Categories
AGENSI SELANGOR

Hanya dua pusat pemindahan masih aktif di Sepang

SHAH ALAM, 23 JULAI: Hanya dua daripada lima pusat pemindahan banjir di Sepang masih aktif setakat jam 8.30 pagi ini.

Unit Pengurusan Bencana negeri berkata pusat berkenaan ialah Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dengkil membabitkan 17 keluarga.

“Pusat pemindahan dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil menempatkan 27 mangsa manakala terdapat 48 mangsa di Dewan Orang Ramai Dengkil sejak dibuka 18 Julai lalu,” menurut kenyataan unit itu.

Semalam pusat pemindahan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Dato’ Ahmad Razali, SRA Dengkil dan dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Dengkil ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang.

Agensi itu memaklumkan pihaknya akan terus memantau dan membuat tindakan susulan mengenai kejadian yang berlaku pada 18 Julai lalu di samping menyampaikan maklumat terkini.

Dalam kejadian petang Sabtu lalu, 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Satu pusat pemindahan di Sepang ditutup

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pusat pemindahan banjir di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Dato’ Ahmad Razali, Sepang ditutup jam 8 pagi ini selepas 18 keluarga dibenarkan pulang.

Unit Pengurusan Bencana negeri berkata setakat ini hanya empat pusat pemindahan di daerah itu masih beroperasi yang menempatkan 211 mangsa daripada 55 keluarga.

“Empat pusat pemindahan yang aktif adalah Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil dengan 56 mangsa, Dewan Orang Ramai Dengkil (54), SRA Dengkil (69) dan dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Dengkil (33),” menurut kenyataannya.

Agensi itu memaklumkan pihaknya akan terus memantau dan membuat tindakan susulan tentang kejadian yang berlaku pada 18 Julai lalu, selain menyampaikan maklumat terkini.

Dalam kejadian petang Sabtu lalu, 41 kawasan di Hulu Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan Klang mengalami banjir kilat susulan hujan lebat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sedang menyiapkan kajian bencana yang dijangka selesai awal tahun depan bagi menangani dampak tragedi itu dengan lebih berkesan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

41 kawasan di lima daerah terjejas banjir kilat

SHAH ALAM, 19 JULAI: Sebanyak 41 kawasan di lima daerah mengalami banjir kilat sejak petang semalam.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) dalam kenyataan memaklumkan 22 kawasan terjejas ialah Hulu Langat, Sepang (14) Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan satu lokasi di Klang.

“Susulan itu, sebanyak tujuh pusat pemindahan banjir dibuka di daerah berkenaan dan setakat jam 10 pagi tadi seramai 265 mangsa dari 62 keluarga telah dipindahkan ke pusat terbabit,” lapor unit itu.

Menurut UPBN, 22 lokasi di Hulu Langat ialah Kampung Sungai Pening, Semenyih; Kampung Bukit Dukong; Kampung Sungai Sekamat; Kampung Batu 13; Kampung Sungai Balak; Kampung Sri Jambu; Kampung Sungai Jernih; Batu 10, Cheras dan Sungai Raya, Batu 9.

Lokasi turut terjejas di Kampung Bangi; Taman Muhibbah; Kampung Sungai Kantan; Kampung Batu 14; Kampung Sungai Ramal; Jalan Reko; kawasan Medan Satay Kajang; Taman Taming Jaya; SMK SAAS, Kajang; Sri Bangi, Seksyen 8; Teras Jernang; Kampung Sungai Serai dan SRA Sungai Serai.

Manakala, 12 kawasan di Sepang ialah Taman Desa, Jenderam Hilir; Jalan Salam, Sungai Merab; Rancangan Revolusi Hijau, Dengkil; Taman Baiduri, Dengkil; Kampung OA Jenderam Hulu; Taman Lestari Mewah; Kampung Lalang; Kampung Cemperai; Kampung Sri Tanjong; Taman Mas; Taman Kristal dan Taman Permata.

Lokasi terjejas di Hulu Selangor pula di Kampung Sentosa, Batang Kali; Taman Seri Cahaya, Batang Kali; Taman Seri, Batang Kali dan Lorong 4B, Taman Lembah Damai, Kerling.

Sementara itu di Gombak melibatkan dua lokasi iaitu Lorong E5, Kampung Melayu, Sri Kundang dan Fasa 4, Taman Rahmat Jaya serta Klang di Taman Sri Muda.

Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara dibuka di Hulu Langat menempatkan 128 mangsa, manakala Sepang membuka empat pusat berkenaan dan sehingga kini seramai 137 mangsa dipindahkan.