Categories
AGENDA NASIONAL

700 khidmat kaunseling bantu atasi tekanan akibat pandemik

SHAH ALAM, 13 OKT: Dianggarkan 700 khidmat kaunseling berkaitan kesihatan mental diberikan Pusat Kaunseling Selangor Talian Sahabat (PKS-TS) sejak penularan Covid-19 hingga September lalu.

Sesi dibuat secara maya antaranya menerusi WhatsApp dan Telegram sebagai langkah pencegahan serta bantuan awal kepada individu terbabit, kata penyelarasnya Rinatho Nunchi.

“Kita memberikan khidmat kaunseling secara percuma dan mengalu-alukan mereka menghadapi masalah mental mendapat bantuan,” katanya dalam program bual bicara di Facebook Media Selangor malam tadi.

Susulan peralihan ke fasa endemik, Rinatho berkata khidmat sokongan dibuat secara bersemuka sejak awal bulan ini di Kompleks PKNS di sini selain cawangan Sepang, Selayang dan Subang Jaya.

“Kaedah bersemuka ini membolehkan kami memberi bantuan lebih lanjut kerana dapat menilai individu berdasarkan pergerakan, maklum balas dan emosi,” katanya menambah pusat itu dikendalikan 30 kaunselor bertauliah.

Pada 17 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menawarkan khidmat nasihat kepada individu yang berdepan masalah tekanan mental melalui PKS-TS.

Beliau berkata inisiatif itu berikutan bimbang isu tekanan mental terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Mereka yang ingin mendapat bantuan boleh menghubungi talian 03 5519 0500 atau WhatsApp 013 300 9291 dan mengikuti Facebook Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kesan kesihatan mental, panik hingga lupa lokasi pejabat

SHAH ALAM, 13 OKT: Gelisah dan panik sehingga lupa lokasi pejabat antara kes kesihatan mental diterima Pusat Kaunseling Selangor Talian Sahabat ketika pandemik Covid-19.

Penyelarasnya Rinatho Nunchi menerima kes seorang individu terlalu resah hingga ‘tidak nampak’ pejabat meskipun sebenarnya sudah berada di sekitar premis terbabit.

“Bila saya buat ujian didapati pekerja terbabit sebenarnya mengalami kegelisahan yang tinggi dan belum cuba mendapat rawatan pakar.

“Dia pun tidak tahu kegelisahan itu boleh menyebabkannya tidak nampak pejabat sedangkan sudah berada di parkir, saya beri penjelasan dia dilanda panik sebenarnya,” katanya.

Rinatho berkata demikian dalam program bual bicara Kesihatan Mental: Hapus stigma, bantu segera disiarkan di Facebook Media Selangor malam tadi.

Beliau berkata ramai individu tersalah tafsir masalah kesihatan mental dihadapi menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan di pusat yang betul.

Menurutnya, ramai mengaitkan perubahan tingkah laku dengan gangguan makhluk halus namun sebenarnya berpunca daripada faktor lain seperti hilang pekerjaan.

“Sebab itu kena tahu masalah sebenarnya supaya boleh mendapatkan rawatan mental di pusat kaunseling disediakan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negeri lain disaran contohi Selangor tubuh pusat kaunseling

SHAH ALAM, 14 JUN: Negeri lain wajar meneladani Selangor menubuhkan pusat kaunseling, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Prof Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi memuji inisiatif dilaksanakan Kerajaan Selangor itu yang disifatkan mampu membantu orang ramai mendapatkan khidmat tersebut secara bertemu atau menerusi panggilan telefon.

“Kita faham ada segelintir individu takut untuk berjumpa pakar psikiatri atau doktor untuk mendapatkan rawatan mahupun membuat luahan berhubung tekanan dihadapinya.

“Justeru, usaha Kerajaan Negeri menubuhkan Pusat Kaunseling Selangor ini langkah tepat kerana adakalanya segelintir daripada mereka anggap jika berbuat demikian mungkin menimbulkan stigma kurang enak dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Bual Bicara SelangorTV bertajuk Depresi Ketika Pandemik – Faktor Ekonomi Beri Impak Serius?

Kerajaan Negeri menubuhkan Pusat Kaunseling Selangor secara percuma kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan psikologi dan memahami diri serta situasi dihadapi.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, hampir setengah juta rakyat di negara ini melibatkan kanak-kanak berusia 16 tahun ke atas didapati mengalami simptom tekanan perasaan dan penyakit mental.

Categories
EXCO SELANGOR

Alami tekanan, lebih 400 individu guna khidmat pusat kaunseling

SHAH ALAM, 4 NOV: Seramai 402 individu menggunakan perkhidmatan percuma Pusat Kaunseling Selangor sepanjang tahun ini, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pusat yang menyediakan 30 kaunselor bertauliah boleh dilakukan secara bersemuka atau melalui panggilan telefon.

“Kita jangka bilangan individu berdepan tekanan hidup atau kesihatan mental terus meningkat susulan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dr Siti Mariah Mahmud ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 4 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Menyedari kepentingan kesihatan mental, Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM500,000 bagi mengadakan program berkaitan,” katanya menambah wanita paling ramai menggunakan perkhidmatan itu.

Pada sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri bersama Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental menganjur program psikologi secara berkumpulan.

“Program ‘Awak OK?’ sebanyak 22 episod turut disiarkan menerusi media sosial untuk mengupas isu kesihatan mental dan di mana kita boleh mendapatkan bantuan,” katanya lagi.

Pada 7 September, Dr Mariah menjangka kesihatan mental seperti kemurungan, kerisauan dan keresahan menjadi penyakit nombor dua dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan remaja.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2001, kira-kira 450 juta penduduk dunia mempunyai penyakit mental dengan nisbah satu daripada empat individu berisiko.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Pusat Kaunseling Selangor bantu individu berdepan tekanan ketika PKPB

SHAH ALAM, 27 OKT: Individu berdepan tekanan hidup mahupun masalah kesihatan mental boleh mendapatkan khidmat nasihat percuma menerusi portal Pusat Kaunseling Selangor.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata orang ramai boleh memilih perkhidmatan kaunseling secara bertemu ataupun panggilan telefon.

“Masalah kesihatan mental ini dipercayai meningkat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula Mac lalu, jadi tidak dinafikan mungkin ketika PKP Bersyarat juga perkara sama akan berlaku.

“Oleh itu saya nasihatkan supaya anda manfaatkan kemudahan yang Pusat Kaunseling Selangor sediakan, dan pada masa sama masyarakat sekeliling tidak boleh memberikan sebarang tanggapan negatif sekiranya ada individu berdekatan mereka mendapatkan khidmat kaunseling,” katanya.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud bersama Dr Siti Sarah Izham dan Mohd Akif Farhan Ahmad Basri ketika program bual bicara ‘Covid-19 mencanak, stres meningkat apa mesti kita buat?’ menerusi Facebook pada 24 Okt 2020. Foto Facebook Dr Siti Mariah

Beliau berkata demikian menerusi rancangan bual bicara bertajuk ‘Covid-19 mencanak, stres meningkat apa mesti kita buat?’ menerusi Facebook, pada Sabtu lalu.

Pada 10 Oktober, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu kesihatan mental antara fokus umum Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat, terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.

Malah, katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1 juta menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 bagi menangani isu itu melalui kelas interaktif.