Categories
AGENDA NASIONAL

65 pengunjung, seorang penjaga pusat hiburan di Melaka dikompaun

MELAKA, 14 NOV: Sebanyak 65 pengunjung warga tempatan sebuah pusat hiburan dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan iaitu terlibat dalam aktiviti pusat hiburan di Jalan Melaka Raya di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata polis turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,000 kepada penjaga pusat hiburan berkenaan dalam serbuan kira-kira 1.20 pagi semalam.

Beliau berkata serbuan berkenaan dilaksanakan pasukan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan dibantu anggota serta pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka.

“Kompaun dikeluarkan kerana individu berkenaan terlibat dalam aktiviti pusat hiburan yang dilarang pengoperasiannya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Mereka yang dikompaun merupakan antara 80 individu berusia 17 hingga 62 tahun yang ditahan di pusat hiburan berkenaan termasuk tujuh penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sembilan lelaki dan lima wanita warga asing turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) dan Peraturan 39 (b) akta sama.

Katanya ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas semua individu tersebut mendapati seorang lelaki tempatan dan empat wanita warga asing positif dadah jenis amphetamine.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

43 pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun langgar SOP

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Seramai 43 pengunjung di sebuah pusat hiburan di sini dikenakan kompaun sebanyak RM235,000, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 27 lelaki dan 16 wanita didapati melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Kuala Lumpur.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata dalam serbuan itu, kesemua pengunjung telah disaring dan ujian saringan air kencing mereka didapati negatif.

Selain itu katanya, polis turut mengenakan kompaun bernilai RM25,000 kepada pemilik premis berkenaan.

“Polis turut merampas 431 botol pelbagai jenis minuman keras bernilai RM220,500 ekoran kesalahan di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1967 serta rampasan boleh dilucuthak di bawah Akta Kastam 1967.

“Operasi ini akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

112 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM580,000

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kompaun sebanyak RM580,000 kepada 112 orang pengunjung sebuah pusat hiburan di sini tengah malam tadi kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata pihaknya juga mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,000 kepada pemilik premis hiburan berkenaan.

“Kompaun ini dikeluarkan Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 3 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 bagi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata enam didapati positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis juga telah merampas 43 botol minuman keras yang telah dibuka dan 37 botol masih belum dibuka mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1967.

“PDRM akan terus mempertingkatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan Wabak Covid-19 di negara kita,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP, pengunjung pusat hiburan didenda RM470,000

SHAH ALAM, 6 MEI: Seramai 90 individu termasuk pemilik premis hiburan dikompaun sebanyak RM470,000 kerana disyaki melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah kawalan.

Seramai 51 lelaki dan 39 wanita dikenakan kompaun itu dalam serbuan disertai 35 pegawai polis di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur awal pagi tadi, lapor Berita Harian.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur berkata turut dirampas 500 botol minuman keras bernilai RM400,000 bagi membantu siasatan.

“Anggaran kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis (kesalahan berulang) dan kesemua pengunjung pusat hiburan itu sebanyak RM470,000.

“Sebanyak 500 botol minuman keras turut dirampas bernilai RM400,000. Keseluruhan kompaun bersama rampasan minuman keras berjumlah RM870,000,” kata Datuk Azman Ayob.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31, Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Peraturan 18 PU (A) 97/2021 – iaitu menjalankan aktiviti terlarang), selain Akta Kastam 1976 serta Seksyen 76 Akta Eksais 1976.

Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 20 Mei berikutan terdapat 17 kluster baharu direkodkan selain kes harian makin meningkat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Padah langgar SOP, 110 pengunjung pusat hiburan dikompaun

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Seramai 110 pengunjung yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling serta seorang penjaga premis dikompaun berikutan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika serbuan pada 11.10 malam semalam, pengunjung di dalam premis itu sedang leka mendengar muzik yang kuat dengan ada yang menari dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur SAC Saiful Annuar Yusoff berkata polis turut merampas beberapa peralatan premis.

“Seramai tiga warga asing pula ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan di bawah Akta Imigresen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Serbuan oleh sepasukan polis daripada JSJ dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields serta Balai Sri Petaling itu dilakukan berikutan maklumat orang awam bahawa terdapat pusat hiburan beroperasi tanpa mematuhi SOP ditetapkan.

Saiful Annuar berkata tindakan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Seksyen 25 (a) dan Seksyen 25 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021; dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.4) 2021.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

MB: Had waktu operasi pusat hiburan akan dibincangkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri akan berbincang dan mempertimbangkan cadangan untuk menghadkan waktu operasi pusat hiburan sehingga jam 1 pagi berdasarkan keperluan setempat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudn Shari berkata, sebelum ini waktu operasi sudah dihadkan sehingga jam 3 pagi dan kebiasaanya pusat hiburan jauh daripada kawasan perumahan.

“Di Shah Alam tidak mempunyai kesan kerana tidak mempunyai pusat hiburan. Jika sudah menjadi dasar nasional, kita akan lihat keutamaan.

“Sebelum ini dihadkan sehingga jam 3 pagi. Secara asasnya kawasan itu jauh daripada penduduk.

“Kita akan lihat kesusaian dan itu adalah bidang kuasa di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita akan menilai semula polisi tersebut sama ada sesuai atau tidak dan ia berdasarkan kepada kesusaian kawasan.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat EXCO sama ada minggu hadapan atau dua minggu akan datang,” katanya ketika ditemui media pada Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata semua pusat hiburan di Kuala Lumpur perlu menamatkan operasi pada jam 1 pagi berkuat kuasa Januari 2019.

Bagaimanapun, hanya beberapa pusat hiburan sahaja yang mempunyai lesen dan kebenaran untuk beroperasi sehingga jam 5 pagi berdasarkan beberapa faktor.