Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

Pusat latihan kemahiran bantu remaja OKU berdikari

KUALA SELANGOR, 1 MAC: Kerajaan Negeri bakal menubuhkan Pusat Kehidupan Berdikari (ILC) bagi membantu orang kelainan upaya (OKU) memperoleh pekerjaan selepas tamat persekolahan.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata projek rintis dengan peruntukan RM1 juta itu bakal dilaksanakan tidak lama lagi dan sasarannya adalah anak istimewa berusia 18 tahun ke atas.

“ILC akan menyediakan latihan khususnya dalam bidang vokasional kepada kumpulan OKU yang tamat persekolahan di bawah program pendidikan khas.

“Kita tidak mahu golongan OKU ini keciciran, jadi kita tubuhkan pusat ini. Ada dalam kalangan mereka yang kreatif dan berkemahiran berbanding individu normal dan kita harus beri mereka peluang,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Selangor (Unisel) dan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) di Unisel Bestari Jaya di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Muhammad Redzuan Othman dan Pengurus Besar Yawas Gan Pei Nei.

Selain itu, Dr Siti Mariah berkata inisiatif penubuhan ILC itu dibuat selepas mendengar luahan ibu bapa anak OKU yang bimbang dengan hala tuju anak mereka selepas tamat sekolah.

“Justeru, kita mengambil pendekatan menubuhkan ILC kerana ia turut memberi peluang mengenal pasti bakat mereka,” katanya.