SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Negeri bersedia menambah Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di tiga daerah berisiko tinggi bagi memantau pesakit yang dijangkiti virus berkenaan.
Dato’ Menteri Besar berkata cadangan meliputi Petaling, Hulu Langat dan Gombak untuk menganalisis pesakit mengikut kategori sebelum mendapat rawatan lanjut di pusat kuarantin atau hospital.
“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut memaklumkan fasiliti Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang ditambah dan mampu menampung tambahan 6,000 pesakit.
“Kemudahan khas seperti khemah unit rawatan rapi dan peralatan perubatan juga disediakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat untuk berusaha memutuskan rantaian wabak dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
“Selangor tanggungjawab kita, hanya dengan semangat kekitaan sahaja akan dapat memutuskan rantaian wabak ini,” kata Amirudin lagi.
Selangor memiliki 19 pusat penilaian yang akan menentukan tahap kesihatan pesakit seterusnya mengenal pasti mereka yang sesuai untuk kekal di rumah menggunakan Set Penilaian di Rumah (HAT).
Menteri kesihatan pada 22 Januari menyatakan CAC kemudian menilai pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk.
Pesakit dirujuk ke pusat kuarantin atau hospital jika dikategori tahap satu dan dua yang tidak sesuai lagi ditempatkan di rumah.