Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kemasukan pesakit di pusat kuarantin Kelantan meningkat selepas Aidiladha

KOTA BHARU, 28 JULAI: Kemasukan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini meningkat sejak beberapa hari lepas, selepas Hari Raya Aidiladha.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata berikutan itu sebanyak 11 PKRC di seluruh negeri itu telah mencapai kapasiti penggunaan katil antara 80 hingga 98 peratus.

“Secara keseluruhan sehingga kini terdapat sebanyak 2,300 katil di seluruh PKRC dan ada antara PKRC iaitu PKRC Pusat Tarbiah Islam Kelantan di Pengkalan Chepa dan juga PKRC Jubli Perak, Kota Bharu telah mencapai kapasiti penggunaan katil mencecah 98 peratus.

“Malah, pada Jumaat ini juga kita akan membuka semula PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan Salor selain kita juga sedang mengenal pasti satu lokasi baharu di luar daerah Kota Bharu untuk dijadikan PKRC,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Unit Pengangkutan Covid-19 di pekarangan Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan di sini hari ini.

Semalam Kelantan merekodkan sebanyak 592 kes baharu Covid-19 dengan enam kluster baharu dilaporkan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata bagi mengelakkan berlaku kesesakan pesakit di PKRC, pihaknya telah mengambil kaedah untuk discaj pesakit menerusi penilaian klinikal.

Menurut beliau bagi pesakit kategori satu yang tidak mempunyai gejala, mereka akan dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam sebelum dibenarkan pulang bagi menjalani Perintah Pengasingan di Rumah (HIO) berbanding sebelum ini mereka dikuarantin selama 11 hari di PKRC.

“Bagi pesakit kategori dua dan ke atas yang bebas daripada sebarang gejala pula mereka akan dibenarkan pulang untuk HIO selepas dipantau secara klinikal selama tempoh 48 hingga 72 jam,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kebenaran pesakit untuk melakukan HIO bergantung kepada kriteria rumah yang bersesuaian selain pesakit dan penjaga juga mempunyai akses melalui telefon bagi memudahkan pemantauan.

“Bagi mereka yang dibenarkan pulang untuk menjalani HIO, kita memohon agar berdisiplin ketika berada di rumah dan dengan kenaikan kes Covid-19 di negeri ini sekarang, kita perlukan kerjasama semua pihak,” katanya sambil menambah, golongan berkenaan juga akan didaftarkan di Pejabat Kesihatan Daerah sebagai pesakit HIO.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pusat nilai Covid-19, klinik bergerak dan pusat kuarantin diperluas

PETALING JAYA, 5 JULAI: Kerajaan Selangor melalui Pejabat Kesihatan Daerah menyediakan klinik bergerak, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan pusat kuarantin di Pangsapuri Mentari Court PJS 8, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata elemen itu akan turut diterapkan di beberapa kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ini merupakan elemen baharu di Selangor yang menggabungkan pusat kuarantin dan CAC di dalam kawasan PKPD…Kita juga akan perluaskan di kawasan PKPD lain termasuk di Taman Murni, Sepang.

“Konsep elemen baharu ini juga akan menumpukan kawasan perumahan bercampur (warganegara dan warga asing). Inisiatif menubuhkan CAC dalam kawasan PKPD ini juga merupakan yang pertama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan program pemberian vaksin kepada penduduk di Pangsapuri Mentari Court PJS 8 di sini, hari ini.

Pada masa sama Amirudin berkata tindakan mewujudkan CAC di kawasan tersebut bagi memudahkan penduduk supaya tidak perlu keluar untuk menilai sejauh mana tahap jangkitan mereka.

“Mana-mana kes positif yang memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke hospital. Untuk kes positif yang tidak bergejala akan dikuarantin di rumah dan yang bergejala akan dihantar ke Pusat Kuarantin,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB nafi video tular, CAC Stadium Malawati bukan pusat kuarantin

SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar memaklumkan video tular mengenai dakwaan suasana terkini di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati adalah tidak benar.

Dato’Seri Amirudin Shari berkata CAC itu adalah pusat penilaian tahap kesihatan pesakit Covid-19 dan bukan pusat kuarantin seperti yang didakwa.

“CAC Stadium Malawati adalah sebagai pusat penilaian tahap kesihatan pesakit Covid-19 dan bukan pusat kuarantin seperti di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia).

“Pesakit Covid-19 juga tidak dibenarkan bermalam di CAC Stadium Malawati,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsi contoh gambar aktiviti di CAC berkenaan.

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp audio selama lebih dua minit berserta video TikTok selama 14 saat mendakwa suasana di satu lokasi pusat kuarantin.

Berdasarkan audio berkenaan individu itu mendakwa suasana terkini di CAC Stadium Malawati yang jumlahnya terlalu ramai pesakit Covid-19.

Awal Februari lalu, Stadium Malawati beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling menggantikan CAC Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di SS15.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pusat itu memainkan peranan untuk menilai pesakit Covid-19 sebelum menempatkan mereka di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Serdang atau hanya diarah menjalani kuarantin di rumah.

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM sedia pusat kuarantin pelajar dari kawasan PKP

SHAH ALAM, 8 MEI: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan pusat kuarantin khusus untuk pelajar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kembali ke kampus selepas Aidilfitri.

Timbalan naib canselor (akademik dan antarabangsa) berkata kuarantin selama 10 hari membabitkan seramai 7,000 pelajar dari seluruh kampus universiti itu, lapor Berita Harian.

“UiTM akan memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar terjamin. Pelajar diberi pilihan untuk mendapatkan makanan harian melalui pihak penyedia makanan disediakan,” kata Prof Dr Roziah Janor.

Beliau turut memberi jaminan tidak berlaku kekangan tempat berikutan sesi pengajian semester ini masih dijalankan secara dalam talian.

Dr Rodziah berkata pihak kampus dan fakulti juga menyusun jadual untuk pelajar kembali ke kampus secara berperingkat mengikut keperluan akademik masing-masing.

Lebih 16,000 pelajar UiTM di seluruh kampus dihantar pulang ke rumah masing-masing sempena sambutan Aidilfitri mulai 7 hingga 12 Mei.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Lima Bas Smart Selangor ke Maeps, mudahkan urusan pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 23 JAN: Lima unit Bas Smart Selangor diserahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang hari ini bagi memudahkan urusan rawatan pesakit.

Menurut Selangor State Government, bas berkenaan digunakan untuk menghantar dan mengambil pesakit dari Pusat Penilaian Covid-19 ke fasiliti kesihatan seluruh negeri.

Bas Smart Selangor yang akan digunakan untuk kemudahan pesakit Covid-19. Foto Facebook Selangor State Government

“Ini merupakan sumbangan Kerajaan Selangor melalui inisiatif Pakej Kita Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 20 Januari.

“Semoga bantuan diberikan membantu pengurusan logistik PKRC 2.0 Maeps dan memberi manfaat kepada pesakit serta petugas di sana,” tulisnya di Facebook.

Kelmarin, EXCO Pengangkutan Ng Sze Han memaklumkan sebanyak 10 Bas Smart Selangor disediakan untuk tujuan itu dan dinyahkuman dari semasa ke semasa.

Pakej Kita Selangor memperuntukkan RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bas Smart Selangor bawa pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin

SHAH ALAM, 20 JAN: Bas Smart Selangor akan digunakan untuk membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersiko Rendah (PKRC) di Serdang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkhidmatan secara percuma itu bagi mengurangkan beban petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Peningkatan kes harian kepada empat angka menambah tekanan ke atas sistem pengangkutan bawah seliaan KKM dan menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lama sebelum diambil ke PKRC,” katanya dalam pengumuman khas Pakej Kita Selangor hari ini.

Pakej dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sedia Bas Smart Selangor bawa pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin

SERDANG, 19 JAN: Bas Smart Selangor akan digunakan bagi membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Maeps Serdang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggunaan khidmat bas percuma itu sedang diteliti bagi mengurangkan tempoh pesakit menunggu di rumah.

“Terdapat rungutan pesakit berada di rumah agak lama meskipun sudah sampai masa ke pusat kuarantin, namun disebabkan kes harian di Lembah Klang tinggi sejak tiga minggu lalu, sudah tentu khidmat penghantaran (pesakit) tidak mencukupi,” katanya.

Beliau ditemui selepas mendengar taklimat dan melawat pusat kuarantin tersebut bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Turut serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah PKRC Maeps 2.0 Dr Shahabuddin Ibrahim.

Pada 2 April tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor untuk membawa penumpang yang tiba di lapangan terbang ke pusat kuarantin.

Tindakan itu susulan arahan kerajaan supaya penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Subang menjalani kuarantin di tempat khas bagi mengekang penularan wabak sebelum dibenarkan pulang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Covid-19 risiko rendah sedia diaktifkan – menteri

KOTA TINGGI, 4 OKT: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di seluruh negara sudah sedia untuk diaktifkan semula sekiranya pandemik berkenaan terus mencatatkan peningkatan kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 36 pusat sedemikian di 118 hospital kerajaan serta Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) selain pusat-pusat lain yang diwartakan Majlis Keselamatan Negara seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, Selangor.

“Kita sentiasa bersedia (untuk mengaktifkan pusat kuarantin) dan renovate tempat seperti ILKKM.

“Kalau kes bertambah kita aktifkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Sesi Townhall Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan Covid-19 Bersama Pemimpin Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI), di sini hari ini.

Katanya keseluruhan pusat kuarantin tersebut menyediakan 3,467 katil dan kementerian akan berbincang dengan institut latihan lain untuk dijadikan pusat kuarantin tambahan sekiranya keadaan memerlukan.

Sementara itu, Dr Adham berkata kira-kira 20 juta individu direkodkan sudah mendaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera dengan satu bilion ‘check-in’ dicatatkan di seluruh negara.

“Ada dua faktor yang menjadikan kita pantas mengesan Covid-19, yang pertama ialah kebijaksanaan dan keberkesanan pasukan kita mengesan, dan keduanya, kesediaan 58 makmal kita dalam menjalankan ujian termasuk swasta,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hidangan di pusat kuarantin seimbang, cukup nutrien

SHAH ALAM, 11 APRIL: Hidangan makanan disediakan di pusat kuarantin menempatkan individu baharu pulang dari luar negara adalah seimbang, pelbagai dan cukup nutrien, kata Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam tulisannya di Facebooknya ia menyiarkan contoh hidangan di Pusat Kuarantin Covid-19 di Kuala Lumpur antaranya set nasi putih dihidangkan bersama ikan cencaru goreng, kubis goreng dan limau, set nasi briyani, mi goreng telur dadar dan nasi lemak.

Contoh hidangan di Pusat Kuarantin Covid-19 di Kuala Lumpur yang dihidangkan kepada
individu baharu pulang dari luar negara yang dikuarantin selama 14 hari

Bahagian Pemakanan KKM berkata menu dipantau Pegawai Sains Pemakanan itu adalah seimbang, pelbagai dan cukup nutrien serta memaparkan kandungan kalori sebagai panduan.

“Layanan sebegini belum tentu akan dapat di negara lain. Selama berada di pusat kuarantin, Kerajaan Malaysia akan menjaga makan minum lima kali sehari,” tulisnya di sini, hari ini.

Tulisan itu menjawab kritikan segelintir individu di pusat kuarantin mendakwa makanan dihidangkan kepada mereka tidak ‘sehebat’ mana.

Bermula 3 April lalu, warga Malaysia dan asing memasuki Malaysia wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin bagi mengesan penularan wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Semua pusat kuarantin beroperasi dengan baik

SHAH ALAM, 6 APRIL: Semua pusat kuarantin diwartakan kerajaan di seluruh negara beroperasi dengan baik setakat ini, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 6,698 orang kini ditempatkan di 118 pusat kuarantin bagi mengawal penularan Covid-19.

“Kerajaan ingin berterima kasih kepada semua individu yang menjalani perintah kuarantin wajib atas kerjasama yang diberikan.

“Kerajaan sentiasa memastikan kemudahan termasuk pengangkutan dan pusat kuarantin yang disedia menitikberatkan kebajikan dan kesihatan mereka,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebanyak 551 pusat kuarantin diwartakan kerajaan yang mampu menempatkan lebih 40,000 individu dalam satu-satu masa.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 56 kawasan di sembilan negeri termasuk 27 kawasan di Johor dan enam di Sarawak sudah menjalani operasi nyahkuman.

Beliau berkata operasi merangkumi 113 kawasan awam termasuk rumah ibadat, pasar awam, pasar raya dan perumahan serta 19 bangunan kerajaan.

“Turut di nyahcemar ialah tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan 4,872 unit rumah dan setakat ini tujuh PPR terlibat membabitkan 8,944 unit rumah,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 107 pusat kuarantin tempatkan rakyat Malaysia kini beroperasi

SHAH ALAM, 5 APRIL: Sebanyak 107 daripada 551 pusat kuarantin yang diwarta kerajaan kini beroperasi sepenuhnya untuk menempatkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara itu susulan terdapat kekeliruan sebelum ini berhubung kapasiti pusat kuarantin di seluruh negara.

“Semalam media melaporkan sebanyak 90 pusat kuarantin dibuka untuk menampung 40,000 rakyat…tidak betul…551 pusat kuarantin diwartakan oleh kerajaan dan mampu mengawal lebih 40,000 individu yang dihantar ke sana.

“Sehingga kini sebanyak 107 pusat kuarantin sudah beroperasi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan semua individu yang memasuki negara terutama melalui laluan udara perlu dibawa ke pusat kuarantin sebagai langkah mengawal penularan Covid-19.

Sementara itu, mengulas aduan kenaikan mendadak beberapa harga barangan, Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau perkara tersebut.

“Langkah ini bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya tatkala rakyat sedang susah. Jika perkara ini berlaku (kenaikan), maklumkan segera kepada KPDNHEP supaya tindakan tegas boleh diambil,” katanya lagi.

Beliau turut memberi jaminan bekalan makanan di negara ini mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April.