Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai diseru derma darah, bekalan dijangka turun musim cuti

SHAH ALAM, 17 DIS: Pusat Darah Negara (PDN) meminta orang ramai tampil menderma darah yang dijangka mengalami penurunan bekalan semasa cuti sekolah dan perayaan.

Menerusi kenyataan media, orang ramai diminta menderma darah di PDN dan tabung darah seluruh negara.

Orang ramai boleh melayari Facebook PDN dan tabung darah negeri untuk maklumat lanjut

Categories
AGENDA NASIONAL

Trend derma darah meningkat, stok cukup

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Trend pendermaan darah mencatatkan peningkatan yang baik sejak akhir-akhir ini dan membantu memastikan stok simpanan dan bekalannya sentiasa mencukupi, kata Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr Noryati Abu Amin.

Beliau berkata peningkatan trend positif itu disebabkan penderma-penderma darah prihatin yang tampil secara konsisten bagi membantu pesakit yang memerlukan.

“Trend peningkatan pendermaan darah ini akan memastikan PDN dan tabung-tabung darah mempunyai stok simpanan darah yang mencukupi bagi kegunaan pesakit serta membantu bekalan darah di negeri yang mengalami peningkatan kes Covid-19.

Bekalan darah yang selamat dan mencukupi digunakan untuk merawat kes-kes kemalangan dan pendarahan, ibu-ibu yang mengalami komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang yang kekurangan darah, pesakit talasemia, pesakit kanser, kegagalan buah pinggang, pesakit yang perlu menjalani pembedahan kritikal dan kompleks dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi PDN hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab hantaran yang tular di aplikasi WhatsApp berkenaan bekalan darah hospital yang didakwa berkurangan dan makin kritikal baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Noryati berkata terdapat juga pesakit Covid-19 terutamanya mereka yang mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengeluarkan garis panduan pencegahan dan kawalan semasa aktiviti pendermaan darah bagi mengekang penularan jangkitan penyakit berjangkit Covid-19.

Beliau berkata garis panduan itu mengandungi pelbagai langkah keselamatan selepas aktiviti pendermaan darah bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan penderma darah, penganjur kempen derma darah, petugas kesihatan dan pesakit yang menerima transfusi darah.

“Garis panduan ini juga menetapkan tempoh penangguhan sementara bagi aktiviti pendermaan darah untuk individu selepas pengambilan vaksin Covid-19 dan ianya selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Tempoh penangguhan ini adalah berdasarkan prinsip berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan penderma dan pesakit yang menerima darah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Terus derma darah pastikan bekalan cukup

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Kutipan darah di Pusat Darah Negara (PDN) pada minggu pertama Ramadan hanya 59 peratus, manakala kutipan di Suite Derma Darah Puspanitapuri Putrajaya hanya mencapai 32.8 peratus.

Jumlah ini membimbangkan kerana setiap 43 saat, satu beg darah diperlukan bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

Dalam satu kenyataan hari ini, PDN berkata seramai 500 sehingga 600 orang penderma diperlukan setiap hari bagi memastikan keperluan untuk menyelamatkan nyawa pesakit dipenuhi.

Bekalan stok darah negara perlu sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah seperti kes kemalangan, pembedahan dan juga rutin seperti pesakit thalasaemia.

Untuk membantu usaha ini, PDN mempelawa organisasi menganjurkan kempen derma darah bergerak secara berkala, selain menjemput pendermaan berkumpulan ke pusat pendermaan statik PDN di Jalan Tun Razak, PDN Donation Suite Midvalley Megamall atau Suite Derma Darah Puspanitapuri, Presint 10 Putrajaya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial PDN atau hubungi talian 03-2613 2777.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pusat Darah Negara anjur pertandingan tulis esei, video pendek

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 8 MEI: Pusat Darah Negara bakal menganjurkan dua pertandingan sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2019, yang disambut pada 14 Jun setiap tahun.

Melalui hantaran di Facebook, dua pertandingan yang dianjurkan adalah menulis esei dan video pendek bertemakan ‘Safe blood for all’ (Darah yang selamat untuk semua).

Bagi pertandingan menulis esei, ia terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan esei mestilah tidak melebihi 300 patah perkataan.

Manakala bagi pertandingan video pendek, ia terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan mahasiswa institut pengajian tinggi dengan video yang dihantar tidak melebih 3 minit.

Hadiah terkumpul yang ditawarkan adalah sehingga RM1,800 dengan tarikh tutup penyertaan pada 10 Jun ini serta penyertaan adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut dan syarat pertandingan serta muat turun borang penyertaan, boleh lawati Facebook Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia.