Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MySejahtera mohon maaf, salah beri status perintah pengawasan, pemerhatian

SHAH ALAM, 7 NOV: Aplikasi MySejahtera memohon maaf atas kesilapan teknikal membabitkan pemberian status perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dan individu dalam pemantauan (PUS) kepada beberapa individu.

Aplikasi itu menerusi Twitternya @my_sejahtera hari ini berkata pihak sudah mengenal pasti punca perkara itu berlaku dan status HSO dipadamkan manakala status PUS yang salahh dibetulkan.

“Selamat pagi semua, kami memohon maaf atas kesilapan kami yang membenarkan pengguna rawak diberikan status HSO/PUS.

“Kami telah kenal pasti punca yang membuatkan perkara ini berlaku. Semua HSO yang salah dipadamkan dan status PUS yang salah dibetulkan semula,” katanya.

Ia selepas beberapa individu mendakwa status mereka di MySejahtera bertukar kepada HSO dan PUS sejak awal pagi ini.

Ada juga dalam kalangan mereka mendakwa status MySejahtera mereka kembali kepada asal selepas mendapatkan bantuan di ruangan ‘helpdesk’ dalam aplikasi itu.