SHAH ALAM, 29 JAN: Peserta Program Siswazah (GROW) dan Program Usahawan Mahasiswa (PUM) 2021 berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM5 juta, meningkat berbanding tahun sebelum.
EXCO pembangunan usahawan berkata jumlah itu amat memberangsangkan kerana peserta di bawah program Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu perlu berdepan situasi pandemik Covid-19 dalam memasarkan produk mereka.
“Rekod jualan selama enam bulan program ini dijalankan adalah sangat baik memandangkan negara kita masih lagi berperang dengan pandemik. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta,” kata Rodziah Ismail.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi GROW dan PUM PKNS 2021 menerusi tayangan rakaman video di Ibu Pejabat PKNS di sini semalam.
Menurutnya, peserta turut menunjukkan kecemerlangan apabila berjaya mengembangkan perniagaan dalam tempoh enam bulan selain dapat meningkatkan margin keuntungan 15 peratus dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat.
“Saya percaya siswazah yang terlibat dalam program ini memiliki semangat keusahawanan yang tinggi, berdaya saing malah berani mencuba sesuatu yang baharu.
“Ia boleh dilihat apabila ada dua peserta kita berjaya menyertai Selangor International Expo 2021 sekali gus membuktikan graduan ini mampu berdiri seiring jenama antarabangsa,” katanya lagi.
Hari ini seramai 30 siswazah GROW dan 19 mahasiswa PUM berjaya menamatkan graduasi selepas enam bulan mengikut program di bawah PKNS.
Program GROW dan PUM PKNS menekankan kaedah pelaksanaan yang mengkhususkan kepada aktiviti modul dan bengkel, bimbingan berkumpulan dan bimbingan individu.
Pengambilan peserta adalah khusus kepada lepasan graduan berumur 30 tahun ke bawah, perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan dijalankan sepenuh masa.