Categories
AGENDA NASIONAL

Video tiba-tiba tular, peniaga risau nasi dagang tidak cukup

SHAH ALAM, 11 JAN: Seorang peniaga nasi dagang ikan aya atau ikan tongkol tidak menyangka video dokumentari berdurasi 10 minit memaparkan kisah perniagaannya yang tular menerusi Facebook beberapa hari lepas menjadikan nasi dagangnya yang dijual menggunakan motosikal roda tiga ‘diserbu’ peminat juadah tradisional negeri Terengganu itu.

Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43, berkata hal itu disedarinya sejak Jumaat lepas apabila melihat orang ramai beratur panjang kira-kira 100 meter seawal 6 pagi di kawasan Persiaran Alam Perdana, Bandar Puncak Alam untuk mendapatkan juadah berkenaan walaupun perniagaannya mula beroperasi sekitar 7 pagi.

“Saya terkejut pada pagi itu (Jumaat), tiba-tiba orang ramai datang dan siap beratur tunggu saya yang baru nak pasang payung dan sebagainya. Masuk 7.30 pagi ke atas, orang semakin ramai beratur. Saya memang cemas sebab risau makanan tidak cukup memandangkan orang beratur panjang dan lama untuk dapatkan makanan.

“Bila semak balik, rupanya video dokumentari sebuah produksi yang saya jalani penggambaran sebelum ini tular. Saya terkejut sebab video tersebut asalnya bukan untuk mempromosikan perniagaan saya sebaliknya untuk memaparkan macam mana seseorang yang ‘jatuh’ ketika COVID-19 melanda negara, bangun kembali mulakan kehidupan,” katanya yang ditemui Bernama di sini hari ini.

Muhammad Khairul Nizam yang merupakan anak jati Kampung Tengkawang, Kuala Berang berkata susulan tular, beliau kini perlu menambah sukatan beras basmati untuk menghasilkan nasi dagang tersebut hingga 10 kali ganda sehari berbanding kira-kira lima hingga lapan kilogram sehari ketika mula menceburi perniagaan itu pada November lepas.

“Sekarang kami masak nasi dagang hingga 50 kilogram beras sehari untuk memenuhi permintaan yang tiba-tiba mendadak ini. Disebabkan itu, empat adik lelaki yang menetap di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang serta ibu saya dari kampung datang membantu untuk menghasilkan nasi yang agak banyak sebab saya hanya berniaga seorang diri,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata dalam masa terdekat ini beliau belum menggajikan pekerja kerana masih dibantu adik ketiga, Muhammad Firdaus Mamat, 38, yang turut berniaga nasi dagang di kawasan Seri Kembangan dan adik bongsunya, Muhammad Khairul Aiman, 20.

Menurut Muhammad Khairul Nizam, beliau akan memohon lesen penjaja tepi jalan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam masa terdekat dan jika nasi dagangnya terus mendapat sambutan menggalakkan, beliau bercadang membuka dua lagi gerai di Selangor dengan satu daripadanya di Puchong yang akan diusahakan seorang adiknya.

Ditanya mengapa jualan nasi dagang menjadi pilihannya, Muhammad Khairul Nizam berkata kesukaran untuk mendapatkan juadah yang asli seperti didapati di kampung halamannya antara sebab beliau berniaga selain turut menjual nasi lemak ikan tongkol.

Katanya proses penyediaan dan memasak nasi yang agak kompleks antara sebab nasi dagang Terengganu sukar didapati malah bahan untuk menghasilkan kari ikan tongkol juga kebanyakannya terdapat di negeri itu.

“Itu antara sebab saya pilih juadah ini (nasi dagang) untuk dijual di sini. Memang majoriti pembeli juga dari pantai timur Semenanjung khususnya Terengganu. Ramai yang kata (respons) bila makan teringat pada kampung. Alhamdulillah orang suka.

“Tidak kurang juga kecaman sebab apabila tular, orang meletakkan harapan yang tinggi pada masakan kita tetapi kita boleh belajar daripada teguran dan cuba baiki mana yang kurang,” katanya yang pernah bekerja sebagai cef di sebuah hotel lima bintang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Muhammad Khairul Nizam berkata hanya ‘bermodalkan’ masakan juadah tradisional kampung halamannya dan sebuah motosikal roda tiga bukan penghalang untuk beliau berniaga.

Jelasnya ia dibuktikan oleh Muhammad Firdaus yang terlebih dahulu menggunakan resipi nasi dagang ibunya untuk berniaga di sekitar Seri Kembangan sejak enam tahun lepas dan sehingga kini masih mendapat permintaan pelanggan.

“Adik saya adalah idola dan menguatkan semangat saya untuk berniaga bermula dari bawah. Memang ada yang memperlekeh bila saya putuskan untuk berhenti kerja dan menjual nasi dagang. Alhamdulillah, yang penting keluarga terutama adik-adik sokong apa yang saya buat walaupun kami jauh dari kampung halaman,” katanya yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.

— BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

MAIS-NGO Islam ganding bahu bantu pesalah juvana

SHAH ALAM, 28 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedia berganding bahu bersama badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam mengadakan program khas kepada pesalah juvana.

Anggota MAIS, Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, pembabitan NGO dalam memberi kesedaran dan membimbing remaja berkenaan sangat diperlukan.

“Lebih lagi program pendidikan berteraskan Islam boleh berperanan sebagai medan dakwah dalam usaha membentuk, memulih dan mengembalikan remaja yang tersalah langkah sehingga terbabit jenayah.

“MAIS sentiasa bersedia memberi bimbingan dan sokongan moral kepada remaja bermasalah selari dengan kehendak syarak,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Program Mesra Anak Muda yang dianjurkan MAIS dan Darul Wardah di Pusat Koreksional, Puncak Alam baru-baru ini.

Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata, terdapat 500 penghuni pusat berkenaan berusia antara 13 hingga 21 tahun dan separuh daripada jumlah itu beragama Islam.

“Modul pertama ini ialah Program kesedaran dan keinsafan yang membabitkan NGO WADAH, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Darul Wardah.

“Pihak Koreksional sangat mengalu-alukan pihak NGO Islam untuk membantu pembangunan diri insan terutama berkaitan pengisian kerohanian dan spiritual mereka,” katanya.

Selaku ahli MAIS, beliau hadir untuk melihat dan mendengar kisah remaja berkenaan yang memerlukan perhatian.

Categories
PBT SELANGOR

MDKS segerakan aduan penduduk Puncak Alam

SHAH ALAM, 21 APR: Mementingkan keselesaan rakyat, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengambil berat setiap aduan yang diterima dengan mengambil tindakan dengan kadar segera.

Yang Dipertua MDKS, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, aduan diterima daripada penduduk Puncak Alam yang merungut ekoran kawasan itu mengalami jalan rosak akibat dilalui kenderaan muatan berat serta berhabuk berpunca daripada projek pembangunan sedang dijalankan diambil tindakan segera.

“MDKS mengambil tindakan segera melalui aduan yang diterima dengan mengarahkan pemaju segera membaiki jalan rosak sepanjang laluan itu.

Azhar MDKS“Selain itu, kita turut mengeluarkan notis arahan berhenti kerja yang mengaitkan aduan jalan raya kotor dan berlubang di situ, bermula tujuh hingga 12 April lalu,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azhar berkata, pihaknya turut mengarahkan pemaju memmbina pembahagi jalan mengikut Pelan Pengurusan Trafik (TMP) untuk melindungi pengguna dan pekerja.

Katanya, pematuhan arahan pembinaan pembahagi jalan itu perlu bagi mengelak berlaku kemalangan di persiaran Puncak Alam 6 yang melalui laluan utama.

Azhar berkata, aduan boleh dihantar segera melalui aplikasi Sistem Pengurusan Aduan Rakyat Kuala Selangor (SPARKS) jika masalah sama berulang atau timbul perkara berkaitan.

“Aplikasi ini memudahkan pengadu selain dapat memastikan siasatan dan tindakan segera dapat dilaksanakan. Ia juga membolehkan pengendalian aduan lebih cepat dan pantas,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pengorekan Kolam Puncak Alam 2 giat dilaksanakan elak banjir

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor kini rancak menyiapkan kerja pengorekan Kolam Puncak Alam 2 dan Kolam Puncak Bestari sebagai penyelesaian jangka masa panjang banjir di kawasan itu.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata pengorekan itu dilakukan bagi menampung kapasiti lebihan air hujan lebat.

CT3QCQ0UsAAiK-oKatanya, kerja naik taraf membabitkan kos RM2.8 juta itu dijadual siap pada Jun 2016.

“Skop kerja juga termasuk pembersihan ‘outlet’ kolam dan pengorekkan semula parit di Alam Jaya (downstream).

“Untuk jangka masa pendek, kita akan bersihkan kesemua ‘outlet’ termasuk parit-parit kecil,” katanya kepada Selangor Kini.

Malam tadi, kira-kira 200 penduduk di Bandar Puncak Alam Fasa 2, di sini terpaksa bermalam di pusat pemindahan sementara ekoran kediaman dilanda banjir kilat.

Zaidy berkata, banjir berpunca daripada air larian akibat hujan lebat tidak dapat keluar selain kolam tadahan dipenuhi air.

“Status aras air Sungai Buloh juga mencatat bacaan yang agak tinggi berbanding biasa,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Puncak Alam banjir kilat, 60 rumah terjejas

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 NOV: Kira-kira 60 rumah di Taman Lautan Samudera, Puncak Alam dekat sini dinaiki air setinggi satu meter berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, kerja memindahkan mangsa menggunakan bot dijalankan bagi membantu mereka pada kadar segera.

Puncak Alam banjirKatanya, ketika ini kesemua mangsa ditempatkan di Surau Al Zaharah Puncak Alam.

“Pihak kami menerima panggilan daripada penduduk setempat berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.25 malam tadi.

“Buat masa ini kerja memindahkan mangsa menggunakan bot sedang giat dijalankan dan kesemua mangsa kini di tempatkan di Surau Al Zaharah Puncak Alam,” katanya memetik laporan akhbar tempatan.

Beliau berkata, laluan berhampiran pasar raya Econsave Puncak Alam yang turut dilanda banjir kilat beransur pulih.

CT3QCQ0UsAAiK-oMalam tadi, kira-kira 200 penduduk di Bandar Puncak Alam Fasa 2, di sini terpaksa bermalam di pusat pemindahan sementara, apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat.

Air bah naik mendadak ekoran hujan lebat selama dua jam bermula jam 6 petang, semalam.

Paras air kali ini dilaporkan antara satu ke 1.5 meter menyebabkan pelbagai barangan seperti perabot, dan kenderaan mengalami kerosakan. Sementara itu, kawasan Sinar Alam, Shah Alam 2 turut mengalami banjir kilat.

Gambar: Sumber Media Sosial

EZY

Categories
SELANGOR

Penduduk Puncak Alam mahu banjir kilat buruk tak berulang

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 OGOS: Banjir kilat yang berlaku baru-baru ini di kawasan Puncak Alam mengejutkan beberapa penduduk apabila laluan keluar masuk ditengelami air selepas hujan lebat melanda.

Eksekutif Pemasaran, Zahidah Mohd Padzil, 26, berkata musibah itu yang terburuk berlaku kerana sebelum ini tidak pernah berlaku banjir tinggi sehingga paras semeter.

“Penduduk di dalam kawasan Shah Alam 2 tidak dapat keluar, manakala saya yang ingin pulang ke rumah juga terkandas apabila laluan masuk ditenggelami air.

Puncak Alam“Diharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri segera mengambil tindakan supaya perkara sebegini tidak berulang,” katanya kepada Selangor Kini.

Eksekutif Sirim, Siti Linda Roslina Mustafa, 30, berkata, itu bukan pertama kali banjir berlaku di kawasan tersebut tetapi sudah banyak kali dan 11 Ogos lalu adalah yang paling teruk.

“Pihak bertanggungjwab perlu mengambil inisiatif mencari punca masalah ini berlaku kerana kita tidak jangka bila lagi hujan lebat akan turun, mungkin hari ini atau esok.

“Keselamatan penduduk perlu diutamakan terutama yang mempunyai anak-anak kecil dan warga emas,” katanya.

Manakala, Suri Rumah, Haslina Safian berkata, bukan sahaja laluan masuk ditenggelami, malahan perumahan dan Taska juga turut dinaiki air.

“Amat membimbangkan anak-anak kecil yang berada di Taska dan sekolah, kerana ibu bapa yang bekerja tidak tahu keselamatan anak terjamin.

“Saya berharapkan PBT lebih peka dan segara bertindak menyelesaikan masalah ini dari terus berulang,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kes Altantuya : Pembunuhan yang tiada pembunuh – Dr Dzulkefly

 

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM, 23 OGOS ? Keputusan mahkamah membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu umpama memperlihatkan pembunuhan kejam ini tiada pembunuhnya, kata AJK Pas Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata, perkara ini amat mengejutkan pelbagai pihak apabila Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan pasangan itu dan ini menimbulkan persoalan siapa pembunuh sebenar Altantuya yang di bunuh dengan kejam.

“Memang mengejutkan tapi mungkin ramai juga yang sudah menjangkakan keputusan ini. Apabila keputusan ini dikekalkan bermakna satu jenayah kejam seperti ‘a crime without criminal’,” ujar beliau ketika dihubungi TVselangor.

Tambah beliau, keputusan ini bukan sahaja malang buat keluarga Altantuya, malah lebih malang kepada rakyat Malaysia atas ketidakupayaan sistem kehakiman negara bagi mencari penjenayah sebenar pembunuhan berprofil tinggi ini.

“Kesimpulannya kes ini mempunyai banyak ramuan yang boleh dipertikaikan dalam keputusan ini termasuk ‘incompetent investigation’, sifatnya juga terlalu lemah dan nampaknya institusi kehakiman itu terikat dengan mereka yang menjadi penguasa dalam politik,” kata Dzulkefly.

Beliau juga menyambut baik keputusan bapa Altantuya sekiranya beliau ingin membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi (kerajaan Mongolia), bagi menegakkan keadilan untuk anak perempuannya.

Altantuya Shaariibuu merupakan seorang model sambilan berketurunan Mongolia telah dijumpai mati dibunuh secara kejam di lokasi antara pinggir bandar berdekatan Shah Alam diantara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Cebisan mayat yang disahkan milik Altantuya oleh pakar patologi telah ditemui bertaburan berhampiran Empangan Tasik Subang di Hutan Simpan, Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November 2006 iaitu 17 hari selepas mangsa diletupkan dengan bahan letupan C4.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang juga rakan karib Perdana Menteri sekarang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu.- mza

Categories
NASIONAL SELANGOR

Masjid Felda Bukit Cherakah Dinaiktaraf Untuk Tampung Jemaah

Sultan Bkt Cherakah 01

KUALA SELANGOR, 31 JULAI : Masjid Felda Kampung Bukit Cherakah akan mengalami kerja-kerja pengubahsuaian bagi menampung kepadatan penduduk yang makin meningkat seiring dengan pembangunan di sekitar bandar Puncak Alam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin berkata, kerja pengubahsuaian masjid  yang dibina pada 1 Januari 1996 itu amat penting bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Penambahbaikan masjid ini akan melibatkan ruang solat lebih luas, dewan serbaguna, bilik imam, bilik bilal, bilik jenazah dan tempat persalinan bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikannya sebagai  ‘One Stop Centre’.

“Pengubahsuaian dicadangkan dan ahli jawatankuasa masjid  menubuhkan satu jawatankuasa pembangunan bagi memberi cadangan reka bentuk selain mencari dana tambahan kepada kerja-kerja pengubahsuaian masjid ini.

Sultan Bkt Cherakah 02

“Secara umumnya, masjid ini memerlukan pengubahsuaian di masa hadapan untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya dalam ucapan aluan sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan perasmian masjid di Kampung Felda Bukit Cherakah, di sini.

Dalam majlis itu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada 300 asnaf fakir miskin, 150 anak yatim dan 100 mualaf  sebelum solat berjemaah bersama penduduk.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan, Orang Besar Daerah, Datuk Mohamad Yaacob Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Suliman Abdul Rahman.

Categories
SELANGOR

Tapir Mati Dilanggar Di Puncak Alam

tenuk 1

SHAH ALAM, 26 FEB: Seekor Tapir mati akibat dilanggar oleh kenderaan yang melalui j alan Puncak Alam di sini yang dipercayai berlaku pada awal pagi tadi.

Haiwan berkenaan yang juga dikenali sebagai ‘Tenuk’ berkemungkinan ingin melintas jalan raya di situ ekoran kawasan berkenaan terdapatnya hutan simpan.

Kejadian berkenaan bukan yang pertama berlaku kerana sebelum ini beberapa kali kejadian pelanggaran haiwan yang dilindungi kerana hampir pupus.

Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.

tenuk 2Masyarakat di Malaysia rata-ratanya tidak menyedari haiwan tapir atau dikenali sebagai ‘gajah kerdil’ kini semakin pupus di muka bumi.

Sebelum ini pihak Zoo Negara mengambil inisiatif dengan meraikan Hari Tapir Sedunia yang disambut pada 27 April setiap tahun sebagai langkah untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai haiwan unik itu.

Terdapat empat spesies tapir di dunia dan ‘Malayan Tapir’ yang hanya dapat ditemui di Asia merupakan spesies terbesar di dunia.