Categories
AGENDA NASIONAL

1,055 sekolah dipilih jadi pusat pemberian vaksin kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Sebanyak 1,055 buah sekolah sudah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dan bakal beroperasi selewat-lewatnya Isnin ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata bagaimana pun jumlah PPV sekolah it dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

“Kesemua sekolah ini akan menjadi pusat pemberian vaksin kepada murid di sekolah tersebut dan murid daripada sekolah-sekolah berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) berkata bagi pemberian vaksin di sekolah, senarai nama kanak-kanak yang layak akan disediakan pihak sekolah dan dilaksanakan pasukan kesihatan sekolah atau pengamal perubatan swasta.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa atau penjaga untuk mendaftar tanggungan mereka menerusi akaun MySejahtera bagi mendapatkan janji temu vaksin dan sijil digital vaksinasi manakala mereka yang tidak mempunyai kemudahan itu, tarikh dan lokasi janji temu akan dimaklumkan pihak pengurusan sekolah.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga bersetuju membantu mengatur janji temu secara berkelompok untuk vaksinasi di sekolah atau di pusat vaksinasi yang dikenal pasti Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi melancarkan pelaksanaan vaksinasi Covid-19.

Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, Dr Noor Azmi berkata hanya salah seorang sama ada ibu atau bapa atau penjaga yang dibenarkan menemani kanak-kanak untuk tujuan vaksinasi, dan ibu bapa dinasihatkan untuk memastikan anak yang akan divaksin mendapat rehat secukupnya serta mengambil sarapan dan meminum air secukupnya sebelum hadir ke PPV.

“Ibu bapa perlu mengawasi kanak-kanak supaya tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin,” katanya.

PICKids telah dimulakan pada 3 Feb lepas dengan menyasarkan seramai 3.6 juta golongan kanak-kanak berusia lima hingga bawah 11 tahun bagi melindungi kanak-kanak daripada jangkitan teruk Covid-19.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan sekali gus mencegah kluster dalam kalangan warga sekolah.

Setakat semalam, sebanyak 79,393 atau 2.2 peratus populasi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Petugas pusat vaksin, pusat kesihatan daerah terima pek makanan

SHAH ALAM, 16 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin dan pejabat kesihatan daerah.

Agensi berkenaan berkata bantuan disalurkan mulai hari ini membabitkan penerima di PKD Petaling, Klang dan Pelabuhan Klang serta PPV Dewan Sukan Pandamaran dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras).

Sumbangan disampaikan Ketua Zon Daerah Klang dan Kuala Langat, Mohd Hidayat Mohd Suhaimi. Turut hadir, Pengurus Sektor Latihan Asnaf Teras, Muhammad Sayifullah Masiron.

“Masing-masing menerima 100 pek makanan terdiri roti dan air mineral.

“Mais sentiasa komited dengan kebajikan ummah terutama barisan hadapan dalam memutuskan rantaian Covid-19,” katanya di Facebook hari ini.

 

Categories
AGENDA SELANGOR

PPV UiTM Puncak Alam mampu urus 5,000 suntikan vaksin sehari

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam di sini mampu mengurus sehingga 5,000 pemberian vaksin sehari secara berperingkat.

Pengarah hospital kampus itu berkata buat permulaan pihaknya menetapkan 500 individu disuntik sehari di PPV itu yang beroperasi secara rasmi hari ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, PPV berkonsepkan hibrid dilaksana dalam tempoh empat bulan hingga akhir Oktober ini membabitkan pemberian vaksin secara terus dan pandu lalu yang dijangka bermula dua minggu lagi.

“Konsep pandu lalu lebih memudahkan kerana penerima hanya perlu duduk dalam kereta, namun faktor cuaca perlu diambil kira, sekiranya hujan proses pemvaksinan mungkin sedikit sukar selain penerima perlu menjalani pemerhatian sekitar 15 hingga 30 minit,” kata Prof Dr Sazzli Kasim ketika ditemui.

Sementara itu, beliau yang juga ketua projek PPV memaklumkan untuk peringkat awal, antara 40 hingga 50 peratus penerima vaksin adalah warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) berusia lebih 60 tahun yang menerima vaksin Sinovac.

Selain institusi itu, dua lagi universiti awam turut menyediakan perkhidmatan sama iaitu Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini memaklumkan perkhidmatan pemberian vaksin secara pandu lalu di PPV berskala mega di UiTM Kampus Puncak Alam akan mula beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemberian vaskin pandu lalu dibuka di UiTM Puncak Alam

SHAH ALAM, 7 JUN: Perkhidmatan pemberian vaksin secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, akan mula beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata UiTM merupakan antara tiga universiti awam yang akan menyediakan perkhidmatan itu untuk golongan yang memerlukan terutama warga emas dan Orang Kurang Upaya. Dua lagi universiti ialah Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya perkhidmatan pandu lalu itu merupakan pelaksanaan pemberian vaksin secara hibrid yang bakal dilaksakan di PPV terpilih selain pemberian vaksin secara prosedur biasa iaitu dengan mendapatkan vaksin di dalam dewan atau tempat yang disediakan.

Sementara itu, Noraini berkata PPV berskala mega di UiTM Puncak Alam yang beroperasi bermula hari ini seawal 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, mempunyai kapasiti dewan sehingga 1,500 orang pada satu-satu masa.

“Perkhidmatan ini dijangka mampu menyediakan 5,000 pemberian vaksin sehari dengan penglibatan 200 kakitangan,” katanya pada sidang media selepas melawat PPV Berskala Mega di UiTM Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noraini berkata selain cadangan untuk membuka 19 PPV di Institut Pengajian Tinggi bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kementerian juga bercadang membuka PPV di politeknik dan kolej komuniti terpilih yang bersesuaian.

– BERNAMA