yang tinggi dikenakan terhadap penternak ikan sangkar Pulau Ketam seperti dilaporkan sebuah agensi berita pada 23 Jun lalu disifatkan sebagai satu tuduhan tidak berasas.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata sebaliknya Kerajaan Negeri hanya mengenakan caj RM0.40 semeter persegi berbanding RM2 sekaki persegi seperti dilaporkan media itu.

“Berdasarkan laporan tersebut, penternak ikan sangkar di Pulau Ketam dikatakan dibebankan dengan kadar bayaran TOL tinggi iaitu RM2 sekaki persegi di mana dengan caj tersebut penternak perlu membayar di antara RM60,000.00 hingga RM100,000.00 setahun.

ybzaidy-2“Untuk makluman, jumlah sebenar kadar bayaran TOL yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri hanyalah RM0.40 semeter persegi setahun di mana kadar tersebut dipersetujui dan disahkan oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 15/2016 pada 27 April 2016 berbanding dengan kadar nilaian yang diberikan oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM4.00 semeter persegi setahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, isu itu dibangkitkan penternak ikan sangkar di Pulau Ketam semasa penyerahan memorandum oleh Pengerusi Komuniti Keselamatan Dan Pembangunan Pulau Ketam, En. Chia Mong Chun kepada Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai.

Katanya, kadar bayaran TOL dikenakan Kerajaan Negeri pada masa ini merupakan antara terendah jika dibandingkan di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang RM0.45 semeter persegi, Perak RM0.60 semeter persegi dan Johor RM0.50 semeter persegi.

IKAN SANGKARKatanya lagi, dengan keluasan 20,000 meter persegi iaitu kelusan maksima kawasan ternakan yang ada di Pulau Ketam, bermakna Kerajaan Negeri hanya mengutip sebanyak RM8,000 setahun kepada pemilik sangkar ternakan ikan terlibat berbanding tohmahan pihak terlibat iaitu RM60,000 hingga RM100,000 setahun.

Tambah beliau, jika caj keseluruhan sedia ada dikenakan terhadap pemilik kawasan berkeluasan sama diambil kira, penternak terlibat hanya membayar kira-kira RM9,070 kepada Jabatan Perikanan Selangor tidak termasuk caj levi pekerja asing yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Ujar beliau, kadar caj sedia ada lain yang ditetapkan Jabatan Perikanan Selangor adalah Lesen Sistem Kultur Laut (SKL) pada kadar RM10.00 setahun bagi setiap sistem kultur yang meliputi permukaan air seluas 200 meter persegi atau kurang dan bagi setiap tambahan kawasan permukaan air seluas 100 meter persegi atau sebahagian daripadanya, suatu fi sebanyak RM5.00 setahun.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kadar TOL tinggi terhadap penternak ikan sangkar tidak benar

OLEH ZAIDY ABD TALIB

Isu yang dibangkitkan oleh penternak ikan sangkar di Pulau Ketam semasa penyerahan memorandum oleh Pengerusi Komuniti Keselamatan Dan Pembangunan Pulau Ketam, Chia Mong Chun kepada Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai berkenaan dengan kadar TOL dikenakan kepada penternak oleh Kerajaan Negeri seperti yang dilaporkan The Star Online pada 23 Jun 2017 adalah tuduhan tidak berasas.

Berdasarkan laporan tersebut, penternak ikan sangkar Pulau Ketam dikatakan telah dibebankan dengan kadar TOL tinggi pada kadar RM2 sekaki persegi di mana dengan caj pada kadar tersebut penternak perlu membayar di antara RM60,000 hingga RM100,000 setahun.

Untuk makluman, jumlah sebenar kadar bayaran TOL dipersetujui Kerajaan Negeri hanyalah sebanyak RM0.40 semeter persegi setahun di mana kadar tersebut dipersetujui dan disahkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 15/2016 pada 27 April 2016 berbanding dengan kadar nilaian diberikan Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM4 semeter persegi setahun.

ybzaidy-2Kadar bayaran TOL kepada pengusaha ikan dalam sangkar (SKL) ditetapkan Kerajaan Negeri antara terendah jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain.

Sebagai contoh, Pulau Pinang RM0.45 semeter persegi, Perak RM0.60 semeter persegi dan Johor RM0.50 semeter persegi.

Anggaran keluasan setiap pengusaha di kawasan penternakan ikan dalam sangkar di Pulau Ketam adalah maksima 20,000 meter persegi manakala keluasan minima pula sekitar 500 meter persegi.

Berdasarkan kepada pengiraan dengan keluasan maksima 20,000 meter persegi untuk kadar bayaran TOL sebanyak RM0.40 semeter persegi adalah berjumlah RM8,000 setahun.

Manakala jika mengambil kira keseluruhan caj-caj sedia ada dikenakan oleh Jabatan Perikanan Selangor untuk tempoh setahun adalah lebih kurang RM9,070 dan caj tersebut tidak termasuk caj levi pekerja asing ditetapkan Kerajaan Pusat.

Kadar caj sedia ada ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Selangor adalah seperti berikut :-

a. Lesen Sistem Kultur Laut (SKL) pada kadar RM10.00 setahun bagi setiap sistem kultur yang meliputi permukaan air seluas 200 meter persegi atau kurang dan bagi setiap tambahan kawasan permukaan air seluas 100 meter persegi atau sebahagian daripadanya, suatu fi sebanyak RM5.00 setahun; dan

b. Lesen Bot Sistem Kultur Laut pada kadar maksimum RM70.00 per bot setahun mengikut kategori bot (kuasa kuda).

IKAN SANGKARAtas dasar keperihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu semua golongan petani, penternak dan juga nelayan termasuk penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan kesemua para penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam dalam masa terdekat.

Ia bagi memberikan penerangan dan menjelaskan perkara sebenar serta tepat berhubung dengan isu kadar bayaran TOL dan dalam masa sama mendengar sendiri keluhan dan masalah yang mereka hadapi.

Diharapkan agar para penternak ikan dalam sangkar dapat merujuk kepada pihak yang berautoriti bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas agar tidak timbul salah faham dan sebagainya.

* Zaidy Abdul Talib adalah Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

Categories
SELANGOR

ADN Selat Klang derma RM10,000 bantu baik pulih sekolah Pulau Ketam

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sebanyak RM10 000 disumbangkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Dr Halimah Ali bagi meringankan beban SMK Pulau Ketam dalam menaik taraf prasarana sekolah.

Menerusi laman facebook Dr Halimah Ali, beliau kesal dengan sikap kementerian yang lepas tangan dalam menjalankan tanggungjawab membaikpulih dataran gelanggang kokurikulum yang roboh, tandas dan kantin yang rosak teruk.

“SMK Pulau Ketam mengadakan majlis untuk kutipan derma melengkapkan prasarana yang gagal dipenuhi Kementerian endidikan selama lebih kurang empat tahun.

14238201_1546662572016843_6279343924041110625_n“SMK Pulau Ketam mensasarkan RM1 juta untuk membaik pulih segala prasana di sekolah itu,” katanya.

Halimah berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terpaksa berhempas pulas mencari dana yang mencukupi daripada orang kampung, alumni sekolah dan dermawan merata tempat kerana Kerajaan Malaysia hanya sanggup menyumbangkan RM300,000.

“Saya amat berbangga dengan penduduk Pulau Ketam termasuk alumni sekolah itu yang turut menyumbang ke tabung khas tersebut,” katanya.

Majlis Malam Kutipan Derma SMK Pulau Ketam diadakan di dataran SJKC Hwa Lien Pulau Ketam, malam tadi.

-NFN-