Categories
ADN SELANGOR

PKPB: Operasi pusat khidmat DUN Kota Anggerik dihadkan

SHAH ALAM, 27 OKT: Operasi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik hanya dibuka pada Isnin, Rabu dan Jumaat susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Wakil rakyatnya Najwan Halimi berkata berkuatkuasa hari ini, pejabat mula dibuka dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

“Sehubungan itu, sebarang urusan berupa aduan dan pertanyaan boleh berhubung menerusi Whatsapp di talian 017-3353136 atau 012-2963872, dan menerusi e-mel [email protected],” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai menjaga jarak sosial satu meter, elak bersentuhan, gunakan cecair pembasmi kuman dan pakai pelitup muka ketika berurusan.

Selangor dikenakan PKPB bermula 14 Oktober lalu hingga hari ini, namun semalam Kerajaan Persekutuan melanjutkannya sehingga 9 November.

Categories
SELANGOR

Penduduk Kg. Sg Haji Dorani Diminta Bersabar

Geran Tanah Sg. Haji Dorani 01

SHAH ALAM 30 JAN : Penduduk Kampung Nelayan Sungai Haji Dorani di Sabak Bernam diharap bersabar bagi mendapatkan geran tanah yang akan diberikan kepada mereka.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Panjang, Fadzlin Taslimin berkata, permohonan untuk mengeluarkan geran tanah itu kini sedang diproses oleh pihak Pejabat Tanah Daerah Sabak Bernam.

Justeru penduduk yang sudah membayar premium permohonan tanah itu tidak perlu bimbang berhubung status hak milik tanah di kawasan berkenaan.

“Sebab ia lambat mungkin yang membayar premium tanah itu tidak serentak jadi mereka (Pejabat Tanah) perlu kumpul dahulu proses permohonan itu.

“Jika penduduk sudah membayar premium untuk permohonan itu maka tiada masalah,” kata Fadzlin ketika dihubungi TVSelangor.

Ujar Fadzlin, beliau mengharapkan kerjasama pihak Pejabat Tanah Daerah Sabak Bernam agar dapat menyegerakan kelulusan pemberian geran tanah itu agar pihak penduduk tidak menunggu dalam jangka masa yang lama.

“Ia lambat mungkin permohonan ini adalah secara kelompok yang berbeza dengan permohonan secara persendirian,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan penduduk di Kampung Nelayan Sungai Haji Dorani meluahkan kebimbangan terhadap status hak milik tanah di kawasan berkenaan yang masih menjadi tanda tanya.

Pada Februari 2012 lepas, seramai 116 penduduk kampung di daerah Sabak Bernam diberikan notis 5A, iaitu notis yang mengakui mereka pemilik tanah yang sah oleh Kerajaan Negeri Selangor selepas mereka menanti selama kira-kira 30 tahun.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Masalah Banjir Kilat Taman Indah Perdana Berakhir

SELAYANG, 2 JULAI: Penduduk Taman Indah Perdana kini mampu menarik nafas lega apabila masalah peparitan yang tidak sempurna diakhiri dengan siapnya kerja baikpulih parit yang lebih bersistematik.

Demikian menurut Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Mohamad Abd Rahman kepada TV Selangor.

“Sebelum ini, setiap kali hujan lebat air akan naik dengan cepat hingga memasuki rumah-rumah di sini sebab sistem peparitan yang tidak sempurna.

“Lebih memburukan keadaan, air yang mengalir itu bercampur dengan air dari loji Indah Water berhampiran.

“Sekarang syukur, longkang yang dibaikpulih ini dapat mengalirkan air turun ke parit utama,” kata beliau ketika melawat lokasi kerja membaikpulih longkang itu dijalankan.

Menurut Mohamad, penduduk Taman Indah Perdana terpaksa menghadapi masalah banjir kilat dan air busuk dari loji Indah Water ini semenjak hampir sepuluh tahun lalu.

“Sebenarnya ini bukanlah masalah besar sangat, cuma masalah peparitan tak sempurna sahaja dan boleh diatasi dengan cepat, tetapi masa BN mentadbir dahulu, masalah infrastruktur tak diambil berat.

“Disebabkan kecuaian Umno-BN dahulu memandang rendah masalah ini, maka penduduk di sini sengsara setiap kali hujan lebat, sedangkan pejabat MCA jaraknya cuma kurang 100 meter sahaja dari sini” ujar Mohamad.

Kerja baikpulih itu telah memakan belanja sebanyak RM19,000.

Mohamad turut memberitahu PKM Dun Taman Templer mengambil tindakan serta-merta apabila mendapat tahu masalah ini agar kesengsaraan penduduk perumahan terbabit dapat ditamatkan segera.

Ketika wartawan dibawa ke tapak kerja baikpulih tersebut dijalankan, didapati sehelai kain rentang yang tertera ucapan terima kasih dari penduduk terhadap usaha yang dijalanakan oleh PKM Taman Templer.

Menurut dua warga asing pekerja pembinaan projek itu, kain rentang tersebut telah dinaikkan oleh beberapa penduduk Taman Indah Perdana pada sebelah pagi hari yang sama.