Pesta Buku Selangor 2014

Pesta Buku Selangor 2014 kembali lagi!Ayuh beramai-ramai ke Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Pada 29 ogos hingga 8 September 2014 ini Kerana pelbagai aktiviti menarik juga menanti anda

Categories
SELANGOR

2,000 pekerja mahir diwujudkan di Selangor

vibrant2
04SHAH ALAM, 29 OKT: Kira-kira 2,000 peluang pekerjaan baru bagi pekerja tenaga mahir diwujudkan di Selangor berikutan kejayaan usaha Kerajaan negeri membawa masuk pelabur asing ke negeri itu.Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, antara pelabur asing yang bakal memulakan operasinya di negeri itu termasuk syarikat pengeluar kimiaoleo, membaiki dan menyelenggara kapal terbang dan farmaseutikal dari Belgium, Switzerland dan Jerman.

Katanya, beliau yakin Selangor mampu menyediakan tenaga pekerja mahir yang secukupnya bagi tiga industri berteknologi tinggi itu.

“Pelaburan yang datang ke Selangor adalah pelaburan berteknologi tinggi dan memerlukan pekerja mahir untuk mengendalikannya dalam bidang kimiaoleo, membaiki dan menyelenggara kapal terbang dan farmaseutikal,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian selepas merasmikan ‘Vibrant Selangor Seminar 2013: Talent Development In Selangor’ yang turut dihadiri Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Ean Yong Hian Wah; Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan; Dr Halimah Ali dan Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga komited menjadikan Selangor sebagai negeri pilihan terbaik untuk didiami dan membina keluarga, sekali gus menarik minat warganya terus menetap serta bekerja di negeri itu.

Terdahulu, pada 29 September hingga 7 Oktober lalu, Abdul Khalid mengetuai delegasi perdagangan Selangor ke Belgium, Switzerland dan Jerman bagi menjalin hubungan perdagangan dengan pelabur negara terbabit.

Dalam misi itu, Abdul Khalid turut mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Sains Hayat dan Kimia Belgium yang mewakili 800 buah syarikat; syarikat penyelenggaraan kapal terbang, syarikat pengeluar makanan terkenal dan pengeluar jentera di Switzerland; agensi Hansen Trade and Invest dan Dewan Perniagaan dan Industri Ostwestfalen di Jerman.

Sementara itu, ‘Vibrant Selangor Seminar 2013: Talent Development In Selangor’ anjuran Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) yang diadakan berjaya menarik 150 penyertaan dari lebih 70 buah syarikat di Selangor.

Seminar itu diadakan bagi memberi maklumat dan pengetahuan kepada syarikat berkenaan isu pembangunan pekerja mahir dan berpendapatan tinggi.

– EZY

Categories
SELANGOR

PKNS Anjur Persidangan Integriti 8 Julai

integriti

SHAH ALAM 28 JUN : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menganjurkan persidangan “A Conference On Integrity And Good Corporate Governance In Public And Private Sector” di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini pada 8 Julai depan.

Pengurus Integriti, S Normalis Abd Samad berkata, persidangan sehari bakal dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Antara topik yang akan dibincangkan ialah bagaimana elemen integriti dapat membantu dalam kejayaan sesebuah organisasi mahupun syarikat.

Menurutnya, PKNS mensasarkan penyertaan seramai kira-kira 600 peserta daripada sektor awam dan swasta dalam persidangan berkenaan.

“Persidangan ini adalah yang kedua dianjurkan PKNS dengan persidangan pertama pada 11 Jun tahun lalu.

“Untuk kali ini kita menjemput ahli panel dari dalam dan luar negara. Antaranya bekas Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong, Daniel Ming Chak Li.

“Kita mengharapkan kehadiran beliau akan memberikan respon yang baik terhadap persidangan ini.

“Manakala ahli panel utama adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed,” katanya dalam sidang media di sini.

Selain itu, persidangan tersebut turut menampilkan panelis lain seperti Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar; Pengarah NKRA Menentang Rasuah, Datuk Hisham Nordin; Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh; Gabenor Lembaga Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Margaret Chin; Pengarah Eksekutif, Ketua Setiausaha Undang-Undang dan Syarikat Korporat Nestle (M) Berhad, Mohd Shah Hashim serta Penyunting Laporan Penyiasatan Khas The Sun, R Nadeswaran.

Normalis berkata, PKNS adalah antara agensi pertama yang menubuhkan bahagian integriti pada Jun tahun lalu dan melaksanakan inisiatif diarahkan SPRM dalam garis panduan ditetapkan.

“Kita akan buat persidangan ini setiap tahun dengan menjadikannya program tahunan,” ujarnya.

Beliau menambah, sejak PKNS mengamalkan sistem tender terbuka ia mencatatkan penjimatan sebanyak RM98.4 juta manakala untuk sebut harga pula penjimatan yang dapat dibuat adalah sembilan peratus di mana kedua-dua itu adalah bagi tahun lalu.

Katanya, sebanyak 22 aduan melibatkan beberapa isu termasuk penambahbaikan sistem dan proses kerja diterima sejak pengenalan Polisi Whistle Blowing.

Categories
NASIONAL

Menifesto Rakyat : PR Lancar Perang Terhadap Umno-BN

menifesto PKR-PC

PETALING JAYA, 19 FEB: Pakatan Rakyat (PR) akan melancarkan menifesto kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekaligus mendahului Umno-BN yang sehingga kini masih gagal mengumumkan tarikh pilihan raya.

Dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’, menifesto ini dinamakan ‘Menifesto Rakyat’ menunjukkan PR sudah bersiap sedia melancarkan ‘perang’ terhadap Umno-BN dalam usaha merubah tampuk pemerintahan negara ke arah yang lebih baik.

Menifesto ini diluluskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat merupakan menifesto bersama ketiga-tiga parti yang mengandungi empat teras utama iaitu rakyat bersaudara, ekonomi rakyat, kesejahteraan rakyat dan kerajaan rakyat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang media berkata Menifesto Rakyat ini menggabungkan kesemua dasar yang berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan program-program khusus yang diumumkan melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dan 2013.

“Jawatankuasa Dasar dan Menifesto PR yang dipertanggungjawabkan membangunkan Menifesto Rakyat juga meniliti dan mengambil pandangan dari memorandum dan cadangan yang disampaikan terus kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk digarab di dalam menifesto.

“Selain itu pelbagai rundingan diadakan dengan banyak pihak untuk memastikan kepentingan dan kebajikan setiap rakyat dititikberatkan di dalam Menifesto Rakyat.

“Pelancaran awal menifesto ini membuktikan komitmen PR untuk memastikan kempen PRU-13 bertumpu kepada persoalan rakyat dan dasar untuk melawan politik perkauman dan fitnah yang dibawa Umno-BN,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat PKR.

Pelancaran ini akan dibuat pada Isnin, 25 Februari bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula jam 9 pagi.

Jelas Rafizi lagi, proses rundingan dan kajian berlangsung selama 18 bulan bermula September 2011 dan dibentangkan sebanyak dua kali di peringkat tertinggi Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Turut hadir sama dalam sidang media ini Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad selaku wakil PAS dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mewakili DAP.

Sebelum itu, PKR melancarkan ‘Institut Rakyat’ yang bakal bertindak selaku kumpulan pemikir kajian dasar yang bebas – secara kewangan dan pengurusan – yang akan melengkap dan memyediakan sudut pandang yang seimbang kepada sayap pengurusan parti.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan, institut ini akan menawarkan nasihat bebas dan saranan dasar kepada parti, seiring wawasan Malaysia yang makmur dibawah perkembangan ekonomi yang mapan dan pembangunan yang selaras dengan keharmonian sosial, alam sekitar, etnik dan keagamaan.

Pelancaran kumpulan pemikir akan diadakan Khamis, 21 Februari ini, pada jam 3 petang di Hotel Empire Subang Jaya.

Bertemakan ‘Menuju Malaysia Baru’, pelancaran ini akan menampilkan ucapan dasar dari Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta akan membentangkan kertas kerja pertamanya berjudul ‘Mengangkat Pendapatan Boleh Guna’ pada hari tersebut.

Categories
SELANGOR

SSIC Anjur Pameran Produk Berasaskan Teknologi

SHAH ALAM, 13 DIS : Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) akan menganjurkan Pameran Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor 2013 (Sitex) bermula 4 hingga 6 April 2013 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Pameran yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan menyediakan platform yang sesuai kepada penyelidik, saintis dan syarikat untuk mempamerkan produk terbaru mereka kepada pembeli atau pelabur berpotensi.

Ketua Pegawai Opreasi SSIC, Hasan Azhari Idris berkata, pameran perdagangan ini bakal menjadi saluran pemasaran dan rangkaian selain merangsang hubungan perniagaan di kalangan usahawan teknologi tempatan dan antarabangsa berasaskan perniagaan.

Menurutnya, ia juga akan memberi peluang kepada penyelidik untuk mengambil bahagian dalam memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pelawat melalui pembentangan yang dijadualkan di dalam dewan pameran.

“Menerusi pameran ini, SSIC dapat mempromosi Selangor sebagai pusat pertumbuhan perniagaan dan industri berasaskan pengetahuan sekaligus mengangkat negeri ini sebagai lokasi paling ideal untuk industri berkaitan teknologi.

“Selain itu, ia turut mewujudkan satu platform bagi entiti korporat untuk mempamerkan produk-produk terkini dan perkhidmatan mereka selain menjadi menjadi saluran yang sempurna untuk pemasaran, kerjasama dan perkongsian dengan organisasi lain baik tempatan mahupun antarabangsa,” katanya dalam sidang media di SSIC hari ini.

Selain pameran, Sitex turut mengadakan pertandingan lakaran, seminar kajian dan penyelidikan (R&D) dan pertandingan reka bentuk produk.

Selain daripada program berkaitan perniagaan, Hasan berkata, Sitex juga menyediakan platform untuk pelajar peringkat menengah dan universiti untuk turut serta dalam acara tersebut.

Katanya, bagi kategori reka bentuk seni bina, pelajar universiti yang terpilih akan diberi peluang untuk membentangkan reka bentuk mereka semasa pameran itu.

Sementara bagi ketagori reka bentuk produk mesra alam yang mensasarkan pelajar sekolah akan dipamerkan untuk tujuan pengadilan.

“Kita mengajak orang ramai yang berminat untuk segera mendaftar bagi menyertai pameran ini. Kepada sesiapa yang berminat boleh merujuk kepada laman web rasmi SSIC atau www.sitexselangor.com,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Worldwide Serah Zakat Bantu Pelarian Rohingya

SHAH ALAM 3 OGOS :Majlis Ulama Rohingya Malaysia antara sembilan badan amal yang menerima bantuan zakat daripada anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings Berhad di sini semalam.

Atas nama kemanusiaan, majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu turut menyaksikan sumbangan RM30, 000 dihulurkan kepada Majlis Ulama Rohingya Malaysia yang diwakili Pengerusinya, Mohd Jaber Mohd Subahan.

“Kami sangat berbesar hati dan terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak di Malaysia terhadap nasib yang menimpa kami di Burma.

“Sememangnya kami mengharapkan bantuan dan sumbangan bagi meringani beban dan tekanan hidup kami di sana,” ujar Jaber.

Disamping itu Jaber memberitahu orang ramai juga boleh mengunjungi www.majlisulamarohingyamalaysia.blogspot.com atau menghubungi talian 03-4022 3444 untuk sebarang maklumat serta bagi menyalurkan bantuan.

Dalam majlis itu Worldwide menyempurnakan sumbangan zakat berjumlah RM 145, 850 kepada sembilan penerima dalam satu majlis berbuka puasa.

Antara lain, Worldwide juga memberi sumbangan  RM20, 000 kepada Islamic Relief Malaysia, RM 40, 000 kepada Maahad Dakwah Wa Irsyad Mohd Al Fateh bagi pembinaan pondok asrama serta RM5, 850 kepada Pertubuhan Membantu Pesakit Parah Miskin Malaysia.

Turut menerima sumbangan ialah Tabung Pendidikan Pertubuhan Kebajikan Pelajar-pelajar Tahfiz Malaysia (TAHFIZ), Rumah Ummul Qura, Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bistari dan Persatuan Bekas Polis Malaysia yang masing-masing menerima RM10, 000.

Selain itu, sumbangan RM10, 000 turut diberikan kepada kanak-kanak kurang upaya, Muhammad Irfan Fakri Rosazman, 6, bagi membiayai pembelian kerusi roda elektrik dan mesin jahit bagi menjana pendapatan kedua orang tuanya.

Semua sumbangan disampaikan Pengerusi Worldwide, Datuk Mohamad Arif Ab Rahman yang turut diiringi Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar dan Pengarahnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria.