Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM kendali kutipan sampah pukal di Puncak Alam mulai 1 Oktober

SHAH ALAM, 20 SEPT: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan mengambil alih perkhidmatan kutipan sampah pukal di kawasan Pusat Perdagangan Alam Jaya, Puncak Alam bermula 1 Oktober ini.

Pengarah urusannya berkata sebelum ini pihaknya hanya menguruskan kutipan sampah domestik di kawasan itu yang dilaksanakan setiap hari.

“Kutipan sampah pukal adalah di bawah Badan Pengurusan Bersama (JMB) AJ Boulevard dan longgokan tersebut dipercayai ekoran daripada pembuangan haram dari pihak tidak bertanggungjawab,” kata Ramli Mohd Tahir dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya menitikberatkan isu kutipan sampah dan pembersihan awam malah menghargai komitmen serta keprihatinan orang ramai mengenai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Selangor.

“KDEBWM mengalu-alukan orang awam menyalurkan aduan melalui aplikasi pintar ‘i-Clean Selangor’ dan pengguna boleh menghantar aduan bergambar sekali gus membantu kami menyelesaikan permasalahan dengan lebih cepat serta efisien,” katanya.